Mourinho: Sikap Sambil Lewa Pemain Punca Utama Manchester United Gagal Raih 3 Mata

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mengkritik sikap yang dipamerkan anak buahnya ketika menentang Wolves yang berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Old Trafford semalam.

Manchester United terlebih dahulu membuka jaringan perlawanan menerusi jaringan cantik daripada pemain tengah baru mereka iaitu Fred. Namun begitu, permainan yang dipamerkan Manchester United jauh dari standard mereka yang sebenar dan ia membolehkan Wolves melancarkan serangan demi serangan bagi mencari gol penyamaan.

Drop point lagi. Mourinho kecewa dengan sikap pemain United ketika menentang Wolves

Akhirnya, gawang United yan dikawal David De Gea dibolosi pada minit ke-53 menerusi jaringan cantik daripada Joao Moutinho, hasil kerja keras Raul Jimenez. Tiada tambahan gol lagi selepas itu dan Mourinho nyaris menyaksikan pasukannya tewas di tempat sendiri buat kali kedua berturut-turut.

Dalam perlawanan di tempat sendiri sebelum ini, United dimalukan Tottenham Hotspurs dengan jaringan 3-0. Namun begitu, Mourinho mengejutkan banyak pihak apabila berkata beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dalam perlawanan tersebut walaupun tumpas.

Walau bagaimanapun, nada Mourinho nyata berbeza selepas United menamatkan rentetan 3 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan dengan keputusan seri malam tadi.

“Ia bukan satu persembahan yang baik dan bukan keputusan yang kami cari tetapi ia merupakan keputusan yang adil untuk semua pihak.”

“Berdasarkan apa yang saya lihat dari pemain Wolves dalam perlawanan tadi, mereka berhak meraih keputusan tersebut. Mereka bermain dengan cara yang saya ingin lihat iaitu seperti perlawanan akhir Piala Dunia.”

Joao Moutinho menghancurkan hati jutaan peminat Red Devils seluruh dunia

“Ia merupakan sikap yang ingin saya lihat dalam pasukan United bagi setiap perlawanan. Kami tidak mempunyai keinginan seperti mereka. Sikap pemain Wolves menjadi perbezaan dalam perlawanan tadi.”

“Saya menjangkakan pemain saya akan bermain lebih baik dari apa yang mereka tunjukkan tadi. Jika kami bermain seperti ketika menentang Spurs tempoh hari, saya percaya kami akan menang tadi.”

“Kenyataan saya ini mungkin agak bercanggah tetapi saya berasa lebih kecewa hari ini berbanding ketika kami tewas di tangan Tottenham tempoh hari.”

“Kami tewas di tangan Tottenham tetapi saya suka melihat persembahan para pemain United. Sudah tentu kali ini kami meraih keputusan yang lebih baik kerana satu mata lebih bagus dari kosong. Tapi saya tidak suka persembahan pasukan dalam perlawanan tadi.”

Selain itu, Mourinho mengakui agak sukar bagi beliau untuk menerima kesilapan yang dilakukan Paul Pogba ketika Wolves menjaringkan gol penyamaan pada awal babak kedua.

Paul ‘Dab’ Pogba bersalah melepaskan bola yang berakhir dengan gol penyamaan Wolves.

“Ia merupakan situasi yang mana pemain-pemain saya sudah sedia maklum yang mereka akan menekan di bahagian tengah.”

“Anda tidak mempunyai masa yang banyak apabila bola di kaki anda untuk berpusing dan menyentuh bola. Kami tahu yang kami tidak akan mempunyai masa yang banyak untuk perkara-perkara tersebut.”

BACA:  Ralf Rangnick Akan Jadi Pengurus Tetap Andai Berjaya Bawa United Menjuarai UCL