Mourinho Rindukan Rooney

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mengakui bahawa dia sebenarnya rindukan bekas kaptennya musim lalu, Wayne Rooney, yang telah berpindah ke Everton pada awal bulan ini.

Penjaring terbanyak England dan United sepanjang zaman itu sekadar memulakan 15 perlawanan EPL pada musim lalu, dan kini selepas menjualnya, Mourinho terpaksa menahan rindu kepada penyerang yang juga digelar Shrek tersebut.

“Aku rindu dia sangat-sangat, aku rindu dia, sebab dia adalah seorang yang hebat,” kata Mourinho kepada wartawan The Telegraph, sambil memainkan lagu Menahan Rindu nyanyian Wany Hasrita di telefon Samsung Corby warna kuningnya.

“Aku bukan jenis yang selalu jadi emosional dalam kerja aku tapi dalam bab Rooney ni aku tewas. Pada masa yang sama aku yakin dia akan jadi pemain yang bagus untuk Everton, dan Everton akan jadi kelab yang baik untuknya.

“Si Wayne ni sering memberikan pengaruh yang positif. Kami tak boleh cakap yang kami akan kuatkan lagi pasukan selepas Wayne pergi. Tak mungkin.

“Dia adalah seorang yang amat penting dan jejaka yang baik buat kami. Cuma aku rasa kami akan mulakan fasa baru tanpa wajah itu, tanpa ketua itu dan tanpa pengaruhnya ke atas kami.

Rooney menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Everton – kelab yang ditinggakannya pada 2004. Pada awalnya Mourinho mahu mengekalkan penyerang England itu, tetapi diberi penghormatan untuk memilih masa depannya sendiri.

“Tak susah untuk buat keputusan, sebab dia ada hak,” kata Mourinho bila ditanya mengenai keputusan untuk melepakan Rooney.

“Dia mempunyai hak terhadap apa yang dia miliki, dan apa yang dia miliki ialah keinginan kami untuk mengekalkannya di sini.

“Tapi pada masa yang sama kami menghormatinya dan memberikannya ruang untuk berasa gembira, membenarkan untuk cuba bermain pada setiap permainan, setiap minit yang secara jujurnya kami berasakan itulah yang paling diinginya,”tambah Mourinho dengan susunan ayat bagaikan seorang William Shakespeare.

“Dengan usianya sekarang, aku rasa dengan genetiknya, dengan badannya dan juga personalitinya, aku tak rasa dia jenis pemain yang kurang bermotivasi atau tak gembira kerana jarang bermain,” katanya lagi.

“Cuma sekarang ni, satu benda je aku nak koba, oh angin kau kirimkan kalimah kasihku agar dapat dapat ku dengari kalamnya berbunyi…” bisik Mourinho tertunduk, sambil menyeka matanya yang mula mengalirkan bibit-bibit mutiara kerinduan. [1]

Nota :

[1] – Perenggan dan dialog ini hanya rekaan semata-mata. Jangan serius sangat. Kalau nak serius pergi mahkamah.

Sumber berita : Sportskeeda

BACA:  Kisah Mourinho Hampir Diperbodohkan Oleh Kembar Fellaini