Newcastle United: Bersedia Menukar Sejarah Buruknya di Etihad, Anfield & Wembley

Pada musim ini, Newcastle United lebih cenderung melakukan sesuatu dengan cara susah. Ia kedengaran seperti kritikan tetapi sebenarnya satu pujian.

Kekecewaan terbesar pada musim 2024-25 kerana mereka banyak kalah dalam perlawanan yang sepatutnya mereka menang dengan mudah. Namun, musim ini juga mencatat beberapa pencapaian bersejarah terutama di tempat-tempat yang selama ini menjadi ‘kubur’ untuk mereka.

Dengan misi untuk kembali ke Liga Juara-Juara dan mengakhiri kemarau trofi selama 56 tahun, Newcastle bakal menghadapi beberapa perlawanan sukar. Mereka akan menentang pasukan di atas mereka: Manchester City (ke-5), Nottingham Forest (ke-3) dan Liverpool (pertama). Selain itu, mereka juga akan bertemu Liverpool sekali lagi dalam final Piala Carabao yang akan berlangsung pada 16 Mac.

Untuk berjaya, Newcastle bukan sahaja perlu menewaskan lawan-lawan ini, mereka juga perlu mengatasi rekod buruk mereka di beberapa stadium lawan.


Cabaran di Tempat Lawan

Stadium Etihad

Newcastle tidak pernah menang (Liga Perdana) di Stadium Etihad. Kali terakhir mereka menewaskan Manchester City di tempat lawan adalah pada September 2000. Ketika itu City masih bermain di Maine Road. Sejak itu, mereka tewas 15 kali berturut-turut di sana malah gagal menjaringkan gol dalam 5 kunjungan terakhirnya kesana.

Secara keseluruhan, dalam 19 perlawanan di Etihad Newcastle dibelasah secara agregat 54-8. Di St James’ Park pun mereka jarang menang ke atas City, hanya mencatat 1 kemenangan dalam 34 pertemuan terakhir liga iaitu pada Januari 2019.

Rekod Eddie Howe menentang Pep Guardiola juga kurang memberangsangkan. Dalam semua pertandingan, beliau hanya menang 1 daripada 9 perlawanan, seri 2 kali, dan kalah 6 kali.

Stadium Anfield

Perjalanan ke Anfield sentiasa sukar untuk Newcastle. Mereka hanya menang sekali dalam sejarah Liga Perdana di gelanggang ini iaitu pada April 1994. Dalam 28 kunjungan terakhir ke Liverpool, mereka gagal menang walau sekali pun.

Pada musim lalu ketika kalah 4-2 di Anfield, Newcastle mencatat rekod tertinggi ‘expected goals against’ (xGA) dalam sejarah Liga Perdana iaitu 7.27.

Howe sendiri mengalami kesukaran menentang Liverpool, hanya mampu mencatat satu 1 dan 6 kekalahan dalam 7 perlawanan sebagai pengurus Newcastle. Kali terakhir Newcastle menang ke atas Liverpool, sama ada di tempat sendiri atau lawan adalah pada Disember 2015.

Stadium Wembley

Gelanggang final Piala Carabao bulan depan mungkin lebih menakutkan untuk Newcastle.

Dahulu, Newcastle tidak pernah kalah di Wembley selama 50 tahun. Mereka memenangi 5 final Piala FA antara 1924 hingga 1955. Namun, mereka kini sudah 70 tidak mencatat sebarang kemenangan di Wembley.

Kekalahan 3-0 kepada Liverpool dalam final Piala FA 1974 adalah permulaan kepada 8 kekalahan berturut-turut di Wembley, termasuk 2 final Piala FA (1998, 1999), 1 separuh akhir Piala FA (2000) 2 final Piala Liga (1976, 2023). Serta 2 perlawanan Liga Perdana menentang Tottenham (2018, 2019).

Newcastle juga gagal menjaringkan gol dalam 4 kunjungan terakhir ke Wembley dan hanya menjaringkan 1 gol dalam 7 perlawanan di sana sejak 1976.


Adakah Newcastle Mampu Mengubah Sejarah?

Walaupun semua fakta ini kelihatan suram, musim ini Newcastle telah menunjukkan bahawa mereka boleh menamatkan rekod-rekod buruk itu.

Mereka telah menang di Old Trafford untuk kali ke-2 sejak 1972, menewaskan Tottenham di tempat lawan serta mengalahkan Arsenal 2-0 dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Carabao. Kemudian Newcastle mencatat kemenangan ke-2 di Emirates dalam 20 kunjungan kesana.

Untuk pertama kali, Newcastle berjaya menang di ketiga-tiga stadium itu dalam satu musim malah mereka melakukan dalam tempoh hanya 9 hari.

Rekod Newcastle menentang ‘Big Six’ musim ini juga cemerlang: 10 perlawanan, 7 kemenangan, 2 seri dan hanya 1 kekalahan. Arsenal kalah 3 kali dalam pertandingan domestik sejak Oktober dan ketiga-tiganya kalah kepada Newcastle.

Dari sudut individu, Alexander Isak antara penyerang paling tajam di Liga Perdana. Dia menjaringkan 19 gol dalam 27 perlawanan termasuk jaringan ke atas Arsenal (2 gol), Manchester United, Tottenham (2), Chelsea (1) dan Liverpool (1). Sejak musim lepas Anthony Gordon pula telah terlibat secara dalam 17 gol daripada 19 perlawanan menentang ‘Big Six’.

Mentaliti Newcastle telah berubah. Mereka tidak lagi gentar menghadapi pasukan besar atau sejarah silam buruk mereka. Sebaliknya, mereka menggunakan rekod buruk itu sebagai motivasi.


Mengapa Newcastle Masih Mempunyai Peluang?

Di sebalik kesukaran, Newcastle sebenarnya lebih selesa menentang pasukan besar seperti Liverpool berbanding menentnag pasukan pertengahan liga seperti Spurs. Apabila menentang pasukan gergasi, pemain dan penyokong mereka lebih berwaspada dan bermotivasi tinggi.

Manchester City pula bukan lagi pasukan yang kebal seperti dulu. Mereka sudah tewas 12 kali musim ini, ramai pemain utamanya cedera dan mereka baru sahaja kalah kepada Real Madrid.

Liverpool mungkin mendahului liga dengan 7 mata tetapi mereka baru sahaja disingkirkan oleh Plymouth Argyle dalam Piala FA dan hanya seri dengan Everton. Dengan jadual perlawanan yang padat, tumpuan Liverpool mungkin menurun.

Walaupun sasaran untuk menang di Etihad, Anfield dan Wembley dalam masa yang singkat adalah cabaran besar, Newcastle telah membuktikan bahawa mereka mampu menentang sejarah.

Musim ini, Newcastle cemerlang dalam perlawanan besar. Kini mereka perlu memastikan momentum itu berterusan dan membawanya ke pentas paling penting iaitu pada 16 Mac.

BACA:  Premier League 2020/21: Manchester United 3-1 Newcastle United