Netizen Mendakwa Edinson Cavani Terlebih Dahulu Ofsaid Sebelum Gol Marcus Rashford

Gol kemenangan pada minit akhir menerusi Marcus Rashford dalam perlawanan menentang West Ham United telah diselubungi misteri dan kontroversi apabila ada sebahagian daripada penyokong bukan Manchester United telah mendakwa bahawa Edinson Cavani terlebih dahulu berada dalam kedudukan ofsaid beberapa detik sebelum gol dijaringkan.

Ketiga-tiga pemain gantian yang dimasukkan oleh pengurus, Ralf Rangnick, telah menjadi watak utama dalam gerakan yang membawa kepada penghasilan gol tersebut pada hujung-hujung perlawanan.

Dengan perlawanan berbaki 35 saat, Alex Telles menghantar bola ke depan dari kawasan United, sebelum bola ditanduk sipi-sipi oleh Ryan Federicks, dan menyebabkan bola singgah ke kaki Cristiano Ronaldo.

Dengan tenang Ronaldo mengawal bola ke depan dan sebaik sahaja dua pemain West Ham cuba menerjah bola, Ronaldo sempat membuat hantaran kepada Anthony Martial, adik kepada pemain Pahang Johan Martial, di sebelah kirinya.

Martial kemudiannya bertindak menolak bola kepada Cavani, sebelum pemain Uruguay itu menyepak leret ke hadapan gol lawan lalu bola ditolak masuk ke dalam gol oleh Rashford.

Sebaik pengadil meniup wisel pengesahan gol, semakan menerusi VAR telah dilakukan dan mereka mengambil keputusan untuk mengekalkan gol tersebut sekaligus membawa United ke tangga empat teratas dalam carta liga.

Akan tetapi, tangkapan skrin berkenaan kedudukan Cavani telah membuatkan banyak pihak mendakwa bahawa bekas penyerang Paris Saint Germain itu sebenarnya berada dalam kedudukan ofsaid.

Bekas pemain Arsenal, Jack Wilshere telah menciap dengan mengatakan bahawa ‘Ini adalah ofsaid di Emirates’ sekaligus menunjukkan bahawa bekas pasukannya tersebut sering menjadi mangsa ketidak adilan pengadil dan pada masa yang sama, pasukan Manchester United, mendapat tempat yang istimewa di hati para pegawai perlawanan.

Ciapan Wilshere ini adalah jawapan kepada ciapan bekas pemain United, Gary Neville, yang mendakwa Cavani tidak berada dalam kedudukan ofsaid seperti mana yang dilihat di dalam ipad miliknya. Dia telah melukis satu garis yang menunjukkan penyerang United tersebut berada di belakang pemain West Ham, tanpa menyedari garisan yang dilukisnya itu nampak senget dan tidak mengikut garisan di padang.

Selain Wilshere, peminat bola sepak di alam maya juga turut meluahkan rasa tidak puas hati mereka dan mempersoalkan kesahihan keputusan VAR yang mengesahkan bahawa Cavani tidak berada dalam kedudukan ofsaid.

“Kau tak akan yakinkan aku bahawa ini adalah onsaid,” ciap SeanCD30 yang berwajah katak muram.

Eric Njiiru pula mengatakan bahawa – “Cavani terang-terang ofsaid. Kenapa VAR tak semak ni?”

Thomas, penyokong West Ham dari Ireland pula mendakwa pasukannya telah dicurangi wasit – “West Ham telah dirompak seperti biasa. Cavani ofsaid.”

Berikut adalah ciapan-ciapan lain yang sempat ditemukan di laman Twitter.

Pengurus West Ham, David Moyes, dilihat tidak berpuas hati sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan dan dia kelihatan telah meluahkan amarahnya terhadap pembantu pengadil di tepi padang.

Walaubagaimanapun, kontroversi ini langsung tidak diendahkan oleh pengurus United dan dia ternyata gembira anak buahnya kini kembali dalam landasan yang tepat untuk merebut slot ke Liga Juara-Juara UEFA pada musim hadapan.

“Ini adalah berkenaan mengambil langkah demi langkah, dan yang penting kami dah kembali dalam perlumbaan untuk mendapat tempat di empat teratas liga,” ujar Rangnick kepada Astro Supersport.

Penyerang, Rashford, pula berkata dia yakin bahawa gol tersebut tidak akan dibatalkan ketika melakukan keraian di penjuru padang dan pada masa yang sama, dia mengakui bahawa kemenangan tersebut sangat penting menuju ke penghujung musim nanti.

“Sememangnya itu adalah gol yang sangat penting dan rasa sangat teruja bila dijaringkan pada minit akhir perlawanan,” Rashford berkata kepada BBC Match of the Day.

“Kami kena biasakan diri dengan jiwa kemenangan ni. Kami perlu lebih baik bila kuasai bola tapi mampu untuk menjaringkan gol yang kami perlukan dan jadikannya sebagai satu motivasi sekarang ni.

“Apabila ada dua pasukan yang sangat rapat di carta liga, kedua-duanya saling beradu untuk berada di tangga lebih atas dan hari ini kami berjaya capai hajat kami.

“Kami berada di tangga keempat sekarang ni, sesetengah pasukan ada yang kurang perlawanan tapi rasa seronok la dapat duduk situ.

“Kemenangan adalah sangat penting, bila kau capai kemenangan, kemenangan berturut-turut, kau dah mulakan satu perjalanan dan inilah yang memberikan keyakinan kepada semua orang.”

Sumber : SportBible

BACA:  Cavani Terus Menggila Membuktikan Beliau Masih Lagi Antara Pemain Terbaik Dunia