Mourinho: Ini Musim Terakhir Ibrahimovic Bersama Manchester United

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata musim ini bakal menjadi musim terakhir Zlatan Ibrahimovic di Old Trafford.

Mourinho meramal Ibrahimovic akan meninggalkan Manchester United apabila kontraknya tamat hujung musim nanti. Pemain kelahiran Sweden ini bergelut dengan masalah kecergasan selepas mengalami kecederaan lutut ligamen musim lepas ketika perlawanan Europa League.

Time has come for you to leave my son

Kecederaan tersebut memaksa Ibrahimovic berehat selama 7 bulan dan kontraknya tidak disambung pada mulanya oleh United. Tetapi Mourinho membenarkan Ibrahimovic menjalani rawatan pemulihan dan berlatih di United walaupun kontraknya telah tamat pada ketika itu.

Bekas pemain AC Milan dan Paris Saint-Germain berjaya membuktikan beliau telah pulih dari kecederaannya dan Mourinho menawarkan kontrak baru selama setahun untuk bermain bersama United sehingga tamat musim ini.

Kelibat Ibrahimovic semakin jarang dilihat berada dalam kesebelasan utama musim ini dengan Mourinho mengutamakan khidmat Romelu Lukaku untuk mengetuai jentera serangan Red Devils.

Perlawanan terakhir Ibrahimovic bersama United hadir pada Boxing Day tahun lepas, ketika mereka melayan kunjungan Burnley di Old Trafford.

Mourinho pernah bekerjasama dengan Zlatan ketika mengendalikan Inter Milan

Dalam sidang media menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace hujung minggu ini, Mourinho berkata beliau berasa sangat kecewa kerana sepanjang penglibatan Ibrahimovic bersama United telah dicemari dengan beberapa siri kecederaan.

“Kami berpendapat musim ini bakal menjadi musim terakhir beliau bersama Manchester United. Sama ada beliau akan bersara atau terus bermain bolasepak, ia adalah keputusan peribadi yang harus diambil Ibrahimovic.”

“Saya rasa beliau mahu kebebasan penuh untuk membuat keputusan yang dirasakan sesuai untuk masa depannya. Beliau merupakan pemain yang sangat cemerlang dan mempunyai karier yang hebat.”

“Malangnya, masa beliau di United diganggu dengan kecederaan. Jika tidak, sudah pasti Ibrahimovic mampu mengharungi dua musim yang cemerlang bersama Manchester United.”

“Musim ini agak berbeza buat Ibrahimovic. Beliau tidak mengalami sebarang kecederaan sekarang. Adakah beliau berasa bersedia dan yakin untuk membantu pasukan dalam keadaan sekarang ? Tidak.”

“Beliau seorang yang jujur dan seorang juara. Beliau hanya mahu kembali beraksi di atas padang sekiranya beliau berasa dirinya sudah cukup bersedia untuk membantu pasukan.”

“Buat masa sekarang, beliau sedang berusaha dengan keras. Harapan kami perubahan yang dilakukan beliau ketika ini mampu  membawanya kembali ke tahap yang tertinggi.”

Siapa boleh lupa goal bicycle kick Zlatan ketika menewaskan England

Ibrahimovic hanya bermain dalam 7 perlawanan sahaja musim ini. Pada perlawanan terakhirnya sebagai pemain utama, beliau hanya mampu beraksi selama 45 minit sahaja kerana mengalami kecederaan lutut yang berulang.

Dalam perkembangan lain, Ibrahimovic bersedia untuk keluar dari persaraan dan kembali bermain dengan Sweden yang bakal bersaing dalam Piala Dunia 2018 musim panas nanti.

Sebelum ini, Ibrahimovic mengumumkan persaraan dari bolasepak antarabangsa selepas Sweden tersingkir awal dari Euro 2016. Walaubagaimanapun, beliau hanya akan kembali jika beliau merasakan mampu memberikan sesuatu kepada pasukan kebangsaan.

“Saya rindukan pasukan kebangsaan. Jika saya ingin kembali, saya akan lakukannya. Saya perlu berasa diri saya mampu menghasilkan persembahan yang baik untuk Sweden seandainya saya kembali.”

BACA:  Berbanding Mengamuk, Zlatan Lebih Memilih Untuk Memujuk Pengadil Yang Rompak Kemenangan Milan