Mourinho: Sanchez Bergelut Dengan Masalah Prestasi Kerana Kecederaan

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho percaya masalah prestasi yang membelenggu Alexis Sanchez musim ini berpunca daripada kecederaan.

Pemain antarabangsa Chile itu hanya mampu menjaringkan satu gol dan mencipta dua assists sahaja musim ini dalam 7 penampilan di Liga Perdana Inggeris.

Sanchez juga tidak bermain dalam pertemuan terakhir United menentang Juventus di Old Trafford dua hari yang lalu akibat mengalami kecederaan di bahagian groin.

Sanchez bergelut kerana cedera, bukan kerana berlatih piano

Sanchez juga hampir pasti akan terlepas perlawanan United yang seterusnya menentang Everton di gelanggang sendiri akibat masalah kecederaan yang sama.

Dalam sidang media menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang Everton hujung minggu ini, Mourinho berkata Sanchez perlu bermain secara berturut-turut untuk mendapatkan kembali prestasi terbaiknya seperti yang pernah beliau tunjukkan ketika beraksi dengan Arsenal suatu ketika dahulu.

“Buat masa sekarang, memang benar Sanchez sedang bergelut kerana beliau mengalami kecederaan. Beliau masuk ketika perlawanan menentang Chelsea untuk membantu pasukan walaupun keadaan fizikalnya tidak berapa baik.”

Sanchez cedera dan tidak dapat bermain menentang Juventus, Bukan sebab dia mahu keluar dari United

“Selepas itu, beliau terpaksa berehat dan tidak dapat diturunkan menentang Juventus. Saya percaya beliau masih lagi tidak dapat diturunkan malam esok [menentang Everton].”

“Jadi sekarang, perkara paling utama adalah beliau perlu berada dalam keadaan fizikal yang terbaik dahulu.”

“Sanchez tiba di Old Trafford pada Januari musim lepas. Saya tidak rasa ia merupakan situasi yang ideal bagi pemain tersebut.”

“Tetapi musim ini, beliau mempunyai permulaan yang baik. Beliau mengharungi pra-musim yang bagus dan bermain baik ketika menentang Leicester. Selepas itu beliau mengalami kecederaan. Selepas itu, Sanchez kembali ke dalam pasukan dan mengalami kecederaan sekali lagi.”

“Jadi sekarang, beliau bergelut untuk berada pada tahap fizikal yang terbaiknya. Saya percaya Sanchez merupakan pemain yang perlu berada pada tahap terbaik untuk memberikan persembahan yang jitu.”

Bukan Sanchez sahaja yang perlu dirisaukan Mourinho menjelang pertemuan menentang Everton kerana terdapat beberapa pemain utama United juga sedang bergelut dengan masalah kecederaan seperti  Marouane Fellaini, Phil Jones, Scott McTominay, Jesse Lingard dan Diogo Dalot.

Mourinho menyalahkan tugasan antarabangsa sebagai punca ramai pemainnya mengalami kecederaan.

“Kesemua pemain yang cedera adalah pemain kebangsaan. Selepas menentang Newcastle, pemain saya menyertai pasukan kebangsaan dalam keadaan yang baik.”

Lingard antara pemain yang mengalami kecederaan di Piala Dunia yang lalu

“Namun demikian, selepas dua minggu, kami hilang Dalot yang beraksi untuk Portugal, Fellaini bersama Belgium, Sanchez bersama Chile, dan McTominay bersama Scotland.”

“Ada beberapa pasukan kebangsaan yang sangat profesional dengan kami dan menghantar pemain kembali kepada United, tetapi ada juga pasukan kebangsaan yang tidak profesional.”

“Mereka menyimpan pemain yang cederan dan kami tidak dapat mengetahui kecederaan apakah yang dialami pemain.”

“Para pemain tiba dua hari sebelum menentang Chelsea dan kami tidak mengetahui keadaan sebenar dan apa yang berlaku ke atas mereka.”

BACA:  Premier League 2022/23: Arsenal 3-2 Manchester United (Agregat 4-5)