Mourinho: Tempat Ke-2 Dalam Liga Lebih Bermakna Daripada Memenangi Piala FA

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata kejayaan United musim ini bergantung sama ada mereka mampu mengakhiri musim di kedudukan ke-2 dalam Liga Perdana Inggeris, bukannya dengan memenangi Piala FA.

Kenyataan itu dikeluarkan Mourinho selepas melihat pasukannya menewaskan Tottenham Hotspurs 2-1 di Wembley semalam sekaligus mengesahkan tempat mereka di perlawanan akhir bulan hadapan.

Ada nampak mami happy ?

Pemain muda England, Dele Alli terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan perlawanan seawal minit ke-11 selepas menerima hantaran cantik daripada Christian Eriksen.

Kegembiraan penyokong Spurs tidak kekal lama kerana pada minit ke-24, kesilapan daripada Moussa Dembele membenarkan Paul Pogba untuk melakukan hantaran ke dalam kotak penalti Spurs dan bola tersebut berjaya ditanduk masuk Alexis Sanchez untuk gol penyamaan United.

Gol kemenangan United hadir pada babak kedua menerusi Ander Herrera yang merembat kencang menewaskan penjaga gol Spurs, Michael Vorm. Kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dengan United kental bertahan menahan asakan bertali arus Spurs pada lewat permainan.

Ketika bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan, bekas pengendali Chelsea dan Real Madrid itu mendakwa musim ini boleh dianggap sebagai satu kejayaan sekiranya United berjaya mengakhiri musim di kedudukan ke-2 liga.

Alexis Sanchez meneruskan rekod baik beliau setiap kali beraksi di Wembley

“Perkara paling penting sekarang adalah kami memerlukan dua kemenangan dan satu seri untuk menamatkan musim di tempat ke-2 dengan 81 mata.”

“Jika kami berjaya melakukan perkara tersebut, menamatkan musim di tempat ke-2 dan mengutip 81 mata di belakang pasukan Manchester City yang kuat, musim ini boleh dianggap sebagai satu kejayaan.”

“Musim ini adalah satu kejayaan jika kami berada di tempat ke-2, dan mengharungi kempen Liga Perdana Inggeris lebih baik daripada Liverpool, Tottenham, Chelsea dan Arsenal.”

“Jika kami dapat melakukannya, ia adalah satu kejayaan kerana 81 mata lebih tinggi daripada sasaran asal kami iaitu 80 mata dan ia juga jauh lebih tinggi daripada kutipan mata kami musim lepas.”

“Ia bermakna kami menang lebih banyak perlawanan, menjaringkan lebih banyak gol, tidak melepaskan gol dengan banyak, dan mencatatkan keputusan yang lebih bagus menentang pasukan atasan yang lain.”

“Perlawanan akhir adalah cerita lain, sudah tentu anda akan cuba untuk memenangi perlawanan tersebut. Tetapi saya tidak rasa sebuah pasukan, pemain atau pengurus boleh dianggap gagal atau berjaya hanya berdasarkan satu perlawanan sahaja.”

Selepas melihat pasukannya tewas mengejut di tangan West Brom sekali gus mengesahkan Manchester City sebagai juara Liga Perdana Inggeris, Mourinho dan anak buahnya menjalani latihan di London (padang latihan Fulham) selama 5 hari bagi mempersiapkan pasukan untuk menghadapi perlawanan separuh akhir.

Ander Herrera, hero yang tidak disangka

Mourinho juga berkata adalah penting untuk pasukannya melupakan episod pahit yang berlaku di Old Trafford tempoh hari.

“Beberapa hari yang lalu kami kehilangan mata yang sepatutnya tidak berlaku. Saya boleh bayangkan jika kami tewas menentang Spurs, saya tidak akan berasa kecewa seperti tewas di tangan West Brom, walaupun ia merupakan perlawanan separuh akhir Piala FA.”

“Kami menunjukkan response yang bagus selepas kekalahan di tangan West Brom. Kami tinggal bersama selama 5 hari juga banyak membantu pasukan. Kami keluar dari Manchester, jauh dari tempat asal dan tinggal di London bersama.”

BACA:  Premier League 2019/20: Liverpool 2-0 Manchester United