Mourinho Samakan Kemarau Gol Lukaku Dengan Botol Sos

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho sekali lagi mengeluarkan kenyataan penuh berseni apabila menyamakan kemarau gol yang dihadapi Romelu Lukaku ketika ini dengan botol sos.

Mourinho berkata demikian menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang Everton tengah malam ini, yang juga adalah kelab lama Lukaku.

Mourinho tidak gusar dengan kemarau gol Lukaku

Ini bukanlah kali pertama Lukaku menghadapi kemarau jaringan sepanjang kariernya. Namun begitu, setiap kali beliau melalui kemarau gol, ia akan disusuli dengan rentetan perlawanan dimana Lukaku menjaringkan gol tanpa henti sehingga beliau mempunyai statistik ‘goals-per-game’ yang agak baik pada angka 0.45.

Dalam satu temu ramah ekslusif Mourinho bersama Sky Sports, Mourinho telah diminta untuk mengulas kemarau jaringan yang dilalui Lukaku ketika ini. Pengurus berasal dari Portugal itu juga yakin Lukaku akan melalui tempoh cemerlang tidak lama lagi.

“Saya rasa salah seorang penjaring gol terbaik [Cristiano Ronaldo] dalam sejarah bola sepak mempunyai ungkapan yang agak kelakar untuk menggambarkan kemarau gol.”

Sama seperti botol sos, Lukaku hanya perlu digoncang dan gol akan keluar

“Ronaldo pernah menyamakan kemarau gol yang dihadapinya pada suatu ketika dengan satu botol sos. Apabila anda menggoncangnya, ia akan keluar, keluar dan keluar.”

“Saya percaya ia akan berlaku kepada Lukaku tidak lama lagi. Namun realitinya buat masa sekarang, ia masih belum terjadi.”

“Terdapat banyak perlawanan dimana Lukaku gagal menjaringkan sebarang gol. Bukan setakat menjaringkan gol tetapi kegembiraan dalam persembahannya, itu masalah yang berlaku kepada Lukaku sekarang.”

“Tetapi Lukaku adalah pemain yang bagus, pemain yang baik, dan perkara terbaik yang beliau lakukan ketika ini adalah terus berusaha keras dan masa beliau akan menjelma tidak lama lagi.”

Mourinho mendakwa Marco Silva tidak mempunyai tekanan untuk berjaya walaupun berbelanja besar

Mengenai pertemuan liga menentang Everton di Old Trafford malam ini, Mourinho berjaga-jaga dengan ancaman yang dibawa Everton terutamanya dalam menghadapi ancaman bola tinggi dengan Everton telah menjaringkan 6 gol menerusi tandukan setakat ini – iaitu jumlah tertinggi dalam Liga Perdana Inggeris, melebih mana-mana pasukan musim ini.

Menariknya, Red Devils dilihat bergelut untuk menghadapi situasi bola mati terutamanya ketika bertahan sepakan penjuru.

Mourinho juga sempat berbicara mengenai pelaburan yang dilakukan Everton ketika jendela perpindahan musim panas lalu. Everton berjaya mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Colombia, Yerry Mina dari Barcelona walaupun pemain tersebut merupakan antara bek tengah yang menjadi sasaran Mourinho.

Mourinho mendakwa pengurus Everton, Marco Silva tidak mempunyai tekanan yang terlampau tinggi untuk berjaya walaupun berbelanja besar.

Botol sos. Macam Lukaku ke ?

“Everton mempunyai satu kelebihan berbanding kami, iaitu mereka mempunyai jangkaan yang agak rendah walaupun mereka mempunyai potensi sama seperti kami.”

“Semua perkara yang telah Everton lakukan setakat ini adalah positif, mood dalam kem Everton juga agak tenang berkenaan pelaburan  pada musim panas lalu.”

“Everton telah menambah baik skuad mereka. Mereka mempunyai masa untuk bekerja tanpa sebarang tekanan walaupun potensi skuad yang mereka miliki sama sahaja seperti United.”

BACA:  Enam Pemain Yang Pernah Beraksi Untuk Manchester United dan Liverpool