Mourinho: Tanya Pogba Sendiri Mengapa Prestasi Beliau Hambar

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mendakwa hanya Paul Pogba sahaja yang mempunyai jawapan berkenaan prestasi hambar yang dipamerkan beliau ketika ini.

Bekas pengurus Real Madrid dan Chelsea itu turut menambah masalah kecederaan bukanlah penyebab prestasi Pogba merudum dengan teruk kebelakangan ini.

Mourinho tidak jawapan kepada masalah prestasi Pogba

Pogba sering menerima kritikan dari pelbagai pihak selepas mempamerkan prestasi yang tidak konsisten sejak kembali menyertai Manchester United dari Juventus pada tahun 2016.

Pogba muncul pemain termahal dunia ketika itu dengan yuran perpindahan sekitar £89.3 juta, sebelum dipintas Neymar musim panas lalu.

Musim kedua Pogba di Old Trafford tidak berjalan dengan baik kerana beliau terpaksa berehat selama 10 minggu akibat masalah hamstring yang dialaminya pada November tahun lepas.

Walaupun sudah kembali beraksi dalam pasukan utama, Pogba kini sedang bergelut dengan masalah kecergasan dan prestasi yang mengakibatkan tempat beliau dalam kesebelasan utama diisi oleh pemain muda, Scott McTominay.

Pogba yang dulu bukanlah Pogba yang sekarang

Ketika bercakap kepada pemberita menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang Swansea malam ini, Mourinho berkata Pogba tidak boleh menyalahkan kecederaan atas prestasi hambarnya kerana proses pemulihan beliau berjalan dengan cukup baik.

“Prestasi hambar yang dipamerkan Pogba bukan berpunca daripada masalah kecederaan. Proses pemulihan beliau berjalan dengan baik.”

“Anda tanyalah Pogba sendiri. Anda harus tanya soalan ini terus kepada Pogba jika ada kesempatan. Tanya apa pendapat beliau mengenai perkara ini.”

“Kerja saya adalah untuk mendapatkan yang terbaik daripada Pogba. Itu sahaja yang mampu saya lakukan. Saya tidak mampu lakukan lebih dari itu. Beliau mengalami kecederaan serius musim ini dan musim lepas.”

“Saya rasa badannya baik je selepas kecederaan tersebut. Ia merupakan kecederaan yang agak sukar. Bagi pemain di kelab lain, kecederaan yang dialami Pogba mungkin diselesaikan dengan menjalani pembedahan.”

“Disini, Pogba mempunyai pilihan untuk tidak menjalani pembedahan. Proses pemulihan beliau juga berlangsung dengan cukup baik.”

Sebelum ini, pengurus berasal dari Portugal ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan wujudnya konflik di antara beliau dan Pogba, walaupun pada masa yang sama beliau mendakwa Pogba tidak bermain dengan baik ketika itu.

Shaw mangsa terbaru Mourinho

Perkara yang sama juga berlaku terhadap Luke Shaw dimana Mourinho secara terang-terangan mengkritik pemain tersebut atas persembahan beliau bersama Manchester United. Kemuncaknya adalah ketika Shaw dibawa keluar selepas berakhir separuh masa pertama dalam perlawanan Piala FA menentang Brighton tempoh hari.

Terdapat laporan mengatakan Shaw tidak gembira dengan layanan buruk Mourinho terhadapanya. Laporan tersebut juga mendakwa Shaw menunjukkan rasa tidak puas hatinya dalam bilik persalinan dengan meminta penjelasan dari Mourinho sendiri mengapa beliau sering menjadi mangsa kritikan.

“Terdapat berita mengatakan Shaw ada bertanya mengapa saya mengeluarkan beliau ? Shaw tidak bertanya tetapi saya yang memberitahu beliau sebabnya. Saya beritahu beliau.”

“Apa yang berlaku sejak dari insiden itu? Tiada apa-apa. Saya masih lagi jurulatih pasukan ini. Saya berkuasa untuk melakukan pertukaran dalam pasukan pada masa yang saya rasakan sesuai.”

BACA:  Penilaian Pembelian Pemain Dari Liga Portugal Ke United