Mourinho Pertahan Taktik Manchester United, Sentap Selepas Ditanya Soalan Mengenai Pogba

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mempertahankan taktik yang digunapakai pasukannya ketika United mencatatkan keputusan seri 0-0 menentang Sevilla dalam pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Anak buah Mourinho hanya mampu merekodkan 6 percubaan ke arah gol berbanding Sevilla yang mempunyai 25 percubaan. Walaubagaimanapun, kebanyakan percubaan pasukan tuan rumah dilakukan dari luar kotak penalti dan penjaga gol United, David De Gea tidak begitu terancam.

Mourinho tidak gembira dengan soalan yang diajukan pihak media

Dalam sidang media selepas tamat perlawanan, Mourinho telah ditanya soalan mengenai Alexis Sanchez sama ada pemain ini lebih selesa diberikan peluang bermain secara bebas atau bermain di bawah arahan tertentu.

Mourinho ‘tersentap’ dengan soalan tersebut dan menegaskan taktikal yang diberikan kepada anak buahnya adalah tepat memandangkan ia adalah perlawanan di tempat lawan.

“Saya rasa kamu pemberita tentu baru dalam sukan ini ! Di England, terdapat beberapa individu berkata pemain sayap tidak perlu bertahan.”

“Jika saya jumpa David Beckham selepas ini, saya akan bertanya kepada beliau: ‘David, ketika kamu bermain di posisi sayap kanan bersama Manchester United, apabila pemain bek kiri lawan melakukan serangan, adakah kamu hanya berdiri di atas padang melihat tempat duduk penyokong ? Atau adakah kamu mengekori pemain tersebut ?’. Saya akan bertanya David soalan ini.”

De Gea sekali lagi selamatkan United

“Dan semua orang mengetahui saya bukanlah peminat Roy Keane dan Paul Scholes, tetapi saya tetap akan bertanya mereka: ‘Apabila pasukan kamu kehilangan bola, adakah kamu turun ke bawah? Atau adakah kamu hanya berjalan di atas padang ?”

“Kerana saya lihat hari ini pemain yang bagus mesti bermain secara bebas. Bagi saya apabila pasukan mempunyai bola, kamu melakukan serangan. Jika tidak, kamu harus bertahan.”

“Ianya semudah itu, tetapi terdapat beberapa individu yang mahu mencipta sukan baru. Pasukan terbaik dunia ketika ini, bukan 10 atau 20 tahun yang lepas, memerlukan setiap pemain mereka bekerja keras. Setiap pemain mempunyai arahan taktikal yang perlu diikuti.”

Mourinho melakukan kejutan dengan meninggalkan pemain termahal United, Paul Pogba di bangku simpanan tetapi terpaksa membawa masuk Pogba lebih awal kerana kecederaan yang dialami oleh Ander Herrera.

Mourinho sengaja menyimpan pemain termahal United bagi memberi peluang kepada Sevilla

Apabila ditanya bagaimana Pogba melakukan tugasan yang telah diberikan kepadanya, Mourinho sekali lagi sentap.

“Dalam temu ramah sebelum perlawanan dengan BT Sports, saya telah ditanya 4 soalan. 3 soalan adalah mengenai Pogba walaupun Pogba tidak bermain. Agak janggal buat saya. Saya hormat kamu [wartawan] dan kerja kamu, dan saya faham soalan kamu.”

“Tetapi jika saya adalah wartawan, saya akan bertanya kepada pengurus Manchester United adakah beliau bersetuju Scott McTominay menampilkan persembahan yang sangat cemerlang dalam perlawanan tadi.”

“Dan jawapan saya adalah ya. McTominay beraksi sangat bagus dan beliau bermain seperti seorang pemain senior yang matang dan memahami arahan yang telah diberikan kepadanya. Beliau juga bagus dalam memegang bola dan menekan pihak lawan.”

BACA:  Mourinho Meroyan Lagi, Minta Penyokong Manchester United Lebih Bersabar