MU Umum Tanda Harga Harry Maguire Buat Kelab Berminat

Manchester United dilaporkan telah meletakkan tanda harga buat mana-mana kelab yang mahu mendapatkan Harry Maguire pada jendela perpindahan musim panas ini.

Pemain pertahanan berusia 30 tahun itu menyertai skuad Setan Merah pada 2019 dengan tanda harga £80 juta- masih lagi rekod dunia yang dibayar untuk pemain pertahanan.

Namun demikian Maguire hanya memulakan 16 perlawanan pada musim lalu dalam semua pertandingan, dan kapten United itu kini juga sudah kehilangan tempat sebagai pemain pilihan utama di bawah kendalian Erik ten Hag.

Tidak dinafikan lagi Maguire yang sentiasa menjadi sasaran kecaman kerana kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukannya kini berada di dalam senarai pemain untuk dijual oleh kelab itu.

Persoalannya kelab manakah yang berminat, dan berapakah tanda harga yang diletakkan oleh United?

Manchester Evening News mendedahkan United meletakkan tanda harga £50 juta – jumlah yang pasti akan membuatkan kelab-kelab berminat menjauhkan diri.

Tanda harga tersebut dianggap tidak masuk akal dan jauh daripada penilaian sebenar pemain itu.

Pemain pertahanan England itu masih mempunyai kontrak berbaki dua tahun, tetapi United bersedia melepaskan pemain itu sekiranya terdapat tawaran yang memenuhi penilaian mereka.

Raphael Varane, Lisandro Martinez, Victor Lindelof dan Luke Shaw adalah pemain yang lebih diberikan keutamaan oleh Ten Hag untuk beraksi pada musim lalu berbanding Maguire.

Setakat ini belum ada pertemuan di antara Maguire dan Ten Hag namun ia dijangka akan dilakukan dalam masa terdekat untuk memutuskan nasib pemain itu untuk musim hadapan.

Tidak dapat dipastikan apakah yang berada di dalam fikiran United kerana tidak ada kelab yang sanggup membayar harga £50 juta yang tidak munasabah – mengambil kira statusnya yang tidak diperlukan di Old Trafford.

Pemain itu kini berada di Portugal untuk menjalani latihan secara bersendirian dan tidak bersama skuad kendalian Ten Hag yang sudah memulakan latihan pra musim pada Jumaat lalu.

Pemain pertahanan termahal dunia itu kini sedang menjalani latihan berintensiti tinggi dalam cuaca panas di Portugal dibantu legenda Chelsea dan Portugal, Ricardo Carvalho yang menyusun jadual latihan berintensiti tinggi sebanyak tiga sesi sehari.

Sudah tentu Maguire berharap sentuhan selama tiga minggu bersama Carvalho ini mampu meyakinkan Ten Hag untuk mengekalkannya atau mana-mana kelab untuk mendapatkannya di jendela perpindahan musim panas ini

BACA:  Sehari Selepas Dimalukan Brighton, Sasaran Utama Pula Kena Sailang Dengan Leipzig