MU Dijangka Lucutkan Lilitan Kapten Maguire

Harry Maguire dijangka akan dilucutkan peranannya secara rasmi sebagai kapten pasukan Manchester United walaupun jika pemain pertahanan itu terus kekal di Old Trafford pada musim hadapan.

Pemain pertahanan England itu hanya melakukan lapan penampilan sebagai pemain kesebelasan utama pada musim lalu dengan Luke Shaw, Lisandro Martinez, Raphael Varane dan Victor Lindelof menjadi pemain pilihan utama Erik ten Hag berbanding bekas pemain Leicester itu.

Ten Hag juga telah memberikan indikasi jelas Maguire tidak lagi berada di dalam perancangan jangka masa panjang pengurus dari Belanda itu, yang bermakna perubahan pemakai lilitan kapten harus dilakukan.

Menurut laporan The Sun, Maguire bakal dilucutkan lilitan kapten pada minggu ini.

Pemain tengah Portugal, Bruno Fernandes adalah antara pilihan utama untuk bergelar kapten baharu Manchester United.

Perkhabaran terbaru ini tiba selepas David de Gea sah tidak akan bersama kelab itu pada musim hadapan, dan ini bermakna salah seorang pemain senior dan pemimpin di dalam pasukan telah pergi.

Andre Onana dijangka akan menggantikan tempat De Gea sebagai penjaga gol utama setelah Manchester United dan Inter Milan dikhabarkan telah mencapai persetujuan pada hujung minggu ini.

Dan setelah Mason Mount turut  berjaya ditambat pada minggu lalu, kem United dikhabarkan semakin optimis akan membawa masuk seorang lagi pemain di posisi penyerang.

Ten Hag sebelum ini menamakan Harry Kane dan Victor Osimhen sebagai penyerang pilihan utama dimahukannya di Old Trafford.

Namun disebabkan harga yang terlalu tinggi diletakkan oleh Tottenham dan Napoli, United terpaksa akur untuk mencari alternatif lain.

Disebabkan itu, United kini dikaitkan dengan penyerang antarabangsa Denmark dan Atalanta, Rasmus Hojlund.

BACA:  Premier League 2019/20: Crystal Palace 0-2 Manchester United