Moyes Bakal Pengganti Sherwood?

LONDON: Bekas pengurus Everton dan Manchester United, David Moyes dan bekas pengendali kelab Perancis, Lyon, Remi Garde disebut-sebut antara pilihan untuk menggantikan Tim Sherwood yang dipecat Aston Villa.

Selepas lapan bulan mengemudi Villa, kelab itu dalam satu kenyataan mengesahkan pemecatan Sherwood sejurus kekalahan 2-1 kepada Swansea City yang juga kekalahan keenam berturut-turut kelab itu, musim ini.

Villa ketika ini menduduki tangga tercorot Liga Perdana Inggeris selepas hanya mengumpul empat mata daripada 10 perlawanan.

“Lembaga Pengarah percaya keputusan di atas padang tidak cukup baik dan perubahan tidak boleh dielakkan,” kata kenyataan yang dikeluarkan kelab itu.

Berbanding Moyes yang ketika ini mengendalikan kelab Sepanyol, Real Sociedad, Garde yang juga bekas pemain tengah Arsenal dikatakan calon pilihan bagi tugas terbabit malah Villa dikatakan turut mendapatkan nasihat pengurus The Gunners, Arsene Wenger.

Ketika ini, pengurus skuad Bawah 21 tahun kelab itu, Kevin MacDonald memegang jawatan itu secara sementara.

Villa dikatakan akan membuat perjumpaan dengan beberapa calon berpotensi namun penggantinya dikatakan tidak akan diketahui sekurang-kurangnya sehingga minggu depan.

Selain Sherwood, pengurus Sunderland, Dick Advocaat; pengurus Newcastle, Steve McClaren dan pengendali Chelsea, Jose Mourinho juga dikatakan berada dalam pemerhatian kelab masing-masing. – AGENSI

Baca Juga

Baca Juga