Mourinho: United Tidak Akan ‘Tamak’ Ketika Berbelanja Musim Panas Nanti

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata beliau tidak akan melakukan perkara ‘gila’ dalam jendela perpindahan musim panas walaupun United perlu melakukan sesuatu  untuk merapatkan jurang dengan Manchester City.

Terdapat kemajuan dalam musim kedua Mourinho menguruskan Manchester United. Walaupun gagal memenangi Liga Perdana Inggeris, mereka telah mengutip lebih banyak mata berbanding musim lepas.

United tidak akan berbelanja gila musim panas nanti

Musim lepas United hanya mampu mengutip 69, tetapi musim ini mereka telah berjaya mencatatkan 71 mata dengan liga masih lagi berbaki 6 perlawanan.

Walaubagaimanapun, apa yang mengecewakan banyak pihak adalah bagaimana mereka tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah musim ini. Red Devils dikejutkan oleh Sevilla di tempat sendiri walaupun berjaya merekodkan keputusan yang baik di tempat lawan.

Dalam saingan peringkat domestik pula, United ketinggalan 16 mata di belakang pendahulu liga, City menjelang pertemuan menentang West Bromwich Albion hujung minggu ini. Jurang mata tersebut jelas menunjukkan masih banyak lagi yang perlu dilakukan Mourinho untuk bersaing dengan Manchester City musim hadapan.

Sejak mengambil alih tampuk pengurusan kelab daripada Louis Van Gaal pada musim panas 2016, Mourinho telah membelanjakan lebih  £300juta untuk memperkuatkan pasukannya tetapi hasil yang diperolehi United tidak begitu berbaloi.

300juta telah dibelanjakan tetapi masih lagi belum cukup untuk memenangi Liga Perdana Inggeris

Bagi mempersiapkan pasukan untuk musim hadapan, Mourinho berkata beliau akan lebih bertanggungjawab dalam pasaran perpindahan walaupun sedar Manchester City akan sekali lagi berbelanja besar untuk tujuan yang sama.

“Kami tidak akan berbelanja melebihi apa yang kami mampu. Manchester United tidak akan melakukan kerja gila. Apa yang perlu kami lakukan adalah memperbaiki beberapa perkara. Itu yang akan kami cuba lakukan.”

“Setiap pasukan akan berbelanja untuk memperkuatkan skuad – sama seperti yang kami lakukan musim lepas. Musim lepas kami mengakhiri musim di kedudukan ke-6 dan musim ini saya berharap kami mampu menduduki tangga ke-2.”

“Musim depan kami akan cuba memperbaiki kelemahan pasukan musim ini, tetapi tengoklah apa yang bakal berlaku. Mungkin Manchester City akan berbelanja besar lagi sekali dan tidak membenarkan pasukan lain merapatkan jurang dengan mereka. Itu saya tidak tahu.”

“Tetapi Liga Perdana Inggeris bukan hanya mengenai kami dan Manchester City. Tetapi liga ini mengenai United, City, Liverpool, Arsenal, Chelsea dan Spurs. Ia bergantung kepada 6 pasukan ini.”

Konsisten Pogba, Konsisten ! Jangan macam yo-yo

Mourinho juga menjelaskan apa yang diperkatakan beliau kepada Paul Pogba selepas pemain tersebut muncul wira pasukannya apabila bangkit dari ketinggalan untuk mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Manchester City tempoh hari.

“Ini adalah apa yang saya beritahu Pogba selepas tamat perlawanan tersebut, ‘Saya tahu anda tidak akan menjadi pemain terbaik perlawanan setiap minggu. Saya tahu anda tidak akan menjaringkan dua gol setiap minggu. Tetapi saya hanya mahu kamu menampilkan aksi yang konsisten setiap minggu’.”

“Saya mahu Pogba mengekalkan tahap permainannya pada satu tahap yang stabil.”

BACA:  Pesanan Larry Buat Penyokong Man United: "Jadi Macam Penyokong Arsenal, Tiada Harapan Dan Mereka Ceria"