Neville: Liverpool Patut Lupakan Liga Juara-Juara Eropah Kalau Nak Menang Liga

Bekas pemain Manchester United dan England, Gary Neville percaya Jurgen Klopp patut melupakan saingan Liga Juara-Juara Eropah untuk memberikan fokus sepenuhnya dalam usaha mereka memenangi Liga Perdana Inggeris musim ini.

Liverpool terpaksa akur kepada Manchester City untuk menjadi pendahulu Liga Perdana Inggeris apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Everton malam kelmarin dalam perlawanan yang berlangsung di Goodison Park.

Lupakan Liga Juara-Juara Eropah kalau tidak mahu mandul lagi musim ini. Itu saranan Neville yang pernah menjuarai liga berkali-kali suatu ketika dahulu

Walaupun tiada apa yang menarik untuk diperkatakan dalam padang, perlawanan itu akan diingati untuk satu tempoh yang agak lama kerana Klopp menggunakan alasan ‘angin yang bertiup’ sebagai punca mengapa skuad bimbingannya bergelut untuk mencari gol kemenangan.

Keputusan tersebut meletakkan Manchester City di persada Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan 1 mata terhadap Liverpool dengan kedua-dua pasukan masing-masing sudah mengharungi 29 perlawanan.

Ia merupakan keputusan seri ke-4 Liverpool dari 6 perlawanan liga terakhir mereka dan mereka juga gagal untuk menjaringkan sebarang gol dalam 2 dari 3 perlawanan terakhir.

Dengan saingan liga berbaki 9 perlawanan lagi, Manchester City berada dalam landasan terbaik untuk mengekalkan kejuaraan liga manakala peminat Liverpool mungkin sudah boleh mengungkapkan kata-kata keramat mereka iaitu ‘Next Year Is Our Year’.

Kalau bukan kerana Virgil van Dijk, Liverpool mungkin bolos menentang Everton tempoh hari

Dalam saingan Eropah pula, Liverpool berdepan cabaran getir untuk layak ke peringkat suku akhir selepas sekadar seri tanpa jaringan menentang Bayern Munich di halaman sendiri sebelum ini.

Perlawanan timbal balik di Allianz Arena akan berlangsung minggu hadapan dan pengulas sukan tersohor, Gary Neville menggesa Klopp supaya melupakan kancah bola sepak Eropah dan fokus kepada saingan domestik.

“Saya selalu beranggapan satu-satunya cara untuk Liverpool memenangi liga musim ini adalah mereka perlu mempunyai jadual perlawanan yang ‘bersih’.”

“Di sini saya ingin cakap, ‘Biarlah disingkirkan oleh Bayern Munich’ walaupun ia kedengaran seperti satu perkara yang agak gila.”

“Sudah tentu anda tidak pernah bermain untuk kalah. Tetapi ia akan memberi kelebihan kepada Liverpol jika mereka mempunyai jadual yang lebih ringan dimana pemain mereka akan lebih cergas.”

Bakal juara Eropah ?

“City masih lagi perlu mengharungi beberapa perlawanan Piala FA, dan Liverpool berpeluang untuk membina kelebihan 5 atau 6 mata terhadap City. Agak sukar untuk mana-mana pasukan mengejar jumlah mata tersebut terutamanya apabila kita memasuki minggu-minggu terakhir.”

“Perebutan kejuaraan liga masih lagi 50-50.”

Liverpool akan menjadi tuan rumah kepada Tottenham Hotspurs tidak lama lagi dan sekiranya mereka berjaya layak ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, ianya akan berlangsung hampir dengan perlawanan penting menentang Chelsea di gelanggang lawan pada 14 April.

BACA:  Premier League 2021/22: Manchester City 2-2 Liverpool