Neymar Rindu Saat Bermain Bersama Messi & Suarez

Penyerang Paris Saint-Germain, Neymar Jr. mengakui beliau rindukan saat bermain bersama Lionel Messi dan Luis Suarez ketika di Barcelona, tetapi masih lagi komited dengan PSG.

Walaupun bintang Brazil itu merindui pengalaman bermain bersama Messi dan Suarez setiap hari, Neymar menegaskan beliau ingin kekal bermain untuk juara Ligue 1 musim hadapan.

Neymar rindu nak berguro dengan Messi dan Suarez. Pulanglah nak

Neymar menjadi pemain termahal dunia tahun lalu apabila PSG membayar £200juta kepada Barcelona untuk membawa pemain tersebut ke Perancis. Walaupun baru semusim bermain di Ligue 1, Neymar telah dikaitkan untuk kembali beraksi di La Liga dengan Real Madrid dilaporkan bersedia untuk memecahkan rekod dunia sekali lagi.

Neymar kini sedang menjalani proses penyembuhan bersama pasukan perubatan PSG selepas mengalami patah kaki beberapa bulan yang lalu. Kehilangan Neymar jelas dirasai apabila PSG tersingkir dengan mudah dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah di tangan Real Madrid.

Dalam satu temubual bersama Zico yang dipancarkan ke Youtube, Neymar mengakui beliau merindui saat bermain bersama Messi dan Suarez dalam pasukan Barcelona dimana mereka bertiga berjaya membentuk trio serangan terbaik dunia yang dikenali sebagai ‘MSN’.

Trio MSN yang amat digeruni lawan suatu ketika dahulu

“Persahabatan kami bertiga merupakan perkara yang amat menakjubkan. Apa yang saya rindukan dari waktu saya bersama Barcelona adalah mereka berdua [Messi dan Suarez], kerana kami bergembira hampir setiap hari.”

“Saya masih ingat dalam satu perlawanan, saya menggelecek beberapa pemain dan kemudian melakukan hantaran. Kemudian, Messi melakukan perkara yang sama dan menggelecek beberapa pemain lawan. Selepas itu, Suarez cuba menggelecek beberapa pemain tetapi beliau melakukan hantaran ‘backflip’.”

“Saya dan Messi ‘mengejek’ Suarez kerana kegagalan beliau tersebut. Kami sangat rapat antara satu sama lain dan boleh saling ‘mengejek’ apabila salah seorang gagal.”

“Selepas tamat perlawanan apabila tiba di bilik persalinan, Suarez pon berkata, ‘Aku lihat engko gelecek, jadi aku pon nak buat jugak !’.” Ujar Neymar lagi sambil berseloroh.

Walaaupun mengakui masih rindukan rakan sepasukannya di Barcelona, Neymar memberi bayangan beliau tidak akan meninggalkan PSG pada musim panas nanti walaupun sering dikaitkan dengan kepulangan ke Barcelona dan juga ke seteru utama, Real Madrid.

Dalam satu posting terbaru Neymar di Twitter, beliau menyatakan kegembiraannya untuk menyarung jersi baru PSG pada musim hadapan.

Legenda Barcelona yang bakal meningggalkan kelab tersebut tidak lama lagi, Andres Iniesta mengakui sukar untuk melihat pemain antarabangsa Brazil tersebut kembali ke Nou Camp pada masa hadapan.

“Saya tidak rasa akan ada sebarang masalah dalam bilik persalinan jika Neymar kembali ke Barcelona. Tetapi bagi saya, agak janggal untuk melihat beliau kembali memakai jersi kelab ini.”

BACA:  Kewangan Barcelona Semakin Nazak Selepas Had Perbelanjaan Dipotong La Liga