Mourinho Tidak Berminat Galas Tugas Sebagai Jurulatih Portugal

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata beliau tidak memasang sebarang niat untuk melatih skuad kebangsaan Portugal dalam masa terdekat ini.

Sebelum ini, pengurus berasal dari Portugal ini pernah berkata beliau mungkin berminat untuk melatih skuad Portugal pada masa hadapan seandainya beliau sudah bosan dengan tugasan di peringkat kelab.

Mourinho menafikan beliau akan menjawat jawatan jurulatih Portugal dalam masa terdekat kerana lebih selesa dengan tugas harian sebagai pengurus kelab

Walaubagaimanapun, ketika bercakap kepada majalah GQ Magazine, Mourinho mendakwa beliau tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menjadi jurulatih di peringkat antarabangsa kerana beliau lebih gemar terlibat dalam menguruskan pasukan setiap hari.

“Tidak, saya tidak ‘dekat’ untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan. Saya rasa saya lebih sesuai jadi jurulatih kelab kerana saya perlu ‘beraksi’ setiap minggu dan melakukan sesi latihan setiap hari.”

“Saya dapat rasa saya lebih bertenaga hari ini dari beberapa tahun yang lalu.”

Mourinho percaya dengan adanya Ronaldo dalam skuad Portugal, mereka akan mengharungi kempen Piala Dunia yang baik

Portugal kini sedang dilatih oleh Fernando Santos dan mereka dianggap sebagai pasukan ‘underdog’ untuk menjuarai Piala Dunia 2018 walaupun hadir ke Russia sebagai juara Eropah.

Mourinho percaya dengan adanya Cristiano Ronaldo dalam skuad Portugal, beliau dapat rasakan Portugal mampu menghadirkan cabaran di Russia nanti.

“Pemain seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi merupakan pemain yang sangat hebat sehinggakan mereka mampu membuatkan seluruh pasukan bermain lebih baik jika dibandingkan dengan di atas kertas. Jadi saya berpendapat Argentina dan Porugal akan mengharungi kempen Piala Dunia yang baik.”

Adakah skuad Portugal kali ini mampu mengulangi pencapaian cemerlang mereka muncul juara Eropah dua tahun lepas ?

“Brazil pula mampu bermain dengan baik dari segi taktikal dan bertahan kerana pengurus mereka yang bernama Tite. Mereka juga mempunyai bakat semulajadi yang anda sering lihat dari pemain Brazil. Mereka merupakan pasukan yang ramai akan perhatikan.”

“Berbalik kepada pasukan dari benua Eropah, Sepanyol dilihat pasukan yang cukup kuat ketika pusingan kelayakan. Mereka mempunyai gandingan baik di antara pemain muda dan pemain berpengalaman. Tetapi kebiasaannya tentu akan ada kejutan di Piala Dunia nanti.”

“Portugal pula merupakan pasukan yang mana bakat baru akan sentiasa ada dan kini berada dalam skuad kebangsaan. Saya dapat rasakan pasukan ini mempunyai pemain yang lebih baik dari skuad Portugal dua tahun lepas.”

“Portugal dapat lakukan apa sahaja. Adakah kami akan menjadi juara Dunia ? Saya tidak berani untuk berkata sedemikian. Tetapi jika kami bermain dengan baik, kami mampu tewaskan mana-mana pasukan.”

Portugal akan membuka kempen Piala Dunia mereka dengan perlawanan sukar menentang Sepanyol pada 16 Jun diikuti dengan Morroca dan Iran.

BACA:  Manchester United Sedia Untuk Ceraikan Cristiano Ronaldo