Mustafi Berang Dengan Media Yang Suka Mereka Cerita Sampah Mengenai Arsenal

Pemain Pertahanan Arsenal, Shkodran Mustafi jelas tidak gembira dengan pihak media yang sering mereka cerita yang bukan-bukan mengenai Arsenal dan berkata kemenangan yang dicatatkan ke atas Tottenham tempoh hari adalah bukti pasukan sekarang mempunyai karakter yang kuat.

Mustafi kini memasuki tahun keduanya bersama Arsenal dan setakat ini, persembahan beliau boleh dikatakan semakin bertambah baik jika dibandingkan dengan musim lepas. Beliau terpaksa berehat selama 7 minggu akibat mengutip kecederaan ketika bermain dengan Jerman.

Sekembalinya beliau dalam pasukan, Arsene Wenger terus meletakkan beliau dalam kesebelasan utama untuk pertemuan getir menentang Spurs. Mustafi membalas kepercayaan yang diletakkan terhadapnya dengan menjaringkan gol pembukaan Arsenal dalam perlawanan tersebut.

Mustafi berjaya menampilkan persembahan yang cemerlang dimana beliau menjadi tunjang utama menangkis segala asakan Spurs terutamanya pada separuh masa kedua.

Bercakap kepada pemberita selepas tamat perlawanan, beliau menuduh pihak media sering mencipta kontroversi walaupun mereka tidak mengetahui apa yang berlaku di sebalik tabir pasukan Arsenal.

“Kamu pihak media sering mereka cerita. Seperti biasa, Arsenal sudah mati . Arsenal tidak akan kembali. Semuanya sama apabila melibatkan Arsenal. Perkara paling penting adalah pasukan. Kami sering berkata kepada sesama sendiri yang pasukan ini masih mampu bersaing, kami percaya pada keupayaan kami sendiri, dan kami mahu memberikan segala-galanya di atas padang.”

“Sudah tentu apabila bermain dalam perlawanan sebegini kamu perlu menunjukkan karakter yang bagus. Kami telah menunjukkan karakter yang cemerlang ketika kami memiliki bola dan juga ketika kami kehilangan bola.”

Selepas ini, Arsenal akan membuat kunjungan ke Burnley untuk berhadapan dengan pasukan yang sedang berada dalam prestasi terbaik. Arsenal tahu mereka tidak mampu lagi untuk melepaskan sebarang mata andainya mahu terus mengejar kelompok 4 teratas.

Arsenal kini berada di kedudukan ke-6 Liga Perdana Inggeris dengan mengutip 22 mata selepas 12 perlawanan, berkongsi mata yang sama dengan pasukan yang akan ditentang selepas ini, Burnley dan juga Liverpool. Mustafi berkata Arsenal mesti terus konsisten mengutip 3 mata jika mahu meraih kejayaan musim ini.

“Semuanya bergantung kepada konsistensi. Itulah matlamat kami setiap hari ketika menjalani latihan kerana pasukan hanya dinilai berdasarkan perlawana terakhir mereka. Jika kamu menang hari ini dan tewas minggu hadapan, kamu akan kembali di tempat yang asal.”

Mustafi adalah salah seorang pemain yang hampir meninggalkan Arsenal pada tirai perpindahan pemain lalu. Beliau telah dikaitkan dengan perpindahan ke Inter Milan namun memilih untuk kekal di Emirates.

“Pihak media sering mereka cerita sampah. Itu tugas mereka. Orang luar bercakap dan berlagak seperti mereka mengetahui semua perkara. Tetapi cerita yang sebenar adalah perkara yang berlaku dalam bilik persalinan.”

“Saya tidak faham mengapa orang bercakap mengenai perkara yang mereka tidak ketahui. Jika ada berita yang mengatakan saya membuat perbincangan dengan kelab luar, itu semua adalah gosip. Terdapat begitu banyak surat khabar di luar sana, dan mereka memerlukan sesuatu untuk ditulis kerana surat khabar akan menjadi bosan jika tiada bahan.”

Mustafi juga sempat memberikan ulasan mengenai masa depan Ozil dan Sanchez, dan beliau sekali lagi menyalahkan pihak media kerana mencipta cerita yang bukan-bukan mengenai pemain ini.

“Kamu, pihak media mahu semua pemain keluar, betul kan? Kami memerlukan pemain, dan bukan semua pemain boleh keluar. Mereka berdua adalah pemain yang penting. Ozil dan Sanchez, mereka mampu mencipta peluang dan menjaringkan gol.”

“Sudah tentu semua pemain dalam pasukan mahu mereka berdua terus kekal tetapi keputusan akhir masih di tangan mereka. Ia adalah karier mereka dan mereka boleh pilih apa sahaja keputusan yang sesuai dengan diri mereka.”

Shkodran Mustafi ketika baru menyertai Arsenal pada musim panas dua musim yang lalu telah dibandingkan dengan Lagenda Arsenal, Tony Adam. Mustafi merupakan seorang Muslim yang baik dan bercita-cita untuk ke Mekah.

Mustafi pula merupakan orang Islam yang taat, pernah meraih perhatian apabila dia enggan memulakan sidang akhbar selagi botel bir yang diletakkan di depannya tidak dialih ketika bersama bekas kelabnya Valencia.

Pemain pertahanan Jerman keturunan Albania itu bagaimanapun terpaksa juga meneruskan sidang akhbar kerana jenama bir tersebut yang merupakan penaja Valencia FC perlu kelihatan di dalam kamera televisyen.

“Sebagai seorang muslim, solat amat penting berbanding perkara lain, walaupun kadang kala perjalanan jauh menyebabkan kesukaran saya menunaikan kewajipan itu. Kejuaraan Eropah juga menyukarkan saya, kerana berlangsung ketika bulan Ramadan dan mustahil untuk saya mengehadkan pengambilan makanan dan minuman.

“Agama amat penting buat saya dan karier. Ia banyak membantu saya. Pada akhirnya, sebagai insan seperti mana orang lain di bumi ini, saya juga mahu masuk syurga. Itu sasaran utama saya. Jika saya bermain buruk sekalipun, dunia tidak akan berakhir,” katanya yang menyimpan impian untuk ke Mekah.

Baca Juga

Baca Juga