Mourinho Selamber Tuduh Sarri Dan Pemain Lazio Sedang Merokok Bersama Di Rumah

Jose Mourinho sepertinya sudah memulakan langkah untuk bermain permainan minda dengan Maurizio Sarri menjelang aksi derby bertemu Lazio hujung minggu ini.

Pengurus dari Portugal itu sememangnya terkenal dengan kemampuan beliau untuk bermain permainan minda.

‘The Special One’ telah bercakap dengan media Itali awal pagi tadi, selepas kejayaan anak-anak buahnya menewaskan Vitesse 2-1 (aggregate) dalam aksi saingan Europa Conference League.

Beliau ketika itu telah mendedahkan yang pemain Lazio sedang bergembira menikmati rokok bersama pengurus mereka, Maurizio Sarri di rumah.

Bersetuju dengan kenyataan yang pemainnya terpaksa mengharungi jadual padat sejak akhir-akhir ini, Mourinho menyatakan bahawa:

“Jelas sekali, saya tak gembira yang kami bermain hari ini dengan ramai pemain yang terpaksa bermain lagi pada hujung minggu nanti, sementara Lazio malam ini, mereka duduk di rumah merokok dengan Sarri, tapi Vitesse memang sangat bagus.”

Mourinho kemudiannya menambah lagi dengan menyatakan bahawa:

“Sekarang Sari dekat rumah sedang merokok, sementara saya pula perlu pulang ke rumah dan cuba fikir bagaimana kami mahu recover menjelang Ahad.”

Tammy Abraham yang sudah berjaya menjaringkan 22 gol dalam semua pertandingan musim ini cemerlang membantu Roma untuk mara ke peringkat suku akhir saingan Europa Conference League.

Vitesse terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-69 permainan dengan mereka sepertinya bakal membawa perlawanan ke aksi tambahan masa selepas mengikat kedudukan 1-1 secara aggregate.

Tammy Abraham walau bagaimanapun muncul sebagai wira AS Roma selepas cemerlang menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir permainan.

Roma layak ke peringkat suku akhir saingan Europa Conference League selepas menewaskan Vitesse 2-1 secara aggregate.

Sebaik tamat perlawanan Mourinho terus memikirkan tentang persiapan skuadnya bagi menghadapi Lazio dalam saingan Serie A selepas ini.

Komen beliau tentang Sarri sedang merokok bersama anak-anak buahnya itu telah mencuri perhatian peminat di media sosial dengan ramai yang terhibur dengan perang minda dari Mourinho itu.

“Macam mana dia boleh terfikir untuk cakap yang Sarri sedang merokok? Mourinho benar-benar legenda.”

“Walau baru saja layak ke peringkat suku akhir, dia dah mula lancarkan serangan peribadi kepada Lazio, Mourinho tak pernah berubah.”

“Cara dia cakap Sarri sedang merokok bersama pemainnya buat saya rasa terhibur. Mourinho tak pernah kecewa hiburkan peminat ketika bercakap dalam sidang media.”

Sarri dikatakan mampu menghabiskan tiga ke empat kotak rokok sehari dan mungkin kerana itulah Mourinho mengusiknya tentang hal tersebut.

Pada tahun 2019 yang lalu, ketika sedang bercuti di Ascoli-Piceno di Itali, bekas pengurus Chelsea itu mengaku yang beliau sangat kuat merokok.

“Saya merokok 60 batang sehari, yang mana saya rasa ia agak keterlaluan.”

Jelas Sarri kepada La Nuova Riviera.

“Saya tak rasa ada keperluan untuk saya merokok ketika perlawanan berlangsung, tapi selepas dari itu ia memang satu keperluan. Saya ada masalah sakit belakang yang menyiksa saya selama berminggu-minggu, tapi saya rasa semakin membaik sekarang.”

Dalam satu temu bual selepas tamat aksi kemenangan bertemu Venezia minggu lalu, Sarri telah memberi komen yang Lazio sebenarnya memiliki kelebihan dari segi masa berbanding lawan mereka untuk persiapan menghadapi aksi derby.

“Saya selalu katakan yang kami tak boleh bermain tiga perlawanan seminggu dan statistik membuktikan itu. Kami hanya ada purata 2.1 mata sahaja setiap perlawanan tanpa Europa League dan 0.60 mata ketika ada Europa League.”

Jelasnya kepada Sky Sports.

“Memandangkan kami sudah bermain lapan perlawanan dalam saingan Europa League, stats menunjukkan yang kami kehilangan 10 mata. Itu adalah limit kami. Sudah tentu bermain pada hari Khamis tidak seperti bermain pada hari Selasa atau Rabu. Ia sangat sukar.”

“Bahkan pasukan yang sudah bermain pada hari Khamis tidak menang dan saya tak fikir itu nasib. Pada pandangan saya, bermain pada hari Khamis dan Ahad, kadang kala selepas tak sampai 72 jam adalah sangat memenatkan, tapi dalam dunia bola sepak modern dan sesiapa saja yang sudah biasakan diri, mereka akan ada kelebihan.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ancelotti Menyenaraikan Kesebelasan Terbaik Pilihannya