Mourinho: Frank De Boer Pengurus Paling Teruk Dalam Sejarah Liga Perdana Inggeris

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho menggelar Frank De Boer sebagai pengurus paling buruk dalam sejarah Liga Perdana Inggeris berikutan komen beliau mengenai cara Mourinho menggunakan Marcus Rashford.

Bekas pengurus Crystal Palace itu memuji impak yang dilakukan Rasford ketika Manchester United mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Liverpool tempoh hari.

Dulu kawan sekarang lawan. Sampai hatimu Jose memberi gelaran pengurus terburuk kepadaku

Walaupun beraksi baik, De Boer menyatakan rasa simpatinya terhadap Rashford kerana terpaksa bermain di bawah Jose Mourinho.

Kenyataan De Boer tidak diterima baik Mourinho yang kemudiannya menggelar bekas pemain antarabangsa Belanda itu sebagai pengurus terburuk dalam sejarah Liga Perdana Inggeris. Fuh kenyataan yang menusuk kalbu.

De Boer dilantik menjadi pengurus Crystal Palace pada awal musim ini dan sempat mengemudi pasukan tersebut dalam 5 perlawanan.

4 daripadanya berakhir dengan kekalahan dan satu lagi adalah kemenangan ke atas Ipswich dalam Piala Carabao sebelum dipecat pada 11 September. Sesungguhnya Liga Perdana Inggeris bukan semudah Liga Belanda.

Ketika bercakap kepada pemberita menjelang perlawanan timbal balik Liga Juara-Juara Eropah menentang Sevilla awal pagi esok, pengurus berasal dari Portugal ini telah memperlekehkan De Boer mengenai komen beliau terhadap Rashford.

Crystal Palace membuat permulaan terburuk dalam sejarah kelab di bawah kendalian Frank De Boer

“Saya ada terbaca kenyataan dari pengurus terburuk dalam sejarah Liga Perdana Inggeris, Frank De Boer – 7 perlawanan, 7 kekalahan dan tanpa sebarang gol dijaringkan.”

“De Boer berkata Rashford tidak bernasib baik mempunyai saya sebagai pengurus pasukan kerana bagi saya, kemenangan adalah perlara paling penting.”

Rashford mungkin mengekalkan tempatnya dalam kesebelasan utama Manchester United apabila mereka melayan kunjungan Sevilla di Old Trafford awal pagi esok.

Kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang yang seimbang untuk layak ke pusingan suku akhir kerana perlawanan pertama berakhir tanpa sebarang jaringan.

Mourinho sedar pasukannya bakal menghadapi perlawanan yang sukar memandangkan Sevilla berjaya mengikat Liverpool sebanyak dua kali dalam peringkat kumpulan.

Peminat setan merah tidak akan dapat melihat Pogba berdabbing awal pagi esok

“Perlawanan awal pagi esok adalah perlawanan yang sukar kerana kami bakal berhadapan pasukan yang tidak tewas kepada Liverpool di tempat sendiri dan di tempat lawan.”

“Mereka berjaya menjaringkan gol di Liverpool untuk mencatatkan keputusan seri. Saya merujuk Liverpool kerana mereka adalah pasukan yang sangat bagus, mempunyai stadium hebat yang penuh dengan tradisi.”

Mourinho turut mengesahkan pemain antarabangsa Perancis, Paul Pogba telah kembali menjalani latihan selepas mengalami kecederaan ringan pada sesi latihan terakhir sebelum perlawanan Liverpool.

“Pogba telah kembali menjalani latihan. Tetapi saya tidak dapat mengesahkan beliau akan cergas untuk perlawanan esok kerana beliau baru sahaja kembali.”

BACA:  Dakwa VAR Tak Pernah Betul, Liverpool Mahu Rayu Kad Merah Curtis Jones