Newcastle Tewas 2-1 kepada Fulham

Newcastle terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Jacob Murphy pada separuh masa pertama, yang menyaksikan peluang gol pasukan itu agak terhad. Murphy berjaya menyambar bola di far post yang berpunca dari hantaran lintang Anthony Gordon yang terkena pemain lawan pada minit ke-37.

Namun, Fulham tampil lebih baik selepas rehat dan jaringan penyamaan dari Raul Jimenez pada minit ke-61 bukan lah satu perkara yang mengejutkan. Pasukan bimbingan Marco Silva terus menekan, sebelum Rodrigo Muniz menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-82 hasil hantaran dari sepakan percuma Andreas Pereira.

Adakah Newcastle Terlalu Memikirkan Perlawanan Piala Carabao – Menentang Arsenal?

Adakah Newcastle kurang memberi tumpuan kepada perlawanan ini kerana terlalu memikirkan aksi separuh akhir kedua Piala Carabao menentang Arsenal?

Pada minit-minit awal di St James’ Park, para pemain Newcastle kelihatan bertenaga dan memberi tekanan kepada penjaga gol Fulham, Bernd Leno. Namun, prestasinya secara keseluruhan tidak menyerlah, berbeza dengan sebelum ini ketika mencatat 7 kemenangan dari 8 perlawanan liga terakhir. Newcastle ketika itu berada dalam kedudukan baik untuk layak ke Liga Juara-Juara pada musim depan.

Peluang terbaik Newcastle hadir pada minit ke-75 apabila Alexander Isak hampir mencetak gol tetapi percubaannya sekadar menggegarkan palang.

Lebih membimbangkan, Newcastle sekali lagi bergelut dalam perlawanan di tempat sendiri. Mereka sebelum ini telah tewas di St James’ Park kepada Brighton, West Ham United, Bournemouth dan semalam Fulham. Ia menunjukkan satu corak yang agak membimbangkan.

Bagaimanapun, perlawanan menentang Arsenal pada hari Rabu nanti dijangka berbeza. Newcastle cenderung tampil lebih baik apabila berdepan pasukan yang lebih kuat dan St James’ Park pasti akan dipenuhi penyokong yang memberikan sokongan padu. Walaupun Newcastle memiliki kelebihan agregat 2-0, mereka masih perlu meningkatkan prestasi untuk memastikan tempat ke perlawanan akhir.

Adakah Newcastle Menyusahkan Diri Sendiri?

Fulham sekali lagi membuktikan keupayaan mereka dalam menyukarkan Newcastle dan pasukan tuan rumah turut menyumbang kepada kekalahan mereka sendiri.

Walaupun tidak seteruk kekalahan 3-1 di Craven Cottage pada September lalu, Newcastle tetap melakukan beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku. Mereka mengawal permainan dalam separuh masa pertama namun kerap kehilangan bola dalam situasi yang tidak perlu dan Joelinton antara pemain yang paling ketara melakukan kesilapan tersebut.

Newcastle sepatutnya lebih bersedia. Daripada 8 gol yang dijaringkan Fulham dalam 4 perlawanan liga di tempat lawan sebelum ini, 7 daripadanya hadir pada separuh masa kedua. Kini, rekod itu meningkat kepada 9 daripada 10 gol.

Raul Jimenez menjadi ancaman utama namun Fulham turut mendapat bantuan daripada kesilapan Sandro Tonali yang kehilangan bola pada minit ke-61. Kesilapan itu membolehkan Adama Traore menghantar hantaran silang dari sebelah kanan yang akhirnya disudahkan oleh Jimenez selepas bola terkena pertahanan Newcastle.

Gol kemenangan Fulham pula hadir pada minit ke-82 apabila Muniz menanduk masuk hantaran dari sepakan percuma Pereira di far post. Kekalahan ini menandakan pertama kali dalam 13 bulan Newcastle tewas dalam perlawanan liga selepas mendahului.

Sejauh Mana Kepentingan Jacob Murphy kepada Newcastle?

Jaringan Murphy dalam perlawanan ini hadir ketika dia membuat penampilan ke-200 dalam jersi Newcastle, satu pencapaian yang mungkin dianggap mustahil satu ketika dahulu.

Dibeli oleh Rafa Benitez pada 2017 ketika kelab mempunyai bajet terhad. Karier Murphy meningkat secara perlahan. Dia melalui tempoh pinjaman di West Bromwich Albion dan Sheffield Wednesday.

Pemergian Miguel Almiron ke Atlanta United pada minggu lalu membuktikan betapa pentingnya Murphy dalam skuad kendalian Eddie Howe. Pada usia 29 tahun, dia kini berada dalam prestasi terbaik sepanjang kariernya.

Walaupun Newcastle masih mencari pemain sayap kanan baharu, Murphy tidak menjadikan perkara itu sebagai halangan. Sebaliknya dia menggunakan situasi ini sebagai motivasi untuk terus menyumbang kepada pasukan. Setakat musim ini dia telah mencipta 6 bantuan gol kepada Alexander Isak, menjadikannya pemain dengan jumlah hantaran gol tertinggi kepada seorang rakan sepasukan dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.

Selain mencipta peluang, Murphy juga mampu menjaringkan gol. Jaringan ke-4 musim ini hadir pada minit ke-37. Ia berpunca dari hasil daripada gerakan cemerlang Gordon yang melepasi Timothy Castagne sebelum melakukan hantaran lintang yang terkena Calvin Bassey. Murphy yang berada di far post tidak melepaskan peluang untuk menolak bola ke dalam gawang.

Sekiranya Murphy mengalami kecederaan, Newcastle pasti berdepan masalah besar dan ia membuktikan betapa pentingnya pemain ini kepada pasukan.

Laporan asal dari Chris Waugh

BACA:  Tipah Tertipu, Newcastle Kaji Ambil Tindakan Perundangan Terhadap Milan Dan Tonali