Newcastle Berpotensi Untuk Berada Di Atas Man Utd Andai Mereka Berbelanja Pada Musim Panas Nanti

Newcastle United telah diberitahu yang mereka sebenarnya boleh berada di atas Manchester United seandainya mereka berbelanja besar pada jendela perpindahan musim panas ini.

The Magpies meneruskan rentak kecemerlangan mereka dengan kini mereka sudah mengharungi lapan perlawanan tanpa mencatatkan sebarang kekalahan.

Mereka baru-baru ini berjaya menewaskan Brighton dengan keputusan 2-1 dan kemenangan tersebut berjaya membawa mereka ke kedudukan ke-14 dalam carta saingan liga.

Pengurus pasukan, Eddie Howe berjaya memadam kebimbangan kelab tentang kemungkinan untuk mereka tersingkir ke saingan Championship.

Melihat kepada keadaan mereka yang kini semakin stabil, tidak mustahil pemilik baru, Syarikat konsortium Arab Saudi itu bakal berbelanja besar pada penghujung musim nanti.

Jamie O’Hara percaya Newcastle berpotensi untuk mengakhiri saingan liga di atas Manchester United seandainya mereka berbelanja besar pada jendela perpindahan musim panas.

“Kamu lihat Newcastle sekarang, cara bagaimana mereka bermain, duit yang bakal mereka belanjakan pada musim panas. Kamu ada pengurus hebat Eddie Howe yang sudah menemui sentuhan magis beliau semula.”

“Saya lihat pada Newcastle, dan saya fikir, jika mereka terus dengan cara mereka dan mereka melabur lagi £300 ke £400 juta pada musim panas nanti, mereka tentu boleh berada di atas Manchester United.”

Newcastle pada jendela perpindahan baru-baru ini mereka telah menandatangani Kieran Trippier, Dan Burn, Bruno Guimaraes dan Chris Wood.

Sementara Man Utd pula, mereka awal pagi tadi baru sahaja berdepan kekalahan memalukan dengan mereka dibelasah Man City 4-1.

Kekalahan itu menyebabkan Man Utd jatuh ke kedudukan kelima dalam carta saingan liga, dan semakin sukar untuk mereka memintas Arsenal yang masih ada kelebihan baki tiga perlawanan yang belum dimainkan.

Setan merah teruk dikritik atas persembahan buruk yang mereka persembahkan dalam perlawanan ini, terutama selepas kejayaan Riyad Mahrez menjaringkan gol ketiga untuk Man City.

City berjaya memiliki 92 peratus penguasaan bola pada 15 minit terakhir permainan, berbanding Man Utd yang hanya memiliki 8 peratus sahaja.

Main bola ke tidak ni?

O’Hara percaya mentaliti yang dimiliki oleh para pemain Manchester United sekarang, terlalu jauh berbeza dengan siapa mereka yang sebenarnya.

“Mentaliti di Manchester United sekarang langsung tak sama dengan mentaliti sebenar skuad mereka dulu. Mereka nampak macam bersedia saja untuk kalah. Itu bukan pilihan mereka sejak 10 tahun lalu ketika kamu bermain bertemu Manchester United.”

“Ia sangat tak boleh diterima. Saya masih ingat beberapa perlawanan ketika Wayne Rooney masih bermain dan mereka ketinggalan, dia akan marah seseorang atau cekak leher diorang. Saya tak nampak itu pada skuad United sekarang.”

“Mereka nampak macam terima saja, ‘Kita tak bagus, kita tak sehebat Man City’. Mentaliti itu perlu ditukar jika mereka benar-benar mahu berjaya semula.”

Bukan hanya Jamie O’Hara, bahkan legenda kelab, Gary Neville dan Roy Keane sendiri turut mengatakan hal yang sama dengan mereka menganggap United terlalu cepat mengalah.

Neville anggap pemain United dah menyerah

“Perkara pertama yang perlu dikatakan adalah Man City sememangnya sungguh menakjubkan, terutama sekali pada aksi babak kedua.”

Jelas Neville.

“Tapi di hujung perlawanan, Manchester United mempamerkan aksi persembahan yang sangat memalukan pada 25 minit terakhir permainan.”

“Scoreline bukan masalah sebenar, tapi response mereka selepas ketinggalan 3-1 itu lah masalah sebenar dia. Mereka nampak dah menyerah, mereka macam main dengan sembilan orang pemain.”

“City bermain dengan sangat baik pada aksi babak kedua. Tapi usaha dan intensiti dari United pada 20 minit terakhir nampak macam langsung tak ada.”

“Tidak boleh dipertikaikan, City sememangnya sungguh menakjubkan. Tapi sebagai penyokong Man Utd ia sangat memalukan.”

Scott McTominay bengang dengan tuduhan liar dari Keane dan Neville

Selepas mendengar komen dari kedua-dua Neville dan Keane, wartawan Sky Sports, Geoff Shreeves bertanya kepada Scott McTominay apa pandangan beliau terhadap tuduhan tersebut.

“Dari sudut pandangan saya, di atas padang, ia adalah sukar untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku di sekeliling kamu, tapi jika itu yang orang katakan maka ia mungkin betul.”

Jelas pemain berusia 25 tahun itu.

“Mereka semua berhak untuk beri pandangan masing-masing, tapi untuk diri saya sendiri, adalah sangat mengecewakan kalau ada orang berfikir seperti itu.”

“Saya perlu tonton semula dan lihat body language dan semua hal seperti itu, tapi bagi saya, ia sangat mengecewakan.’

Sumber: SPORTbible

BACA:  Newcastle Kemuka Bidaan £82 Juta Untuk Bintang Napoli