Neymar Dilantik Secara Rasmi Sebagai Kapten Brazil Yang Baru

Ketua Jurulatih Brazil, Tite akhirnya menamatkan sistem penggiliran kapten yang dipraktikannya dalam skuad kebangsaan sebelum ini apabila menamakan Neymar sebagai kapten tetap Brazil yang baru.

Tite membuat pengumuman tersebut menjelang perlawanan persahabatan Brazil menentang Amerika Syarikat di Ney Jersey hari ini. Sebelum ini, Tite menggilirkan lilitan kapten kepada beberapa pemain senior Brazil seperti Miranda, Marcelo, Neymar dan Thiago Silva.

Neymar kapten baru Brazil. Tiada lagi penggiliran kapten selepas ini

Selepas diumumkan sebagai kapten Brazil yang baru, Neymar percaya tanggungjawab yang diberikan kepadanya dalam skuad kebangsaan akan meningkatkan lagi tahap permainannya ketika bersama Brazil dan Paris Saint-Germain.

Dalam kempen Piala Dunia 2018 yang baru sahaja berakhir dua bulan yang lalu, Neymar menarik perhatian ramai kerana suka mencari simpati pengadil dengan melakukan aksi ‘dive’ di atas padang. Neymar dan rakan-rakannya teruk dikritik selepas Brazil hanya mampu mara sehingga peringkat suku akhir sebelum disingkirkan Belgium.

Nama Neymar sering dipetik akhbar-akhbar seluruh dunia bukan kerana kehebatan beliau beraksi di atas padang, tetapi sikapnya yang gemar mengerang kesakitan secara berlebih-lebihan.

Tite mahu Neymar membawa cabaran Brazil di Copa America 2019 dan Piala Dunia 2022

Dalam sidang media bersama Tite ketika dinamakan sebagai kapten Brazil yang baru, Neymar berkata beliau menerima keputusan ini dengan terbuka dan akan belajar untuk menjadi kapten pasukan yang baik.

“Saya menerima tanggungjawab ini kerana saya akan banyak belajar melalui pengalaman bergelar kapten. Tanggungjawab ini akan memberi banyak kebaikan kepada saya secara keseluruhannya.”

Neymar turut diminta mengulas mengenai pengalaman buruk beliau dalam kempen Piala Dunia 2018 di Russia yang baru sahaja berakhir beberapa minggu yang lalu.

Neymar gagal bantu Brazil menangi Piala Dunia 2018

“Saya percaya tiada siapa dalam bilik ini akan merasai apa yang telah saya lalui ketika Olimpik dan Piala Dunia yang lalu.”

“Banyak pihak mengkritik saya. Mereka hanya berkata perkara yang buruk dan saya berasa kurang selesa untuk bercakap kepada media selepas tamat perlawanan Belgium. Apabila saya berasa kurang selesa untuk bercakap, saya lebih suka untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ‘senyap adalah jawapan yang terbaik’.”

“Mengenai mereka yang suka mengkritik saya, saya tidak mempunyai sebarang komen untuk diberikan. Saya merupakan seorang pemain yang apabila mempunyai bola di kaki sebanyak 11 kali, saya akan meluru ke arah pemain lawan sebanyak 10 kali.”

Sakit woiiii

“Pasukan lawan tidak akan suka-suka membenarkan saya melepasi mereka tanpa sebarang halangan. Saya tidak boleh meminta mereka, ‘Hey, excuse me.. izinkan aku menjaringkan gol’. Saya menerima banyak fouls ketika Piala Dunia. Ia menjadi satu pengajaran kepada saya.”

“Sekarang, tanggungjawab saya semakin besar dengan lilitan kapten ini. Saya juga ingin meminta maaf kepada peminat Brazil yang marah terhadap kami kerana tewas dalam cara yang amat buruk. Kami percaya kami mampu menjadi juara dunia tetapi ia tidak berlaku.”

BACA:  Neymar Dikecam Kerana Tidak Hadiri Pengkebumian Pele