Moyes: Saya Mampu Uruskan Mana-Mana Pasukan Dalam Dunia Ini

Bekas pengurus Manchester United, David Moyes menegaskan yang dirinya mampu menguruskan mana-mana kelab bolasepak dalam dunia ini.

Walaupun gagal beberapa kali ketika menguruskan pasukan seperti Manchester United, Real Sociedad dan Sunderland, pengurus berasal dari Scotland ini memang seorang yang berkeyakinan tinggi.

Moyes kembali dalam arena pengurusan selepas dilantik menjadi pengurus West Ham yang baru selepas The Hammers memecat Slaven Bilich ekoran prestasi buruk yang dipamerkan pasukan ketika itu.

Muka seorang pengurus yang mampu uruskan semua kelab dalam dunia

Sejak mengambil alih West Ham, Moyes berjaya mencatatkan dua kemenangan dan satu seri dari 3 perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris untuk mengheret West Ham keluar dari zon penyingkiran. Mereka kini berada di tangga ke-15 liga selepas 18 perlawanan dengan mengumpul 17 mata.

Sebelum mengambi alih jawatan pengurus di Stadium London, Moyes tidak dapat membantu Sunderland kekal di Liga Perdana Inggeris  selepas menamatkan musim di kedudukan 3 terbawah musim lepas. Beliau juga gagal bertahan lebih dari setahun ketika menguruskan Real Sociedad dan Manchester United, yang mana beliau menggantikan tempat ikon Red Devils, Sir Alex Ferguson.

Walaupun gagal tiga kali berturut-turut sebelum ini, Moyes menegaskan beliau akan mencapai kejayaan di West Ham. Pasukannya akan turun menentang Arsenal Rabu ini dalam saingan suku akhir Piala Carabao di Stadium Emirates.

Jika Malaysia mempunyai Adi Putra dan Nur Amalina Che Bakri, Scotland pula berbangga dengan David Moyes sebagai individu paling genius.

“Saya tiba di West Ham untuk menunjukkan apa yang saya mampu lakukan. Jika kamu seorang pemain, kamu harus beraksi di atas padang untuk menunjukkan kemampuan kamu yang sebenar.”

“Reputasi saya tidak membawa sebarang makna. Saya harus menunjukkannya di atas padang supaya umum mengetahui apa yang saya mampu lakukan.”

“Saya rasa saya mampu bekerja dengan mana-mana kelab di dunia ini, jadi saya amat pasti dapat menjalankan tugas dengan baik di West Ham.”

Moyes harus merencana pasukannya selepas ini tanpa khidmat bintang mereka iaitu Manuel Lanzini yang digantung 2 perlawanan oleh pihak FA. Ini berikutan Lanzini dituduh melakukan simulasi ketika pasukannya turun menentang Stoke City tempoh hari.

Pelakon layar perak terunggul

Walaubagaimanapun, Moyes mempertahankan tindakan Lanzini yang dituduh merebahkan badannya secara sengaja untuk menipu pengadil perlawanan, Graham Scott selepas menerima terjahan dari Erik Pieters.

“Saya agak terkejut kerana ketika insiden tersebut berlaku, pengadil hanya berada 10 kaki dari bola dan tiada apa-apa yang menghalang penglihatan beliau. Sudah terang lagi bersuluh pemain pertahanan lawan cuba mendapatkan bola tetapi gagal.”

“Saya ingin jelaskan disini, saya adalah orang pertama yang mahu membuang aksi simulasi dari bolasepak dan tidak mahu perkara ini berulang lagi dalam bolasepak. Tetapi kali ini saya agak sakit hati kerana tiada orang yang benar-benar pasti apa yang berlaku, sama ada ianya simulasi atau tidak.”

BACA:  Klopp Samakan Liverpool Dengan 'Rocky Balboa', Akui Pasukannya Masih Lagi Underdog