Neville: Martial Buat Aku Naik Gila

Bekas pemain Manchester United dan England, Gary Neville berkata beliau sudah naik muak dan kecewa dengan prestasi yo-yo yang ditunjukkan Anthony Martial sambil mendakwa etika kerja yang rendah menyebabkan Martial gagal menjadi pemain berkelas dunia.

Neville yang bekerja sebagai pengkritik bola sepak di Sky Sports, turut berkata Martial perlu bekerja lebih keras sekiranya beliau memasang angan-angan untuk berada di kalangan pemain terbaik dunia.

Martial membuatkan Gary Neville naik gila. Mana taknya minggu ni main macam Mbappe, minggu depan main macam J.Partiban

Martial berjaya menjaringkan gol dalam 3 perlawanan terdahulu Manchester United termasuk ketika United menang tipis 2-1 ke atas Everton hujung minggu lalu. Pengurus United, Jose Mourinho memuji persembahan Martial dan mendakwa pemain tersebut telah menunjukkan peningkatan dalam kesemua askpek permainannya.

Rakan sepasukan Martial, Nemanja Matic pula berkata Martial masih lagi belum menyedari sepenuhnya potensi yang beliau miliki.

Namun begitu, bagi Neville pula, keengganan Martial untuk bekerja lebih keras membantu pasukan ketika bertahan merupakan satu isu serius yang perlu Mourinho tangani secepat mungkin.

Neville mahu Martial bekerja keras untuk merealisasikan potensi yang dimilikinya

“Sepanjang 10 tahun kebelakangan ini, saya hanya bingung dengan prestasi seorang pemain sahaja iaitu Anthony Martial. Saya tidak tahu bagaimana untuk menilai persembahan pemain tersebut.”

“Kadang-kadang, saya rasa Martial adalah pemain yang hebat dan pada minggu yang lain, saya rasa beliau bukan pemain yang sesuai dengan Manchester United.”

“Apa yang membuatkan saya naik gila dengan Martial adalah usaha yang ditunjukkannya ketika pasukan bertahan. Beliau tidak tahu dimana perlu beliau berada di atas padang dan melakukan larian pada waktu yang tepat.”

Walaupun begiut, Neville  mengakui Martial merupakan pemain sayap terbaik yang United miliki sekarang namun pemain tersebut perlu bekerja lebih kuat untuk bergelar pemain bertaraf dunia.

“Dalam skala 10, saya letakkan Martial pada angka 5 atau 9 bergantung pada perlawanan. Tetapi apa yang mahu saya lihat daripada beliau adalah 7 atau 8, atau pada waktu tertentu 9.”

“Apabila saya melihat statistik fizikal Martial dan pemain lain seperti Sadio Mane dan Mohamed Salah, saya terkejut beruk. Sebab itulah Didier Deschamps dan Mourinho tidak berapa berminat dengan Martial.”

“Lihatlah statistik pemain lain. Mane berlari 2 kilometer lebih dari Martial. Hazard yang dilabel tidak bekerja keras, berlari 1.5 kilometer lebih dari Martial. Berdasarkan statistik ini, jelas Martial agak ketinggalan.”

Nevile terkejut beruk selepas mengetahui Martial malas berlari

“Ini bukan mengenai tugasan ketika bertahan tetapi ketika melakukan larian.”

Louis Van Gaal merupakan individu yang bertanggungjawab membawa masuk Martial ke Old Trafford dan pemain tersebut berjaya menjaringkan 17 gol dalam musim pertamanya.

Namun sejak Mourinho mengambi alih, beliau menunjukkan prestasi yang tidak menentu walaupun pernah dicanang bakal menjadi pemain terbaik dunia suatu ketika dahulu.

BACA:  Solskjaer Anggap Sanchez Seperti Botol Sos