Pengurus Manchester United, Jose Mourinho dalam nada yang yakin berkata pasukannya akan memecah masuk dalam kedudukan ‘Top 4’ Liga Perdana Inggeris tidak lama lagi.
Walau bagaimanapun, apabila ditanya adakah Manchester United akan memberi saingan dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini, Mourinho enggan memberikan komen kerana United berada di luar ‘Top 4’ ketika ini.
Red Devils kini menduduki tangga ke-8 liga selepas hanya mampu mengutip 17 mata dari 10 perlawanan. Mereka ketinggalan 5 mata di belakang penghuni tempat ke-4, Arsenal dan 9 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City.
Walaupun berjaya mencatatkan kemenangan ke atas Everton minggu lepas, United hanya mampu meraih 2 kemenangan dari 5 perlawanan terakhir liga mereka. Namun begitu, Mourinho percaya prestasi United akan bertambah baik selepas ini dan mereka akan merapatkan jurang dengan pasukan atasan tidak lama lagi.
“Apabila anda berada di luar ‘Top 4’, saya rasa tidak layak untuk bercakap mengenai perebutan kejuaraan liga.”
“Apabila Manchester United berada di dalam ‘Top 4’, yang mana saya percaya akan berlaku tidak lama lagi, saya boleh melihat ke atas dan melihat jarak mata dengan pendahulu.”
“Buat masa sekarang, kami berada di luar ‘Top 4’ jadi fokus utama kami sekarang adalah untuk mengutip mata yang diperlukan supaya kami dapat berada di kedudukan yang lebih baik menjelang penghujung Disember.”
Menurut sumber Sky Sports, Manchester United bersedia untuk menyokong penuh Mourinho dalam pasaran perpindahan pemain yang akan dibuka Januari tahun hadapan.
Pengurus berasal dari Portugal itu dikatakan mahu membawa masuk sekurang-kurangnya seorang pemain pertahanan tengah yang baru selepas gagal melakukannya pada jendela musim panas lalu.
Dalam sidang media menjelang pertemuan menentang Bournemouth, Mourinho telah ditanya mengenai rancangannya dalam jendela perpindahan Januari tetapi enggan memberi sebarang ulasan mengenai perkara tersebut. Mourinho berkata fokus utamanya sekarang adalah untuk meningkatkan prestasi pemain sedia ada.
“Buat masa sekarang, kami hanya perlu fokus pada diri sendiri supaya dapat beraksi lebih baik. Sehingga penghujung Disember, kami perlu fokus pada diri sendiri.”
“Sekarang, kami berada di luar ‘Top 4’ dan kami perlu bekerja keras untuk menjadi lebih baik seterusnya kembali berada di kedudukan empat teratas.”
Mengenai senarai pemain yang sedang mengalami kecederaan, Mourinho berkata beliau gembira melihat kemajuan yang ditunjukkan Alexis Sanchez dan Jesse Lingard ketika sesi pemulihan.
“Jesse dan Alexis berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding minggu lepas. Minggu lalu, kedua-dua pemain terpaksa berhempas pulas untuk berada dalam skuad bagi membantu pasukan.”
“Sekarang lain pula ceritanya. Keadaan Jesse dan Alexis bertambah baik selepas berlatih dengan pasukan selama seminggu. Mereka sudah bersedia untuk diturunkan.”