Neymar Pernah Membantu Liverpool Menjuarai EPL

Neymar adalah satu nama besar dalam bola sepak dan mula menggegar dunia pada tahun 2009 apabila dia melakuan debut pada usia 17 tahun buat kelab Brazil, Santos.

Kelincahan dan kelicikannya di atas padang telah membuatkan seluruh Brazil berasa mendapat harapan dan sinar yang baharu dalam bola sepak mereka dan pemain ini diangkat sebagai The Chosen One untuk meletakkan negara samba ini kembali ke peta bola sepak dunia.

Pada masa yang sama di benua yang jauh dari Amerika Selatan, pasukan Liverpool sedang terkial-kial dengan pengurusan dan prestasi di atas padang dalam usaha mereka untuk memenangi semula takhta Liga Inggeris selepas kali terakhir mereka lakukannya pada tahun 1990.

Tanpa Liverpool sedar, misi mereka untuk memenangi Liga Perdana Inggeris buat kali pertama hanya akan tercapai dalam tempoh 11 tahun lagi dan langkah pertamanya dibuat oleh Neymar pada tahun 2013.

Pada tahun tersebut, Barcelona berjaya memenangi hati pemain muda ini dan membawa Neymar ke Camp Nou untuk digandingkan dengan Lionel Messi serta Luis Suarez, sekaligus membentuk gangingan MSN yang sangat digeruni oleh pasukan lawan.

Gandingan tiga serangkai ini membantu Barcelona untuk memenangi dua kejuaraan La Liga, empat Copa Del Rey dan satu Liga Juara-Juara UEFA. Malah pada musim 2014/15, mereka telah memenangi treble – kali kedua dalam sejarah Barcelona.

Pada tahun 2017, timbul khabar angin bahawa Neymar akan mengangkat kaki daripada kelab Catalan tersebut dan menyertai kelab yang kaya di Eropah, dengan kelab Perancis, Paris Saint Germain dikatakan sebagai pasukan yang berminat untuk membeli pemain ini.

Ketika kedua-dua pasukan ini bertembung dalam suku akhir Liga JuaraJ-Juara UEFA, Barcelona telah melakukan satu kebangkitan luar biasa yang dipanggil La Remontada.

Meskipun perlawanan ini dikecam kerana ketidakadilan pengadil dalam banyak keputusan, keupayaan Barcelona bangkit untuk menang enam gol berbalas satu di Camp Nou sangatlah gila selepas mereka dibelasah 5-1 di stadium Parc des Princes dalam pusingan pertama.

Selepas minit ke-88, Barcelona telah menjaringkan tiga gol, dua hasil sumbangan Neymar dan pemain prodigi Brazil ini melakukan satu assist buat Sergi Roberto – sekaligus menjadikan aggregat berpihak kepada pasukan La Blaugrana.

Akan tetapi, walaupun sumbangannya terhadap gol lebih banyak, Neymar tidak berapa dipandang sebaliknya Messi tetap dijulang sebagai wira pasukan. Sebabnya mudah sahaja – Messi adalah raja di Barcelona.

Pada detik itu Neymar tahu bahawa dia tidak akan mampu keluar daripada bayangan sang raja dan selepas musim tersebut tamat, dia memulakan langkahnya untuk membuktikan kepada dunia bahawa dia mampu untuk menjadi pemain yang gah melebihi Messi.

Untuk mencari pasukan berikutnya, dia tahu bahawa pada musim panas tahun sebelumnya PSG sudah cuba untuk mendapatkan khidmatnya. Jadi selepas pertemuan antaranya ayahnya, Neymar Tua dan pemilik PSG, Nasser Al-Khelaifi, gendang perang mula dipalu.

Mengikut kiraan biasa, Barcelona semestinya tidak mahu melepaskan pemain asset mereka ini tetapi memandangkan PSG mempunyai kuasa kewangan yang banyak, duit bukanlah satu masalah.

