Neymar Kembali ke Barcelona? Peluang Tipis tetapi Tidak Mustahil
Tidak, anda tidak bermimpi. Ini memang tahun 2025.
Namun, agak pelik apabila kita masih membincangkan kemungkinan Neymar kembali ke Barcelona pada musim panas ini.
Bintang Brazil itu baru sahaja menyambut ulang tahunnya yang ke-33 dan hanya beraksi dalam 13 perlawanan sepanjang 2 musim terakhir. Jadi, jika anda berasa sukar untuk mempercayai khabar angin ini, anda tidak keseorangan. Namun, dalam dunia perpindahan bola sepak terutama apabila melibatkan Barcelona, apa sahaja boleh berlaku.
Menurut laporan daripada David Ornstein, perbincangan mengenai kepulangan Neymar ke Barcelona memang sedang berlangsung di belakang tabir. Walau bagaimanapun, secara logik, ia mungkin bukan pilihan terbaik untuk pasukan kendalian Hansi Flick.
Keadaan Semasa Neymar
Pada bulan lalu, Neymar menandatangani kontrak selama 6 bulan bersama kelab lamanya, Santos selepas bersetuju untuk meninggalkan kelab Arab Saudi, Al Hilal secara percuma. Neymar berhijrah ke Arab Saudi pada tahun 2023 dengan yuran perpindahan bernilai €90 juta, tetapi hanya sempat menjaringkan 7 perlawanan sebelum mengalami kecederaan ligamen lutut yang serius ketika mewakili skuad kebangsaan Brazil.
Kontrak jangka pendeknya di Santos bertujuan untuk membantunya kembali ke tahap kecergasan terbaik. Setakat ini, dia telah menjaringkan 2 gol dalam 6 perlawanan, satu petanda positif bahawa dia masih mampu memberikan sesuatu di atas padang.
Tidak ramai yang mengetahui bahawa Neymar sebenarnya sudah lama mengimpikan untuk kembali ke Barcelona sejak dia meninggalkan kelab itu untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG) pada tahun 2017 dengan harga €222 juta – rekod perpindahan dunia yang masih belum dipecahkan hingga hari ini. Dia tidak pernah selesa di Paris seperti ketika dia bermain di Barcelona dan keinginannya untuk kembali sudah lama diketahui oleh pihak kelab.
Pada tahun 2019, presiden Barcelona ketika itu, Josep Maria Bartomeu pernah berusaha untuk membawa Neymar pulang tetapi gagal. 4 tahun kemudian, sebelum menyertai Al Hilal, Neymar sekali lagi cuba melihat sama ada Barcelona berpeluang mendapatkan khidmatnya semula. Namun, ketika itu Barcelona berada dalam krisis kewangan yang teruk dan tidak mampu membayar yuran perpindahan kepada PSG. Neymar akhirnya menerima hakikat dan membuat keputusan untuk berhijrah ke Arab Saudi.
Adakah Keadaan Kini Berbeza?
Barcelona masih bergelut dengan masalah kewangan. Jadi, apa yang membuatkan peminat percaya bahawa mereka mampu mendapatkan Neymar sekarang? Tambahan pula, adakah masuk akal untuk membawa masuk pemain berusia 33 tahun ke dalam skuad yang sedang meningkat dengan bakat-bakat muda?
Di sebalik semua persoalan ini, ada satu individu penting yang boleh memainkan peranan besar iaitu Pini Zahavi, ejen Neymar. Zahavi mempunyai hubungan baik dengan presiden Barcelona, Joan Laporta. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Laporta telah membawa masuk 2 individu utama di bawah naungan Zahavi iaitu Robert Lewandowski dan Hansi Flick. Oleh itu, jika ada mana-mana ejen yang mampu merealisasikan perpindahan Neymar ke Barcelona, Zahavi ialah orangnya.
Selain itu, Barcelona juga bakal kembali beraksi di Camp Nou yang telah menjalani proses naiktaraf pada musim 2025-26. Kehadiran bintang seperti Neymar boleh menjadi daya tarikan besar untuk menarik semula peminat dan memastikan tiket perlawanan terjual habis.
Dalam bilik persalinan, Neymar juga masih mempunyai beberapa rakan yang berpengaruh. Kapten Barcelona musim ini, Raphinha sangat rapat dengannya sejak mereka bermain bersama dalam skuad kebangsaan Brazil. Selain itu, pemain muda sensasi Barcelona, Lamine Yamal membesar dengan menjadikan Neymar sebagai idolanya. Mereka berdua bertemu di majlis Anugerah Globe Soccer pada Disember lalu dan sejak itu sering berinteraksi di media sosial.
Bolehkah Neymar Kembali ke Barcelona?
Dari segi kewangan, Neymar boleh berpindah secara percuma kerana kontraknya bersama Santos akan tamat pada musim panas ini. Selain itu, dia sedang bersiap sedia untuk mewakili Brazil dalam Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico. Oleh itu, dia mungkin sanggup menerima gaji lebih rendah demi kembali ke kelab yang pernah dianggap sebagai rumahnya.
Namun dari sudut taktikal, perpindahan ini sukar untuk diterima akal. Neymar yang kini berusia 33 tahun dengan rekod kecederaan yang panjang mungkin tidak sesuai dengan gaya permainan Flick, yang menuntut tekanan tinggi dan kerja keras daripada barisan serangan. Malah, Lewandowski yang sudah berusia 36 tahun pun telah beberapa kali diketepikan daripada kesebelasan utama musim ini kerana faktor kecergasan.
Barcelona sebenarnya sedang mencari seorang penyerang baharu yang boleh beraksi di sayap kiri serta di bahagian tengah. Sumber dalaman kelab memberitahu bahawa beberapa pemain yang berada dalam radar mereka ialah Luis Diaz (Liverpool), Rafael Leao (AC Milan) dan Alexander Isak (Newcastle United). Pemain-pemain ini lebih sesuai dengan gaya permainan yang Flick mahukan tetapi mereka juga mempunyai banyak kelab lain yang bersedia untuk mendapatkan mereka pada musim panas nanti.
Bagaimana jika masalah kewangan Barcelona menghalang mereka daripada mendapatkan pemain pilihan Deco? Bagaimana jika Neymar menjadi satu-satunya pilihan yang paling mudah, mampu menggembirakan presiden kelab dan berpotensi meningkatkan jualan tiket?
Keputusan Besar Menanti Barcelona
Keputusan ini bakal menjadi salah satu keputusan terbesar buat Barcelona pada musim panas ini. Walaupun Laporta memainkan peranan penting dalam aktiviti perpindahan kelab, pandangan Deco sebagai pengarah sukan dan jumlah dana yang boleh diperolehi Barcelona daripada jualan pemain juga akan memberi impak besar terhadap keputusan akhir.
Namun, perkara yang lebih penting daripada semua itu ialah pendapat Hansi Flick – pengurus yang telah menghidupkan semula Barcelona dan menjadikan kelab itu sebagai pencabar utama dalam saingan La Liga serta Liga Juara-Juara Eropah. Tiada sebarang pembelian besar yang akan dilakukan tanpa persetujuannya, meskipun dia dan Neymar berkongsi ejen yang sama.
Namun, seperti yang kita tahu, dunia perpindahan bola sepak penuh dengan kejutan dan ini melibatkan Barcelona. Jadi, jangan sesekali menolak sebarang kemungkinan…