Neville: Hanya De Gea Pemain Bertaraf Dunia Dimiliki Manchester United

Legenda Manchester United, Gary Neville percaya hanya penjaga gol United, David De Gea boleh dianggap sebagai pemain berkelas dunia dimiliki pasukan tersebut ketika ini.

De Gea sekali lagi muncul wira pasukannya selepas menampilkan persembahan ‘Man of The Match’ untuk menafikan Sevilla dalam pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah minggu lepas yang mana perlawanan berkesudahan dengan 0-0.

Bakal mewakili planet Bumi pada masa hadapan jika beliau kekal dengan prestasi sekarang

De Gea juga telah dinamakan sebagai pemain terbaik tahunan Manchester United untuk 3 musim berturut-turut bermula dari 2013 sehingga 2016.

Sejak berpindah ke Old Trafford dari Atletico Madrid pada tahun 2011, De Gea telah membuktikan keupayaannya untuk diangkat menjadi antara penjaga gol terbaik dunia.

Beliau sering menyelamatkan United dengan aksi menyelamat yang sangat menakjubkan dan persembahannya telah menarik minat Real Madrid untuk membawa pulang pemain ini ke Sepanyol.

De Gea hampir berpindah ke Los Blancos dua musim lepas tetapi kegagalan mesin faks untuk menghantar pengesahan perpindahan sebelum tirai perpindahan ditutup menyebabkan impian De Gea untuk pulang ke Madrid berkecai.

Bekas pemain bolasepak yang kini menjadi pemilik hotel

Walaubagaimanapun, dengan Real Madrid mengharungi musim yang agak suram ketika ini, De Gea mungkin melihat dirinya menjadi sasaran kelab gergasi Sepanyol itu untuk mengisi posisi penjaga gol utama yang kini dipegang Keylor Navas.

Neville ketika bercakap kepada Goal berkata De Gea masih lagi pemain paling penting buat United ketika ini walaupun mereka baru sahaja mendapatkan khidmat Alexis Sanchez.

“Hanya De Gea sahaja pemain berkelas dunia dimiliki United ketika ini. Kamu boleh letak Sanchez dalam tahap yang sama, tetapi bersama Manchester United, Sanchez masih lagi belum mencapai tahap tersebut walaupun pemain tersebut telah menunjukkan permainan  berkelas dunia bersama Arsenal sebelum ini.”

“Seorang lagi pemain yang saya boleh katakan bermain dengan sangat baik adalah Antonio Valencia, sama ada beliau berkelas dunia atau tidak. Untuk 2, 3 tahun kebelakangan ini, beliau telah menunjukkan prestasi yang sangat baik bagi United.”

“Tetapi bagi saya, hanya De Gea sahaja pemain paling menonjol dan berkelas dunia dalam pasukan Manchester United sekarang, tanpa ragu-ragu.”

Neville juga berkata beliau tidak risau dengan penurunan minit permainan yang dilalui pemain seperti Marcus Rashford, Anthony Martial dan Jesse Lingard sejak ketibaan Sanchez.

Sanchez orang keempat yang mengacau rumah tangga mereka bertiga

“Mereka masih dapat bermain tetapi mereka tidak akan dapat bermain setiap minggu. Saya mahu setiap pemain Manchester United bersaing untuk berebut tempat dalam kesebelasan utama pada setiap masa.”

“Masalah utama Jose Mourinho ketika ini adalah untuk mendapatkan Lukaku, Rashford, Martial dan Sanchez bekerjasama dengan baik dalam bahagian serangan pasukan. Itu persoalan utama pasukan  ketika ini.”

“Siapa yang akan bermain di bahagian kanan ? Martial pernah bermain di posisi tersebut, kita juga telah melihat Sanchez bermain di situ untuk dua perlawanan sebelum ini tetapi kedua-dua pemain ini dilihat tidak sesuai beraksi di posisi tersebut.”

Red Devils akan melakukan kunjungan ke London untuk berhadapan dengan Crystal Palace hujung minggu ini dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, dimana sebelum ini mereka berjaya menewaskan sebuah lagi pasukan London iaitu Chelsea di Old Trafford dengan jaringan 2-1.

BACA:  Man Utd Perlu Bayar £56k Kepada Ajax Setiap Kali Martinez Dimainkan