Mourinho Perkenalkan Peraturan Baru Untuk Roma Menjelang Musim Baharu Nanti

Menurut sumber laporan media Itali, Jose Mourinho akan memperkenalkan peraturan terbaru untuk AS Roma menjelang musim baharu Serie A nanti.

Pengurus berasal Portugal yang ketika ini berusia 58 tahun itu telah meninggalkan Tottenham Hotspur pada April lalu, selepas 17 bulan beliau mengurus pasukan dari Premier League itu.

Walau bagaimanapun, Mourinho pada musim panas ini sedikit sibuk selepas beliau menandatangani perjanjian bersama talkSPORT untuk menjadi pundit sepanjang Euro 2020.

The Special One itu juga akan terus kembali ke dunia pengurusan selepas ini dengan beliau akan menggantikan Paulo Fonseca sebagai pengurus Roma yang baru.

Menurut laporan Corriere dello Sport, Mourinho telah menetapkan peraturan terbaru di Roma menjelang bermulanya musim baru nanti di bawah kendalian beliau.

Media Itali turut melaporkan yang bekas pengurus Tottenham Hotspur itu mahu kelab menguruskan pra musim Roma dijalankan di luar negara.

Beliau juga menegaskan yang Roma tidak akan mengadakan aksi pra musim di sekitar Itali, dalam usahanya untuk memastikan privasi skuad dijaga lebih rapi.

Pemilik kelab, Friedkin Group dilaporkan akan mengadakan perjumpaan dengan Mourinho untuk membincangkan tentang aksi pra musim yang akan diadakan di Styria, Austria.

Satu lagi permintaan Jose Mourinho adalah beliau mahu melihat Roma setidaknya mengadakan tiga perlawanan persahabatan dalam tempoh satu minggu.

Namun laporan sama turut mengesahkan yang pra musim mereka mungkin akan lebih singkat tahun ini memandangkan musim baharu akan bermula pada Ogos nanti.

Roma bakal menjadi salah sebuah pasukan terawal yang akan beraksi dalam kejohanan baru Eropah yang dipanggil, Europa Conference League.

AS Roma gagal untuk beraksi dalam saingan Champions League mahupun Europa League kerana menamatkan aksi saingan liga musim lalu di kedudukan ketujuh.

Skuad kendalian Jose Mourinho itu akan beraksi dalam pusingan kelayakkan pada 19 Ogos atau 26 Ogos nanti.

Bekas pengurus Manchester United dan Chelsea itu juga turut mendakwa yang semangat luar biasa para penyokong Roma memberikan beliau keyakinan baru untuk mengurus skuad dari Serie A itu.

Bercakap dalam satu kenyataan kelab pada Mei lalu, Mourinho telah menyatakan bahawa:

“Terima kasih kepada Friedkin Family kerana memilih saya untuk membimbing kelab yang hebat ini dan menjadi sebahagian dari mereka.”

“Selepas mesyuarat dengan pemilik dan Tiago Pinto, saya dengan segera faham tentang kesemua sasaran yang mereka mahukan untuk AS Roma.”

“Ia merupakan impian dan dorongan yang selalu memotivasikan saya dan bersama kita akan bina projek kejayaan ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang.”

“Semangat luar biasa menakjubkan para penyokong Roma menyebabkan saya bersetuju untuk menerima tugas ini dan saya sudah tidak sabar untuk mulakan kempen musim baru nanti.”

“Sementara itu, saya harap Paulo Fonseca akan buat yang terbaik dan saya harap pihak media akan faham yang saya akan ceritakan selebihnya apabila tiba waktunya nanti. Daje Roma!”

BACA:  Mourinho Tidak Tolak Kemungkinan Dapatkan Pemain Baru Januari Depan