Nico O’Reilly: Bintang Muda Manchester City yang Semakin Menyerlah
Lebih kurang sejam selepas perlawanan Piala FA bermula, Nico O’Reilly menerima bola berhampiran garisan tepi kiri, memandang ke hadapan dan cuba melakukan hantaran jauh merentasi padang. Malangnya, bola itu melayang keluar dari permainan. Ia mungkin satu-satunya kesilapan yang dilakukannya sepanjang perlawanan itu.
Remaja itu telah menjaringkan gol untuk menghidupkan semula peluang pasukannya selepas Plymouth Argyle hampir mencipta kejutan besar. Walaupun bermain di luar posisi asalnya sebagai bek kiri, pengaruhnya tetap jelas di atas padang.
Bagi sesetengah pemain muda, kesilapan seperti itu boleh meruntuhkan keyakinan tetapi tidak bagi O’Reilly. Tidak lama selepas itu dia kembali mengawal bola seperti tiada apa-apa yang berlaku. Kurang 15 minit kemudian dia memastikan kebangkitan City dengan satu lagi tandukan tajam.
Musim panas lalu, Pep Guardiola pernah berkata tentang O’Reilly.
“Dia akan menjadi pemain. Saya pasti dia akan menjadi pemain.”
Dan dalam kemenangan meyakinkan di Etihad semalam, kata-kata pengurus Manchester City itu terbukti benar.
City sedar mereka memiliki pemain berbakat luar biasa. Sebab itulah kelab tersebut tidak membenarkan Chelsea membelinya dalam jendela perpindahan Januarinlepas. Guardiola dan pasukannya tidak mahu mengulangi kesilapan menjual bakat muda berpotensi besar seperti Cole Palmer. Walaupun O’Reilly masih jauh di belakang Palmer dari segi perkembangan, tidak mustahil dia boleh memberi impak yang sama suatu hari nanti.
Kombinasi Elegan dan Fizikal yang Mantap
O’Reilly bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal yang tinggi tetapi juga saiz fizikal yang mengagumkan. Dengan ketinggian 188cm (6 kaki 2 inci), dia adalah pemain versatil yang boleh melakukan pelbagai tugas di padang. Hantaran tepat sejauh 40 ela, penyudah yang yakin serta kekuatan fizikal menjadikannya aset berharga bagi City.
Buktinya, lihat bagaimana dia mengatasi Jordan Houghton dalam perlawanan semalam. Houghton, pemain gantian Plymouth yang berusia 10 tahun lebih tua daripadanya gagal menghalang O’Reilly daripada menjaringkan gol keduanya.
Walaupun perlawanan itu memperkenalkan O’Reilly kepada peminat bola sepak, Guardiola sebenarnya sudah lama memerhatikannya. Pada tahun 2022, ketika menyertai jelajah pramusim di Amerika Syarikat, dia menjadi antara pemain muda yang paling menonjol. Keputusan dan kematangannya di atas padang menarik perhatian barisan kejurulatihan City.
Piala FA: Titik Permulaan ke Pasukan Utama?
Musim ini, Piala FA mungkin menjadi platform terbaik untuk O’Reilly mengukuhkan tempat dalam skuad utama Guardiola. Dia sudah pun menjaringkan gol dalam kemenangan 8-0 ke atas Salford City di pusingan ketiga, yang membolehkannya membuat penampilan sulung di Liga Perdana Inggeris dalam kemenangan 6-0 ke atas Ipswich.
Selepas kemenangan 3-1 ke atas Plymouth, Guardiola berkata:
“Kadang-kadang, anda membuat keputusan yang tepat.”
Beliau merujuk kepada keputusan City untuk tidak menjual O’Reilly. Malah Guardiola menganggap pemain muda itu unik berbanding kebanyakan produk akademi City yang biasanya bertubuh kecil dan lebih mengutamakan skil.
“Biasanya, dia bermain sebagai attacking midfielder, nombor 10 yang bagus dalam kotak penalti. Tetapi kerana situasi semasa, dia beraksi sebagai left back dan melakukannya dengan sangat baik,” kata Guardiola.
Pengurus City itu juga percaya O’Reilly boleh bermain sebagai defensive midfielder dan menjadi ancaman dalam situasi bola mati kerana ketinggiannya.
Masa Depan di Left Back atau Midfielder?
Menariknya, left back adalah posisi ketiga yang dimainkan O’Reilly dalam skuad utama City. Dia sebelum ini pernah diletakkan sebagai defensive midfielder, tetapi asalnya merupakan attacking midfielder sejak berusia 6 tahun. Pengalaman ini membantunya menyesuaikan diri dengan pantas apabila ditugaskan bermain di posisi lebih dalam.
Namun, jika dia ingin terus bermain sebagai left back, seperti yang pernah dilakukan Oleksandr Zinchenko di City, dia perlu meningkatkan aspek pertahanan dalam permainannya. Statistik menunjukkan dia gagal memenangi 2 duel di atas padang dan hanya memenangi 1 daripada 4 perebutan bola udara. Ia adalah sesuatu yang boleh diperbaiki dengan latihan dan bimbingan yang lebih baik.
Selepas perlawanan ini, Guardiola gembira apabila membayangkan kemungkinan Rodri kembali lebih awal sebelum musim berakhir. Namun, sebelum itu, menarik untuk melihat apa yang O’Reilly mampu lakukan jika diberikan peluang bermain di posisi tengah. Guardiola pernah menyebut dia boleh menggantikan Rodri dan berdasarkan sumbangannya dari left back, ia satu prospek yang mengujakan.
Walaupun musim ini agak mencabar untuk City, mereka masih mempunyai peluang di Piala FA serta bakat muda seperti O’Reilly yang boleh menjadi harapan masa depan kelab. Jika dia terus menunjukkan prestasi cemerlang, tidak mustahil dia boleh membantu City mengubah perjalanan musim ini dan menulis kisahnya sendiri di pentas bola sepak.