Dalam sekali lafaz, Barcelona menerima mahar bernilai 222 juta Euro – satu rekod dunia bagi nilai perpindahan seorang pemain.

Langkah pertama Neymar membantu Liverpool. Gambar : Marca

Bagi PSG, walaupun mereka mengeluarkan belanja yang besar, keuntungan semula dijana dengan cepat kerana aura Neymar telah membuatkan kelab dan Ligue 1 mampu untuk menjual hak penyiaran mereka dengan lebih meluas sekaligus menambah jumlah wang masuk ke dalam kantung pasukan.

Dalam pada PSG sedap buat duit, Barcelona pula memulakan rencana kemusnahan diri sendiri. Dengan duit yang banyak diperoleh daripada perpindahan berprofil tinggi itu, kelab ini membeli pemain yang baru semusim mencipta nama di Bundesliga, Ousmane Dembele dari Borussia Dortmund pada harga 100 juta Euro.

Kemudian, Barcelona membeli pula pemain serangan Liverpool, Philippe Coutinho – pemain yang sudah berada dalam radar mereka untuk sekian waktu. Pada bulan Januari 2018, sejumlah 135 juta Euro telah dibelanjakan untuk membawa pemain Brazil ini ke Camp Nou dan di sinilah misi Liverpool untuk memenangi liga semakin cerah.

Sebelum Coutinho dijual, Liverpool sudahpun memecahkan tabung buluh mereka dengan membawa pertahanan kental Virgil Van Dijk dari Southampton pada harga GBP 75 juta. Perpindahan ini terpaksa dilakukan kerana mereka pada waktu itu meskipun mempunyai pemain serangan yang menggerunkan seperti Mo Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino, pasukan ini kerap melepaskan gol yang tidak masuk akal.

Pada musim tersebut, walaupun mempunyai pertahanan termahal dunia ketika itu, Liverpool sekadar menamatkan liga di tangga keempat, dua mata di belakang Tottenham Hotspur, tetapi masih mampu layak ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA sebelum ditewaskan oleh Loris Karius si penjaga gol.

Dalam jendela perpindahan musim panas, pengurus Liverpool sedar bahawa mereka perlu membawa masuk penjaga gol baharu. Dengan duit jualan Coutinho masih belum diusik, The Reds membelanjakan 62.5 juta Euro untuk membeli penjaga gol AS Roma, Alisson Becker, dan rakan senegaranya Fabinho dari Monaco pada harga 45 juta Euro.

Nilai kedua-dua perpindahan ini boleh dianggap cukup tinggi buat Liverpool yang sememangnya diketahui mempunyai pemilik yang kedekut, namun wang yang dibelanjakan ini ternyata berbaloi.

Alisson muncul sebagai antara penjaga gol terbaik dunia dan kemampuan Fabinho untuk bermain sebagai pemain tengah bertahan serta bek tengah, telah membantu Klopp mewujudkan pasukan yang sangat gagah perkasa.

Hasilnya, Liverpool akhirnya berjaya menamatkan badi 30 tahun apabila berjaya menjulang kejuaraan liga pada musim 2019-20 dan barisan pertahanan kelab ini hanya melepaskan 33 gol sepanjang musim liga.

Sebaliknya pula berlaku di Barcelona.

Coutinho gagal menjadi bintang seperti yang diharapkan dan gagal mengulangi prestasinya di Liverpool sebelum dipinjamkan ke Bayern Munich dan berpindah secara kekal ke Aston Villa.

Dembele pula lebih banyak menghabiskan masa di atas katil rawatan berbanding di atas padang.

Pada musim 2021-22, kelab Catalan ini terpaksa melepaskan raja mereka, Messi, selepas mengalami masalah kewangan yang meruncing dan mempunyai hutang mencecah 1 billion Euro.

Dalam episod perpindahan Neymar, PSG dan Liverpool yang untung.

Artikel diolah daripada video Tifo Football.

BACA:  Arsenal, Liverpool & Spurs Berminat Dapatkan Khidmat Pemain Watford, Abdoulaye Doucoure