Mourinho: Sanchez Pilih Manchester United Bukan Sebab Duit

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata keputusan Alexis Sanchez untuk menyertai Red Devils bukanlah disebabkan tawaran gaji yang lebih tinggi seperti yang didakwa beberapa sumber.

Pemain antarabangsa Chile ini dilihat hampir menyertai Machester City pada suatu ketika tetapi The Citizens menarik diri kerana kos yang terlalu tinggi bagi seorang pemain yang hampir tamat kontraknya.

Debut Sanchez bersama United dalam saingan Piala FA menentang Yeovil

Situasi ini membolehkan United menyambar khidmat Sanchez tanpa sebarang saingan, ditambah dengan kemampuan kewangan mereka yang mampu memenuhi permintaan gaji Sanchez yang tinggi.

Sumber Skysports melaporkan Sanchez bakal menerima gaji mingguan melebihi £350,000 seminggu di Old Trafford, menjadikan beliau penerima gaji tertinggi di Manchester United dan di Liga Perdana Inggeris secara keseluruhannya.

Apabila disoal pihak media mengapa Sanchez memilih untuk menyertai United dan bukannya City, Mourinho berkata faktor duit tidak memainkan sebarang peranan dalam keputusan Sanchez.

“Saya tidak tahu. Apa yang saya tahu jika kelab lain gagal mendapatkan Sanchez, ia bukan disebabkan duit. Nilailah angka yang telah dibelanjakan Manchester City, Chelsea. Everton pon berbelanja melebihi kami.”

Mourinho dakwa Everton berbelanja lebih dari pasukannya

“Kamu perlu melihat situasi Sanchez dari persektif yang berbeza. Berapakah nilai Alexis Sanchez jika kontrak beliau masih berbaki 3 tahun? Melihatkan situasi semasa, saya berani cakap nilai Sanchez di antara £100juta – £150juta.”

“Sanchez boleh pergi kemana-mana kerana beliau mempunyai banyak pilihan. Beliau memilih untuk datang ke sini dan anda perlu tanya beliau mengapa.”

“Adakah beliau mahal? Murah? Sejujurnya, jumlah yang kami bayar adalah berpatutan. Saya percaya perjanjian ini bagus buat United.”

Pep Guardiola berkata City terpaksa menarik diri dalam persaingan mendapatkan Sanchez kerana perlu memelihara kestabilan kelab. Tetapi Mourinho mempunyai pendapat beliau sendiri mengenai tindakan City menarik diri.

Kisah Guardiola dan buah orennya

“Sanchez mengingatkan saya mengenai satu metafora. Apabila kamu melihat sebatang pokok yang mempunyai buah oren yang sungguh lazat di atas sekali, tetapi kamu tidak dapat memetik buah tersebut kerana terlalu tinggi.”

“Kemudian kamu akan mencari buah yang lebih rendah dan berkata kepada diri sendiri yang kamu tidak berminat dengan buah oren paling atas.”

“Kamu tidak mahu memanjat lebih tinggi kerana lebih sukakan buah di tempat lain. Walaupun buah paling atas adalah yang terbaik dan mempunyai jus paling banyak, tetapi apakan daya kamu tidak dapat memanjat setinggi itu.”

“Metafora ini mengingatkan saya mengenai situasi Manchester City berkenaan Sanchez.”

BACA:  Teori Konspirasi Tentang Mengapa Man Utd Bakal Menjuarai Saingan Premier League Musim Hadapan