Dalam dunia bola sepak, ada detik-detik yang mengejutkan. Kemenangan Nottingham Forest ke atas Manchester City dengan jaringan 1-0 baru-baru ini adalah salah satu daripadanya. Lebih menarik, ia bukan kali pertama Nuno Espírito Santo menewaskan Pep Guardiola. Dia kini telah menang 4 kali ke atas pengurus ternama itu di Liga Perdana Inggeris (EPL), menjadikannya antara pengurus paling berjaya menentang Guardiola selepas Jürgen Klopp.
Nuno lawan Guardiola: Dua Gaya Berbeza
Dari awal perlawanan, jelas kelihatan perbezaan besar antara kedua-dua pengurus itu. Guardiola seperti biasa, penuh dengan tenaga, memberi arahan tanpa henti dan kadang-kadang menunjukkan rasa kecewa secara dramatik. Nuno pula lebih tenang, berdiri di tepi padang dengan ekspresi serius dan memerhati permainan dengan teliti. Namun, dalam pertembungan itu, gaya Nuno yang lebih sabar akhirnya membuahkan hasil.
Apabila ditanya selepas perlawanan sama ada taktiknya berjalan seperti yang dirancang, jawapan Nuno cukup ringkas tetapi tepat.
“Tidak sepanjang perlawanan. Tapi apabila permainan menjadi lebih terbuka seperti perlawanan bola keranjang, ia kelebihan untuk kami.”
Gol Hudson-Odoi: Hasil Kerja Keras Forest Saat penentu tiba pada minit ke-83. Bermula dengan Morgan Gibbs-White yang menghantar bola panjang kepada Callum Hudson-Odoi, Forest pantas menyerang balas. Hudson-Odoi yang berada di sayap kanan, memotong ke dalam sebelum melepaskan rembatan kencang ke near post untuk menewaskan Ederson dengan penuh bergaya.
Namun, kejayaan tersebut bukan sekadar kerana satu detik magis dari Hudson-Odoi. Forest bermain dengan penuh disiplin sepanjang perlawanan. Mereka tahu City akan menguasai bola dan ianya benar apabila pasukan Guardiola memiliki 69% penguasaan bola. Namun Forest tetap berjuang keras untuk menutup ruang dan menyekat ancaman.
Dua bek sayap, Ola Aina dan Neco Williams bermain cemerlang dalam bertahan. Malah, Nico Dominguez yang diletakkan di posisi sayap, berjaya melakukan 8 bentesan sebelum dikeluarkan pada minit ke-69. Ia merupakan antara jumlah bentesan tertinggi oleh pemain Forest dalam tiga musim terakhir EPL.
Kekuatan Pertahanan Forest dan Perancangan Nuno
Untuk musim ini, Forest sedang mencatatkan 12 perlawanan tanpa bolos, jumlah tertinggi di Liga Perdana bersama Liverpool. Gandingan pemain bek tengah mereka, Murillo dan Nikola Milenkovic mendapat pujian atas kejayaan itu. Namun, kemenangan ke atas Citu adalah hasil kerja sepasukan serta keberkesanan taktik Nuno.
Guardiola cuba mengubah keadaan dengan memasukkan Kevin De Bruyne dan Omar Marmoush pada minit ke-69 tetapi Nuno juga bertindak pantas. Dia membawa masuk Ryan Yates untuk menggantikan Dominguez dan menukar formasi kepada 4-2-3-1, memberikan Forest lebih keseimbangan antara serangan dan pertahanan.
Taktik Nuno menjadi. Yates segera memenangi perebutan bola yang membuat penyokong bangkit bersorak, sementara Hudson-Odoi akhirnya menjaringkan gol kemenangan.
Forest Kini Pasukan Elit?
Pada musim ini, Forest bukan sekadar pasukan bertahan. Mereka telah mengalahkan Liverpool, menewaskan Aston Villa dan Manchester United serta membelasah Brighton 7-0. Jika sebelum ini mereka dikenali sebagai pasukan yang hanya berjuang untuk kekal di liga, kini mereka berpotensi besar untuk menamatkan musim di kelompok 4 teratas.
Guardiola sendiri mengakui bahawa jika sebuah pasukan berada di tangga ke-4 dengan 10 perlawanan lagi, ia bukan lagi kebetulan.
“Ia kerana mereka memang pasukan yang bagus,” katanya selepas perlawanan.
Adakah Forest Akan Beraksi di Liga Juara-Juara?
Dalam 20 musim terakhir, purata mata yang diperlukan untuk menduduki tempat ke-5 Liga Perdana adalah sekitar 63.4 mata. Forest kini memiliki 51 mata dengan baki 10 perlawanan.
Mereka masih belum mencapai sasaran tetapi jika mereka mengekalkan disiplin dan semangat juang seperti yang ditunjukkan menentang City, peluang untuk mencipta sejarah semakin cerah. Mungkin tidak lama lagi, Nottingham Forest akan menjadi salah satu nama besar di pentas Eropah.