Mourinho Salahkan Van Gaal Ekoran Prestasi Tidak Menentu United

BEBERAPA hari selepas me­nyalahkan pemain atas aksi hambar Manchester United dalam tiga perlawanan terakhir, pengurus mereka, Jose Mourinho mengalihkan kesalahan kepada bekas pengendali Red Devils, Louis van Gaal yang dianggap meninggalkan legasi lemah.

Mourinho yang sedang diasak dengan krisis pertamanya di Old Trafford selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut dalam tempoh lapan hari berkata, dia perlu menguruskan pemain yang masih terikut-ikut dengan cara Van Gaal.

Jurulatih kelahiran Portugal itu memberitahu rakan-rakannya, dalam tiga bulan pertama di Old Trafford, masalah utama yang dihadapi adalah kebanyakan pemain masih memiliki ‘mentaliti Van Gaal’.

Katanya, selepas dua tahun Van Gaal me­latih Red Devils adalah agak sukar untuk membuang pendekatan yang digunapakai jurulatih Belanda itu selama ini, sekali gus menjawab kepada persoalan mengapa prestasi United tidak menentu pada awal musim.

Mourinho sebelum ini mengkritik bek kiri Luke Shaw yang dianggap punca kekalahan 1-3 kepada Watford dalam aksi terakhir Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

Dia juga menyalahkan Shaw kerana kesilapan yang dilakukan ketika United tewas 1-2 kepada Manchester City dalam aksi liga pada 10 September.

Mourinho berkata, pemain-pemainnya keliru dengan arahan yang diberi dalam kekalahan baru-baru ini.

Bagaimanapun, dia percaya, mereka akan dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan baharu jika diberikan masa.

Pihak pengurusan tertinggi United masih tenang dengan keadaan kelab itu dan tidak gelisah terhadap cara Mourinho mengawal keadaan.

Begitupun, kenyataan terbuka yang dikeluarkan Mourinho, terutama mengenai Shaw telah menimbulkan suasana tegang dalam bilik persalinan Red Devils. – AGENSI

Sumber : Utusan Online

Baca Juga

Baca Juga