Musim ini penuh dengan rekod buruk untuk Manchester United dan kedudukan mereka di tangga ke-15 Liga Perdana tidak lagi mengejutkan. Ini adalah kedudukan terburuknya dalam sejarah liga dan prestasi hambar seolah-olah tidak lagi membangkitkan kemarahan penyokongnya.
Peminat sudah terbiasa melihat United di bahagian bawah liga, jadi apabila mereka dipintas Everton ia tidak lagi menjadi isu besar. Masalah ketumpulan serangan juga semakin normal – kekalahan tanpa jaringan kepada Tottenham adalah kali ke-10 dalam 25 perlawanan liga mereka gagal menjaringkan gol. Ia satu statistik yang biasanya dicatatkan oleh pasukan di zon penyingkiran.
Selepas perlawanan menentang Spurs, Ruben Amorim dan pemainnya menghargai sokongan penyokong yang masih setia. Ia jauh berbeza dengan reaksi marah ketika Ole Gunnar Solskjaer berdepan kekalahan besar kepada Watford pada 2021. Ketika itu, United berada di tangga ke-7. Musim sebelumnya Solskjaer menamatkan musim United sebagai naib juara.
Kini, kedudukan ke-6 yang pernah mereka capai pada 2 tahun lepas terasa seperti sesuatu yang mustahil. Persoalannya, berapa lama penyokong akan terus menerima keadaan ini sebelum kemarahan mereka meletus?
Harapan di Bawah Amorim
Walaupun United tewas kepada Spurs, mereka sebenarnya mencipta beberapa peluang baik termasuk 2 percubaan daripada Alejandro Garnacho dan Joshua Zirkzee. Namun, jika mereka tewas kepada Everton ketidakpuasan hati mungkin akan bertukar menjadi kemarahan sebenar.
Amorim tiba di pertengahan musim dan hanya mendapat seorang pemain baharu iaitu Patrick Dorgu. Marcus Rashford, antara penyumbang gol terbanyak musim ini dilepaskan ke Aston Villa. Amorim cuba menerapkan sistem 3-4-2-1. Sistem ini cukup berjaya di Sporting CP tetapi ia bukan tugas mudah untuk United kerana kelab itu mempunyai set pemain yang berbeza.
Dia percaya United memerlukan pramusim untuk benar-benar memahami taktiknya. Namun, dengan 8 kekalahan dalam 14 perlawanan Liga Perdana setakat ini, keyakinan pemain dan kelab terhadapnya semakin goyah. Malah, Amorim sendiri mungkin merasakan United terlalu sukar untuk dibaiki.
Masa Depan United di Bawah Pemilik Baharu
Sir Jim Ratcliffe kini mengetuai perubahan besar di kelab. Dia telah memecat lebih 200 kakitangan di United. Langkah ini menimbulkan persoalan sama ada ia adalah keperluan atau hanya strategi penjimatan. Suasana di Carrington dan Old Trafford turut terkesan dan tekanan luar mula mempengaruhi pasukan utama.
Amorim menunjukkan kepimpinan dalam menangani cabaran ini tetapi adakah dia mampu menterjemahkan ketenangannya ke atas padang? Dengan baki musim yang masih panjang, United masih mempunyai peluang untuk menyelamatkan keadaan terutama melalui pertandingan Liga Europa. Juara pertandingan itu akan memberi tiket kepada mereka untuk ke Liga Juara-Juara.
Namun, jika mereka gagal, perhatian pasti akan beralih kepada mereka yang menguruskan kelab – dan kesabaran penyokong mungkin tidak akan bertahan lebih lama.