Mourinho Menamakan Centre-back Terhebat Dunia Pilihannya Menjelang Euro 2020

Jose Mourinho telah memuji pertahanan Manchester City, Ruben Dias sebagai pemain centre-back terhebat dunia menjelang aksi Euro 2020.

Dias yang ketika ini berusia 24 tahun sering dipuji atas impak yang beliau beri sejak menyertai Manchester City pada musim panas lalu dengan yuran perpindahan bernilai £65 juta.

Beliau tiba di Etihad dari Benfica pada September tahun lalu dan telah memberikan impak yang sungguh luar biasa menakjubkan untuk skuad kendalian Pep Guardiola.

Pemain centre-back Portugal itu menjadi watak terpenting dalam sistem pertahanan Manchester City dengan beliau telah membuat 32 penampilan dalam aksi saingan liga musim ini.

Dias berjaya membantu Man City untuk menjulang gelaran Premier League dan League Cup pada musim pertamanya di Etihad.

Namun sayangnya beliau gagal untuk membantu skuad kendalian Pep Guardiola itu untuk menewaskan Chelsea dalam aksi perlawanan akhir Champions League.

Walau bagaimanapun, bekas bintang Benfica itu tetap berjaya menempatkan dirinya sebagai salah seorang calon untuk memenangi anugerah Premier League Player Of The Year tahun ini.

Dias turut terpilih untuk beraksi bersama skuad Fernando Santos untuk aksi Euro yang akan dilangsungkan beberapa hari sahaja lagi nanti.

Dan penandatanganan termahal City itu juga dijangka akan diturunkan sebagai kesebelasan utama yang akan membantu Portugal untuk mempertahankan kejuaraan Euro yang telah mereka menangi sebelum ini.

Mourinho yang telah menggantikan Paulo Fonseca sebagai pengurus Roma telah menganggap Dias sebagai salah seorang centre-back terhebat dan turut menyatakan yang Dias semakin matang sejak beraksi bersama City.

Pengurus berasal dari Portugal yang ketika ini berusia 58 tahun itu menyatakan yang Ruben Dias merupakan centre-back terhebat dunia pada ketika ini.

“Dengan perpindahannya menyertai Premier League bersama Manchester City, dia dilihat berada di tahap yang lebih baik.”

“Dia seorang centre-back yang mengagumkan, dia nanti akan digandingkan dengan Pepe, pemain yang sudah berusia 38 tahun dengan pengalaman yang banyak.”

“Itu akan jadi satu kekuatan untuk Portugal dengan mereka ketika ini turut mempunyai barisan pemain berbakat di posisi serangan.”

Mourinho kemudian menyatakan yang beliau yakin Euro kali ini merupakan edisi terakhir untuk Cristiano Ronaldo.

“Sudah tentu, Cristiano Ronaldo bukan budak lagi dan ini mungkin akan jadi Euro terakhir untuk dia.”

“Selepas menjadi Juara Eropah, saya percaya dia akan lakukan apa saja untuk berjaya dalam percubaan terakhir dia.”

“Fernando Santos merupakan individu yang paling tepat dan di tempat yang betul. Sangat yakin, sangat tenang, sangat mudah menyesuaikan diri. Dan dia kenal pemain dia dengan cukup baik.”

“Dengan mengekalkan Cristiano Ronaldo, Pepe, Rui Patricio dan Joao Moutinho, dia ada barisan kukuh pemain yang berpengalaman.”

BACA:  Mourinho Nafi Wujud Sebarang Masalah Antara Beliau Dan Ed Woodward