Nottingham Forest: Dari Kelab Bermasalah ke Pesaing Eropah

Pada penghujung jendela perpindahan musim panas 2022, Nottingham Forest mencetuskan perhatian.

Ketika itu mereka baru sahaja mengalami kekalahan besar 6-0 kepada Manchester City. Namun Forest bertindak agresif dalam pasaran perpindahan. Mereka membawa masuk Willy Boly dari Wolves, Josh Bowler dari Blackpool dan Loic Bade secara pinjaman. Ia adalah tandatangan yang ke-19, ke-20 dan ke-21 pada musim panas tersebut.

Ia sekali gus memecahkan rekod perpindahan paling banyak dalam satu jendela Liga Perdana yang sebelum ini dipegang oleh Crystal Palace (18 pemain). Rekod itu terus bertambah apabila mereka menandatangani Serge Aurier pada 7 September dan menjadikan jumlah keseluruhan kepada 22 pemain.

Lebih separuh daripada skuad yang membantu Forest mendapatkan promosi melalui play-off Championship telah meninggalkan kelab. Forest juga tidak memiliki pemain yang mempunyai pengalaman di Liga Perdana. Forest sememangnya perlu merekrut pemain secara besar-besaran untuk membantunya terus kekal di Liga Perdana.

Namun perbelanjaan melebihi £150 juta yang dilakukan oleh Forest mengejutkan ramai pihak. Sebuah kelab yang sudah 23 tahun tersingkir dari Liga Perdana akibat pengurusan kewangan yang lemah dan prestasi yang tidak menentu, tiba-tiba berbelanja lebih banyak dalam hanya satu musim berbanding jumlah keseluruhan 157 tahunnya.

Ketika itu, keputusan mereka dianggap lebih berisiko tinggi berbanding bijak.

Namun selepas dua setengah tahun Forest kini berada di tangga ke-3 Liga Perdana, 3 mata di hadapan juara bertahan 4 kali iaitu Manchester City. Keputusan Forest untuk berbelanja besar pada musim 2022 kelihatan seperti langkah yang membawa kepada salah satu musim terbaik mereka dalam tempoh 20 tahun terakhir.

Walaupun aktiviti perpindahan pada musim panas itu menjadi titik permulaan kebangkitan Forest ke pentas Eropah, kejayaan keseluruhannya tetap terhad. Daripada 22 pemain yang direkrut dahulu hanya Boly, Taiwo Awoniyi, Morgan Gibbs-White dan Neco Williams yang masih kekal dalam skuad utama hari ini. Malah Boly dan Awoniyi sekarang lebih kerap beraksi sebagai pemain simpanan apabila pasukan utama di bawah kendalian Nuno Espírito Santo berada dalam keadaan terbaik.

Sebaliknya, Jesse Lingard yang dianggap sebagai pembelian utama pada musim panas itu, gagal memberikan pulangan yang setimpal dengan gaji £110,000 seminggu. Malah, 4 pemain yang direkrut langsung tidak pernah membuat penampilan. Beberapa pemain berprofil tinggi seperti pemenang Liga Juara-Juara, Keylor Navas, dan pertahanan antarabangsa Brazil, Renan Lodi membantu Forest menamatkan musim pertamanya di Liga Perdana di tangga ke-16 di bawah pemilik Evangelos Marinakis. Selepas 3 musim skuad Forest hampir sepenuhnya telah berubah.

Strategi Perpindahan yang Berbeza dan Berjaya

Dengan begitu ramai pemain yang keluar selepas musim pertama mereka di Liga Perdana, Forest terus aktif dalam pasaran perpindahan. Berbeza dengan kelab lain yang mencari pemain dari liga luar negara atau pemain yang pasukannya tersingkir ke liga bawahan, Forest memilih untuk merekrut terus dari kelab Liga Perdana lain.

Keputusan ini ternyata berbaloi, hasil usaha pasukan perekrutan yang diterajui oleh Ketua Pegawai Bola Sepak Ross Wilson, Pengarah Teknikal Global George Syrianos, dan Ketua Perekrutan Pedro Ferreira. Separuh daripada kesebelasan utama pilihan Nuno kini terdiri daripada pemain yang dibeli dari kelab Liga Perdana lain. Ia membuktikan bahawa nilai yang baik masih boleh diperoleh dalam liga yang sama.

Sebagai contoh, Chris Wood telah menjadi antara penyerang paling prolifik musim ini melalui 14 gol dalam 23 perlawanan (purata 0.68 gol setiap 90 minit). Hanya Alexander Isak, Erling Haaland dan Mohamed Salah yang mempunyai kadar jaringan lebih baik dari Wood. Untuk konteks, hanya Cole Palmer yang berpindah dalam liga yang berjaya menjaringkan 10+ gol musim ini.

Gibbs-White merupakan pembelian paling mahal Forest pada harga £25 juta dengan potensi tambahan sebanyak £17 juta lagi. Pelaburan itu kini dianggap sebagai langkah bijak untuk seorang pemain antarabangsa England.

Selain itu, Anthony Elanga dan Callum Hudson-Odoi dibeli dari Manchester United dan Chelsea dengan harga yang jauh lebih rendah. Masing-masing dibeli pada harga £15 juta dan £5 juta sahaja. Walaupun mereka dianggap sebagai “pemain buangan” dari kelab besar, mereka kini menjadi antara ancaman serangan sayap paling berbahaya di Liga Perdana. Pada musim panas lalu, Forest menolak tawaran bernilai £45 juta daripada Newcastle United untuk membeli Elanga. Ia menunjukkan peningkatan besar dalam nilai pemain itu.

Salah satu pembelian terbaik Forest ialah Ola Aina yang dibawa masuk secara percuma pada 2023 selepas kontraknya bersama Torino tamat. Walaupun Aina bukan pemain dari kelab Liga Perdana tetapi dia telah memulakan karier di Chelsea dan pernah beraksi bersama Fulham. Keupayaan Forest mengenal pasti bakat yang kurang dihargai di liga menjadi faktor utama kejayaan mereka membina skuad yang kompetitif.

Artikel asal dari Elias Burke
BACA:  FFP: Nottingham Forest Berdepan Pemotongan Mata, Everton Berisiko Dihukum Kali Kedua