Nico Rosberg Mengumumkan Persaraan Selepas Merangkul Gelaran Juara

Pemandu Jerman dari pasukan Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg mengumumkan persaraan daripada Formula Satu (F1) selepas merangkul kejuaraan dunia buat pertama kali dalam kerjayanya pada minggu lalu.

Keputusan yang dibuat pada pagi isnin oleh Rosberg itu nyata memberi kejutan kepada dunia permotoran. Rosberg mengumumkan keputusan untuk bersara itu melalui laman Facebooknya semalam.

“Sejak 25 tahun dalam perlumbaan, ia sentiasa menjadi impian saya, ‘satu perkara’ untuk menjadi juara Dunia Formula Satu. Melalui kerja keras, kesakitan, pengorbanan, ia menjadi sasaran saya. Dan sekarang saya telah berjaya. Saya telah mendaki gunung, saya di puncak, jadi ini perkara yang betul.

“Emosi saya sekarang adalah rasa amat bersyukur dengan semua orang yang menyokong saya untuk menjadikan impian saya satu kenyataan.

“Musim ini, saya beritahu anda, ia sangat sukar. Saya berhempas pulas seperti orang gila dalam semua aspek selepas kecewa pada dua tahun terakhir. Ia didorong oleh motivasi untuk mencapai tahap yang tidak pernah saya kecapi.

“Sudah tentu ia turut memberi kesan kepada orang-orang yang saya sayangi, ia pengorbanan seluruh keluarga, meletakkan segala­nya bagi mencapai sasaran kami.

“Saya tidak dapat mencari ung­kapan yang cukup untuk mengucapkan terima kasih kepada isteri saya Vivian; dia sangat luar biasa. Dia memahami bahawa tahun ini sangat besar, peluang kami untuk melakukannya.

“Dia memberi ruang kepada saya untuk pulih sepenuh­nya selepas setiap perlumbaan, dia menjaga anak perempuan kami setiap malam, mengambil alih tugas yang sukar dan meletakkan kejuaraan kami sebagai keutamaan.

“Apabila saya memenangi perlumbaan di Suzuka, di mana takdir ketika itu terletak di tangan saya sendiri, tekanan semakin hebat dan saya mula memikirkan mengenai penamat karier saya dalam perlumbaan jika saya menjadi juara dunia.

“Pada pagi Ahad di Abu Dhabi, saya tahu ini mungkin perlumbaan terakhir saya dan perasaan itu semakin jelas sebelum saya memulakan saingan. Saya ingin menikmati setiap pengalaman, menyedari ia mungkin yang ter­akhir…

“Dan kemudian lampu dipadamkan, saya mengharungi 55 pusingan paling hebat dalam hidup saya,” kata pemandu ber­usia 31 tahun itu.

Selamat bersara Champion! Selamat maju jaya.

Baca Juga

Baca Juga