Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata pasukannya akan mencuba sebaik mungkin untuk menamatkan musim ini di kedudukan ke-2 Liga Perdana Inggeris.
Manchester United sekarang menghuni tangga ke-2 liga, 16 mata dipisahkan dengan penghuni tangga teratas iaitu Manchester City.
Dengan persaingan merebut juara liga seakan sudah berakhir, tumpuan kini terarah kepada persaingan untuk mendapatkan slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan. 3 pasukan teratas akan mendapat slot automatik ke peringkat kumpulan manakalan penghuni tangga ke-4 perlu melalui play-off.
Dengan Manchester City sudah mengesahkan tempat mereka ke pertandingan tersebut musim hadapan, 3 lagi slot kini menjadi rebutan di antara Manchester United, Liverpool, Chelsea, Tottenham Hotspurs.
Penghuni tangga ke-6, Arsenal seakan-akan sudah menyerah kalah untuk meraih kedudukan empat teratas liga musim ini dengan 10 mata memisahkan mereka dengan penghuni tangga ke-4, Spurs.
Walaubagaimanapun, anak buah Arsene Wenger masih lagi berpeluang layak ke pertandingan tersebut sekiranya mereka berjaya memenangi Europe League musim ini, seperti yang telah dilakukan United musim lepas.
Dengan perlawanan liga hanya berbaki 10 perlawanan sahaja lagi, Mourinho berkata fokus pasukannya kini adalah untuk menghabiskan musim dalam kelompok 4 teratas kerana saingan Liga Juara-Juara sangat penting untuk kelab besar seperti United.
Mourinho turut menambah anak buahnya akan mencuba sebaik yang mungkin untuk merangkul kedudukan ke-2 walaupun sedar Liverpool dan Spurs sedang mengekori mereka dengan rapat.
“Jarak di antara setiap pasukan sangat kecil. Hanya 5 mata memisahkan pasukan di tempat kedua dengan tempat ke-5. Saingan untuk merebut slot ke Liga Juara-Juara kini terbuka kepada semua. Tambahan pula, keempat-empat pasukan masih lagi bersaing dalam peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.”
“Tetapi jika anda bertanya sama ada tempat ke-2 atau ke-4 lebih penting, pada pendapat saya dari segi kewangan ia tidak membawa perbezaan yang besar. Tetapi dari segi prestij, ia adalah satu perbezaan yang ketara.”
“Tetapi berdasarkan pendapat peribadi saya, tempat ke-2 lebih bagus daripada tempat ke-3. Jadi kami akan mencuba sebaik mungkin untuk mendapatkan kedudukan yang terbaik.”
“Sudah tentu persaingan empat teratas agak sukar dan itulah sasaran utama Manchester United ketika ini. Tapi jika kami mampu menghabiskan musim di tempat ke-2, kami tidak akan berada di kedudukan ke-3.”
Red Devils akan menyambung aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini dengan berkunjung ke Selhurst Park untuk berhadapan dengan Crystal Palace.
Dengan Liverpool dan Spurs berada dalam prestasi yang terbaik ketika ini, Mourinho sedar pasukannya tidak mampu mencatatkan keputusan selain dari kemenangan seandainya mereka mahu menghabiskan musim di tangga ke-2.