Nasri Syukur Diberi Peluang Ke-2 Selepas Jalani Penggantungan Selama 18 Bulan

Pemain terbaru West Ham, Samir Nasri meluahkan perasaan gembiranya kerana diberi peluang ke-2 untuk meneruskan karier bola sepaknya selepas selesai menjalani penggantungan selama 18 bulan.

Bekas pemain Arsenal dan Manchester City itu menjalani penggantungan selama 18 bulan selepas didapati bersalah kerana menerima suntikan di sebuah klinik di Las Vegas pada Disember 2016. Perbuatan tersebut menyalahi peraturan yang ditetapkan Agensi Dadah Sedunia dan Nasri digantung dari terlibat dalam aktiviti bola sepak dengan serta merta.

Syukur ke hadrat ilahi kita dapat melihat Nasri beraksi lagi di atas padang. 

Penggantungan Nasri akhirnya berakhir pada bulan Disember lalu dan beliau bernasib baik kerana diberi peluang ke-2 untuk beraksi dalam Liga Perdana Inggeris bersama West Ham. Nasri menyertai The Hammers secara percuma dengan kontrak sehingga hujung musim nanti.

Lebih menarik, Nasri mungkin melakukan debut dalam Liga Perdana Inggeris bersama West Ham menentang bekas kelab lamanya, Arsenal dalam aksi liga hujung minggu ini di Stadium London.

Dalam satu temu ramah bersama Sky Sports, Nasri meluahkan perasaan kecewanya dengan penggantungan yang diterima tetapibeliau berazam mahu menebus kembali kekecewaan tersebut secepat mungkin.

“Saya masih kecewa dengan penggantungan tersebut kerana saya tidak mengambil apa-apa bahan terlarang.”

“Ia hanya satu suntikan vitamin yang terlalu banyak. Saya patut melakukannya dalam masa dua hari tetapi saya melakukannya dalam masa sehari sahaja. Saya kesal dengan apa yang berlaku kerana pada ketika itu saya juga sakit.”

Kerana instagram post ini, Nasri hampir kehilangan segala-galanya. Gambar menunjukkan Nasri baru selesai mennerima suntikan vitamin dari doktor hot ini

“Saya mempunyai surat daripada doktor tetapi ia masih tidak diterima.”

“Satu tahun dalam karier saya hilang begitu sahaja dan pada satu tahap, ada pihak yang mahu hukuman saya menjadi empat tahun. Banyak perkara terlintas dalam fikiran saya. Saya ingat karier saya sudah berakhir, jadi saya berasa bertuah kerana mendapat peluang ke-2 ini.”

Nasri juga menggambarkan situasi beliau selama menjalani penggantungan sebagai ‘pengalaman paling buruk sepanjang kariernya’ tetapi beliau mengakui ia telah menjadikan dirinya seorang pemain yang lebih bagus.

“Pengalaman ini adalah pengalaman paling buruk sepanjang karier saya. Ia merupakan perasaan paling teruk dalam dunia ini.”

Zaman kegemilangan Nasri adalah ketika beraksi di bawah Atuk Wenger

“Jika anda tidak kuat dan tidak mempunyai sokongan daripada keluarga dan kawan, saya rasa saya mungkin berada dalam tekanan yang teruk kerana penggantungan ini merampas perkara yang paling anda cintai. Saya juga tidak tahu sama ada saya mampu bermain bola lagi.”

“Ia menjadikan saya pemain yang lebih baik dan sekarang saya melihat banyak perkara dari sudut yang berbeza. Sebelum ini, saya tidak pernah berasa bertuah mempunyai kerja seperti ini.”

BACA:  Ederson Hampir Jadi Karius Namun Tenang Keluarkan Bola Atas Garisan