Mourinho Selamat Dan Masih Mendapat Sokongan Kelab

London: Pengurus Chelsea Jose Mourinho akan terus menikmati sokongan penuh kelab itu walaupun persembahan anak buahnya sedikit bercelaru sejak awal musim.

“Kami mahu memaklumkan Jose masih lagi mendapat sokongan penuh kami,” kata Chelsea dalam satu kenyataan ringkas di laman web rasmi Blues.

“Seperti yang sudah diperkatakan Jose, keputusan yang mereka capai tidak begitu baik dan prestasi pasukan harus ditingkatkan. Bagaimanapun, kami percaya Chelsea mempunyai pengurus yang berupaya mengubah keadaan itu di samping juga mempunyai pemain untuk melakukannya.”

Ketika ini, Chelsea menduduki dua tangga di atas zon penyingkiran Liga Perdana apabila tewas empat kali dan hanya menang dua dari lapan perlawanan setakat ini – pencapaian terburuk kelab sepanjang 37 tahun lalu.

Bercakap kepada wartawan selepas kekalahan 1-3 di tangan Southampton Sabtu lalu, Mourinho secara terbuka memberitahu risiko pemecatan yang dihadapinya tetapi tegas mengatakan beliau tidak akan sesekali mengalah.

“Jika kelab mahu memecat saya, mereka boleh melakukannya. Saya tidak akan lari,” katanya.

“Ini saat sukar dalam sejarah kelab kerana jika saya dipecat, mereka memecat pengurus terbaik pernah membimbing kelab ini. Mesejnya sekarang ialah kami mendapat keputusan buruk dan pengurus perlu bertanggungjawab.

“Ini saatnya semua pihak perlu bertanggungjawab. Saya memikul tanggungjawab dan pemain juga perlu menjalankan tugasan diberikan.

“Semua pihak dalam kelab juga perlu memikul tanggungjawab masing-masing dan apa yang harus dilakukan ketika ini adalah bersatu padu.”

AFP

Baca Juga

Baca Juga