Newcastle Tawarkan Gaji 3 Kali Ganda Kepada Bintang Utama Skuad Euro Jerman

Newcastle United dilaporkan bersetuju untuk menandatangani bintang Atalanta, Robin Gosens pada jendela perpindahan Januari ini.

Mereka bahkan bakal menawarkan gaji tiga kali ganda dari apa yang bintang Jerman itu terima pada ketika ini seandainya beliau bersetuju untuk ke St James Park.

The Magpies telah melengkapkan penandatanganan Kieran Trippier dan Chris Wood pada jendela perpindahan Januari ini, dan mereka kini mahu sekali lagi masuk ke pasaran pemain.

Sky Italia telah melaporkan yang Newcastle sangat berminat untuk mendapatkan khidmat Gosens dan mereka sedang mengadakan perbincangan serious dengan wakil Atalanta.

Kedua-dua pihak dilaporkan sudah bersetuju dengan terma dan syarat peribadi dan kini sesi rundingan sudah memasuki fasa terakhir.

Newcastle dilaporkan menawarkan kontrak bernilai £2.5 juta setahun kepada pemain berusia 27 tahun itu seandainya beliau melengkapkan perpindahannya menyertai The Magpies.

Gosens berjaya menjaringkan 11 gol dan turut mencatatkan 6 assists dari 32 penampilan dalam saingan Serie A musim lalu, seterusnya membawa Atalanta ke aksi saingan Champions League musim ini.

Beliau turut menjadi antara pemain paling berprestasi ketika aksi saingan Euro 2020 yang lalu selepas mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan bersama skuad kebangsaan Jerman.

Gosens menjaringkan gol dan turut mencatatkan dua assist ketika membantu Jerman menewaskan Portugal dalam perlawanan yang dianggap terbaik dalam saingan Euro edisi 2020.

Aksi hebat yang beliau pamerkan pada ketika itu membantu beliau untuk menjadi antara pemain tumpuan yang dipantau oleh kelab-kelab gergasi dalam dunia bola sepak.

Walau bagaimanapun, sejak September lalu, Gosens terpaksa diketepikan kerana beliau mengalami masalah kecederaan hamstring.

Gosens juga masih belum boleh dipastikan lagi bila beliau akan boleh diturunkan walaupun jangkaan awal menjangkakan beliau akan kembali beraksi pada Februari.

Newcastle sementara itu mahukan jaminan yang Gosens akan boleh kembali beraksi pada Februari nanti sebelum mereka menghantar bidaan rasmi kepada Atalanta.

Penandatanganan pemain seperti Trippier dari Atletico Madrid telah membangkitkan semangat pengurus kelab, Eddie Howe untuk menambah baik jentera serangan beliau.

Newcastle kemudiannya melengkapkan perpindahan Woods dari musuh mereka di zon penyingkiran, Burnley dalam usaha mereka untuk menambah baik skuad sedia ada.

Newcastle United memulakan aksi pada minggu ini bertemu Watford, dengan pemain kebangsaan New Zealand, Wood diturunkan dalam kesebelasan utama mereka.

Ketika ditanya tentang impak pemain berusia 30 tahun itu, Howe mendedahkan bahawa:

“Dia merupakan ancaman yang cukup merbahaya ketika melancarkan serangan, fizikaliti dan karakter dia saya sangat suka, dan dia ada pengalaman luas dalam saingan Premier League.”

“Chris merupakan penandatanganan penting untuk kami di waktu sukar seperti ini dan saya sangat berbangga kami berjaya segera mendapatkan dia ke sini.”

Wood setakat ini sudah berjaya menjaringkan tiga gol dari 17 penampilan dalam saingan Premier League sepanjang musim ini.

Selepas tersingkir dari saingan Piala FA kerana dikejutkan dengan kekalahan di tangan Cambridge United, Newcastle pada ketika ini akan menumpukan sepenuh perhatian mereka untuk keluar dari zon penyingkiran dalam saingan Premier League.

Penambahan pemain-pemain baru sudah tentu akan membantu Newcastle untuk memperbaiki keputusan mereka, dan mengelak dari terus keciciran mata.

The Magpies jelas sekali tidak boleh keciciran mata lagi seandainya mereka mahu selamat dari tersingkir ke saingan Championship.

Mereka pada ketika ini berada di kedudukan ke-19 dalam carta saingan liga dengan mengumpul 12 mata dari 20 perlawanan.

Newcastle hanya memerlukan dua mata sahaja lagi untuk memintas Watford untuk mengelak dari berada di zon penyingkiran.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Newcastle Sudah Berunding Dengan Calon Penandatanganan Pertama Di Bawah Pemilikan Baru