Neymar Menangis Dituduh Tidak Gembira di PSG

Pemain Paris Saint Germain, Neymar menangis selepas dituduh mempunyai hubungan yang dingin dengan Edinson Cavani dan tidak sehaluan dengan pengurusnya, Unai Emery.

Dalam satu insiden awal musim ini, Cavani dan Neymar berebut untuk mengambil sepakan penalti dan sepakan percuma. Emery memberikan amaran keras kepada kedua-dua pemain dan memberi peluang kepada mereka untuk menyelesaikan masalah tersebut sesama mereka.

Terdapat laporan dari Sepanyol yang mengatakan Neymar tidak gembira dengan situasinya di Paris selepas konflik dalam padang dengan Cavani dan kurang selesa bekerjasaman dengan Emery.

Neymar mula menitiskan air mata.

Laporan tersebut juga mengatakan Neymar sudah memikirkan kelab yang akan disertainya selepas ini dan bersedia untuk memaksa PSG menjualnya hujung musim nanti walaupun baru sahaja menyertai kelab tersebut.

Walaubagaimanapun, Neymar menafikan segala tuduhan tersebut dan beliau gembira untuk kekal di PSG untuk satu jangka masa yang panjang.

Pemain berusia 25 tahun ini dilihat menitiskan air mata dalam satu sidang media selepas Brazil menang 3-1 ke atas Japan dalam perlawanan persahabatan yang diadakan di Perancis. Neymar menjaringkan satu gol dalam perlawanan tersebut.

Tite mengusap kepala Neymar.

“Saya meminta pihak media untuk berhenti mereka berita palsu berkenaan saya. Saya mahu meluahkan segala yang terbuku dalam hati saya. Saya seorang yang realistik dan saya tidak gemar berita palsu berkenaan saya, kerana saya tidak mempunyai sebarang masalah bersama kelab saya sekarang.”

“Saya berada di Perancis kerana saya meminta untuk bermain disini. Segalanya berjalan dengan baik di Paris. Saya amat gembira dan bermotivasi di sini. Saya seorang pemain yang memberikan segala-galanya di atas padang.”

“Apa yang mengganggu saya sekarang ini adalah banyak pihak mereka berita palsu mengenai masalah saya dengan jurulatih dan dengan Cavani. Perkara ini tidak betul dan tidak benar. Saya cuma mahu perasaan gembira ketika bermain, dan saya di sini bukan untuk mencipta masalah dengan sesiapa. Saya tahu peranan saya di atas padang dan saya akan melakukan perkara yang jurulatih mahu saya lakukan atas padang.”

Menangis hati ini, ku juga bersimpati.

“Saya ada berbincang dengan Edu (penyelia pasukan Brazil) dan Tite (pengurus Brazil) mengenai perkara ini kerana ia jelas mengganggu saya. Setiap hari pasti akan ada berita palsu mengenai Neymar. Saya tidak mempunyai sebarang masalah di PSG, apa yang menjadi masalah kepada saya adalah tekanan dari pihak media.

Saya seorang pemain yang suka untuk memenangi kejuaraan, dan saya menyertai PSG atas sebab tersebut. Saya gembira ketika meniggalkan Barcelona dan sekarang pun saya masih gembira.”

Neymar dan Cavani dilaporkan mempunyai hubungan yang dingin dalam dan luar padang selepas insiden berebut penalti, dengan penyerang Brazil ini dilaporkan telah menggesa pemilik kelab untuk menjual Cavani pada tirai perpindahan akan datang.

Walaubagaimanapun, perkara ini telah dinafikan Neymar dan berkata semuanya ciptaan karut pihak media yang mahu menjual cerita.

Baca Juga

Baca Juga