Newcastle United Dan Aston Villa Berebut Mahu Dapatkan Paul Pogba

Newcastle United dan Aston Villa dilaporkan sangat berminat mahu mendapatkan khidmat Paul Pogba pada musim panas ini nanti.

Pemain midfield itu berkemungkinan bakal meninggalkan Old Trafford pada penghujung musim ini selepas kontraknya tamat.

Sehingga ke hari ini, Paul Pogba masih lagi belum menandatangani kontrak baru bersama kelab dan masih belum memberi kata putus sama ada beliau mahu kekal atau tidak.

Sepertinya beliau tidak mungkin akan menerima tawaran kontrak baru dari kelab dan Pogba sudah hampir pasti untuk meninggalkan Old Trafford penghujung musim ini.

Karier beliau di Old Trafford tidak begitu membanggakan dengan Pogba gagal untuk mendapatkan tahap persembahan terbaiknya sejak dari awal beliau ditandatangani pada tahun 2016 lalu.

Beliau kerap mempamerkan aksi tidak konsisten dan sering menjadi mangsa kecaman para peminat kerana hal tersebut.

Melihat kepada United yang sehingga kini masih belum memutuskan siapa pengurus tetap mereka pada musim hadapan, sepertinya Pogba tidak akan mahu menandatangani tawaran lanjutan kontrak dari kelab.

Selain itu, aksi hambar Manchester United sejak kebelakangan ini juga berpotensi untuk menjadi penyebab mengapa pemain berusia 29 tahun itu mahu meninggalkan kelab.

Pogba sebelum ini sudah mendedahkan yang beliau mahu bersama dengan kelab yang boleh memenangi pelbagai kejuaraan dan sepertinya United bukanlah kelab yang beliau maksudkan.

Ketika begitu banyak kelab gergasi lain yang dikaitkan dengan bakal menandatangani pemain midfield itu, tular pula berita yang mendakwa ada dua pasukan dari Premier League yang sangat berminat mahu mendapatkan Pogba.

Pada awalnya identiti kedua-dua kelab dari saingan Premier League itu dirahsiakan kepada umum, namun hari ini media UK telah mendedahkan siapa dua kelab yang berminat mahu mendapatkan Pogba itu.

Newcastle United dan Aston Villa pada ketika ini dilaporkan sangat berminat untuk mendapatkan Paul Pogba, namun kedua-dua mereka masih belum menghantar tawaran rasmi kepada pemain tersebut.

Tidak mengejutkan sama sekali untuk melihat nama Newcastle dikaitkan dengan Paul Pogba, dek kerana mereka merupakan antara pasukan paling berkelayakan untuk mendapatkan pemain Perancis itu.

Selepas The Magpies diambil alih oleh Syarikat konsortium Arab Saudi pada tahun lalu, Newcastle United kini menjadi antara pasukan terkaya dalam dunia bola sepak.

Pada jendela perpindahan Januari baru-baru ini, pihak kelab telah mengeluarkan dana bernilai £90 juta untuk mendapatkan beberapa pemain, dalam usaha mereka untuk keluar dari zon penyingkiran.

Usaha Newcastle United itu sepertinya sangat membuahkan hasil dengan mereka kini sudah berjaya menjarakkan diri dari zon penyingkiran.

The Magpies kini sembilan mata di atas pasukan yang berada di kedudukan ketiga tercorot dengan mereka sepertinya sudah hampir pasti tidak akan tersingkir.

Memandangkan mereka berjaya mengelak dari tersingkir, maka skuad kendalian Eddie Howe itu sudah tentu bakal berusaha untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam carta saingan liga musim hadapan.

Seandainya mereka berjaya mendapatkan Paul Pogba pada musim panas ini nanti, maka ia bakal menjadi satu keputusan yang sangat membantu.

Selain Paul Pogba, Newcastle United juga turut hangat dikaitkan dengan bakal menandatangani pemain penyerang Paris Saint Germain, Neymar pada jendela perpindahan musim panas ini.

Pemilik Paris Saint Germain itu sendiri sudah mengumumkan yang beliau mahu Neymar berambus dari kelab kerana merasakan bintang Brazil itu gagal membantu kelab.

Ia jelas sekali satu keputusan yang berani dari pemilik PSG, apa lagi selepas memikirkan yang beliau juga berpotensi untuk kehilangan Kylian Mbappe pada musim panas ini.

Melihat Aston Villa turut sama berminat mahu mendapatkan pemenang Piala Dunia itu sebenarnya sedikit mengejutkan ramai pihak.

Memandangkan gaji Pogba antara yang paling mahal dalam saingan Premier League, maka ia sedikit mengejutkan untuk melihat Aston Villa berani menyatakan minat mereka untuk mendapatkan bintang Perancis itu.

Walau bagaimanapun, pengaruh dari Steven Gerrard mungkin menjadi faktor utama mengapa Aston Villa berani untuk mengejar Paul Pogba.

Legenda Liverpool itu telah dilantik menjadi pengurus kelab pada penghujung tahun lalu, dengan beliau sudah berjaya membawa bekas rakan sepasukannya, Philippe Coutinho ke Villa Park.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Thierry Henry Calon Utama Untuk Menjadi Pengurus Aston Villa