Pada musim awal musim 1994-95 Nottingham Forest membeli Bryan Roy dari Foggia dengan harga £2.5 juta. Ia merupakan pembelian paling mahal kelab ketika itu. Selepas menyertai pasukan, Roy berbincang dengan pengurus, Frank Clark mengenai posisi terbaiknya. Melihat Ian Woan sudah cemerlang di posisi sayap kiri dan Stan Collymore cukup bersinar di bahagian serangan, Roy memilih untuk menggunakan Roy di belakang Collymore sebagai pemain nombor 10.
Keputusan itu membuahkan hasil apabila Collymore menjaringkan 22 gol dan Roy menyumbang 13 gol. Dia membantu Forest menamatkan kempen di tempat ke-3 Liga Perdana, selepas dinaikkan pangkat dari divisyen dua. Ia juga adalah pencapaian luar biasa bagi pasukan yang baru kembali ke liga utama.
Chris Wood: Pemain Utama dalam Kebangkitan Semula Forest
Kini, hampir 3 dekad kemudian, Nottingham Forest kembali mencuri perhatian di bawah bimbingan Nuno Espírito Santo. Pasukan ini kini berada di tangga ke-3 liga, menampilkan peningkatan besar selepas 2 musim bertarung mengelak penyingkiran.
Di tengah kebangkitan ini, seorang penyerang menjadi kunci kejayaan mereka iaitu Chris Wood. Penyerang dari New Zealand itu telah menjaringkan 17 gol sepanjang musim ini termasuk hatrik ketika menewaskan Brighton. Pada Disember lalu, dia memecahkan rekod Roy sebagai penjaring terbanyak Forest di Liga Perdana.
Bekas pemain Forest, Paul McGregor, membandingkan Wood dengan Collymore:
“Wood adalah pemain utama pasukan ini seperti Collymore dulu, tetapi dengan cara yang berbeza. Yang penting, dia menjaringkan gol untuk pasukan.”
Persamaan Antara Forest 1995 dan Forest 2025
Bekas pemain pertahanan Des Lyttle turut melihat persamaan antara pasukan sekarang dengan skuad 1994-95. Dulu, Forest bermain tanpa rasa takut dan berjaya menewaskan kelab besar seperti Arsenal dan Liverpool. Kini, pasukan kendalian Nuno juga menunjukkan mentaliti yang sama malah mencatat kemenangan bersejarah di Anfield pada September lalu.
Salah satu kekuatan utama Forest sekarang adalah serangan balas pantas. Dengan purata penguasaan bola hanya 39.49%, mereka menjadi salah satu pasukan serangan balas terbaik di liga, setanding dengan Liverpool. Pemain sayap seperti Anthony Elanga dan Callum Hudson-Odoi sering mencipta peluang, memberi Wood servis berkualiti untuk menjaringkan gol.
Bryan Roy turut memberi pujian kepada Morgan Gibbs-White, yang berperanan seperti dirinya dahulu:
“Dia sangat penting. Cuma dia berlari terlalu banyak! Kalau dia lebih bijak dalam menempatkan posisi, dia akan menjadi lebih hebat lagi.”
Pertahanan Kukuh: Kunci Kejayaan Forest
Selain serangan yang tajam, benteng pertahanan juga menjadi kekuatan Forest. Gandingan Murillo dan Nikola Milenkovic memberikan kestabilan di bahagian belakang. Statistik membuktikan ketahanan mereka, Forest telah mencatat 10 perlawanan tanpa bolos. Ia jumlah tertinggi (bersama Liverpool) untuk musim ini.
Bekas pemain pertahanan Roy Chettle membandingkan Murillo dengan legenda Forest, Stuart Pearce:
“Murillo adalah pemain bertahan yang luar biasa. Kami tahu kami boleh bergantung pada pertahanan seperti Chettle dan Cooper dahulu sama seperti Forest boleh bergantung kepada Murillo sekarang.”
Bolehkah Forest Layak ke Liga Juara-Juara?
Dengan baki perlawanan semakin sedikit, Forest berpeluang besar untuk layak ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 1995.
Lyttle memberi pesanan kepada pemain-pemain Forest hari ini:
“Teruskan apa yang kamu buat sekarang. Jangan ubah apa yang sudah berjaya. Keyakinan adalah segalanya.”
Roy juga yakin bahawa masa depan Forest semakin cerah:
“Jika Forest mempunyai stadium berkapasiti 50,000, ia akan penuh setiap minggu. Kelab ini tidak sepatutnya turun liga lagi. Jika mereka berjaya mengekalkan momentum ini, mereka boleh mengakhiri musim di tangga ke-3 atau ke-4.”
Walau apa pun yang terjadi, satu perkara pasti Nottingham Forest kembali menjadi pasukan yang digeruni di Liga Perdana.