Nourine Fethi Digantung Kerana Tak Mahu Kotorkan Tangannya Beraksi Bersama Atlet Israel

Atlet Algeria, Fethi Nourine telah dihantar pulang dan digantung oleh Persekutuan Judo Antarabangsa (IJF), selepas beliau membuat keputusan untuk menarik diri dari Sukan Olimpik kerana berpotensi akan bertemu lawan dari Israel.

Fethi Nourine menyatakan yang sokongan beliau terhadap perjuangan Palestin menyebabkan sukarnya untuk beliau beraksi bertemu Tohar Butbul.

Beliau dengan tegas menyatakan kepada Algerian TV bahawa dirinya tidak akan pernah mengotorkan tangannya sendiri dan keputusannya sudah muktamad.

“Kami bekerja keras untuk sampai ke Sukan Olimpik, dan berita itu datang secara mengejut, sangat mengejutkan.”

Atlet berusia 30 tahun itu sepatutnya bertemu dengan wakil dari Sudan, Mohamed Asdalrasool pada hari Isnin nanti dalam perlawanan pertamanya untuk kategori lelaki kelas 73kg.

Nourine Fethi sememangnya sentiasa memberikan sokongan beliau pada Palestin

Seandainya beliau memenangi perlawanan itu, beliau berkemungkinan akan beraksi bertemu Butbul, yang sudah mara ke pusingan seterusnya secara automatik.

Ini bukanlah kali pertama beliau melakukan hal sama dengan Nourine pada tahun 2019 turut pernah menarik diri dari kejohanan dunia atas alasan yang sama.

Pada ketika itu, jurulatih beliau, Amar Benikhlef, telah menyatakan kepada media Algeria bahawa:

“Kami sangat tidak bernasib baik dengan undian. Kami dapat lawan dari Israel dan kerana itu kami undur diri. Kami sebenarnya membuat keputusan yang tepat.”

Serangan Israel ke bumi Palestin pada awal tahun ini dianggap yang paling teruk dengan mereka masih tak henti-henti memutar belit fakta seolah merekalah mangsa.

Konflik antara kedua-dua negara telah berlanjutan sejak bertahun dahulu dan tindakan Israel menzalimi Palestin telah menyebabkan mereka dikecam teruk oleh masyarakat seluruh dunia.

Tidak perlu menjadi Islam, cukup adanya timbang rasa dan rasa kemanusiaan dalam diri tentu semua pihak akan sedar kezaliman Israel dan akan mengutuk perbuatan mereka itu.

Kebanyakan atlet dari Iran dan Egypt sering kali menolak untuk beraksi bertemu atlet dari Israel dalam apa jua dunia sukan.

Nourine Fethi merupakan Juara judo dari Algeria dengan beliau pernah menjuarai kejuaraan Judo di benua Afrika sebanyak tiga kali dan berada di kedudukan ke-31 dalam dunia.

Beliau sedar sukarnya untuk sampai ke Sukan Olimpik namun pada masa sama turut sedar yang kemanusiaan serta sokongan terhadap Palestin lebih dari semua itu.

Acara pembukaan untuk Sukan Olimpik pada tahun ini telah dilangsungkan kemarin di Stadium Olimpik dengan para peminat tidak dibenarkan masuk kerana wabak pandemik.

Namun begitu, sekitar 1,000 orang kenamaan dan petugas media tetap diberi keizinan untuk menyaksikan temasya yang gilang gemilang itu.

Sebanyak 206 negara telah mengambil bahagian di acara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo kemarin.

Kontijen Malaysia yang diwakili oleh 30 orang atlet dan 13 orang pegawai telah muncul sebagai negara ke-177 yang diperkenalkan di acara pembukaan sukan terbesar di dunia itu.

Atlet Badminton negara, Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying tampil sebagai pembawa jalur gemilang dengan kesemua atlet memperagakan busana yang cukup indah dengan menggabungkan elemen nostalgia dan segar.

Menteri Belia dan Sukan, YB Dato Sri Reezal Merican telah mengumumkan yang kontijen negara di kejohanan Olimpik kali ini menyasarkan 3 pingat dan salah satu darinya adalah pingat emas.

Sasaran tersebut tertumpu di acara berbasikal, badminton dan akuatik dan sepertinya sasaran tersebut masuk akal dengan kemampuan yang ada pada atlet negara.

Melihat kepada keadaan atlet pada ketika ini, tidak dinafikan Malaysia berpotensi untuk mencapai sasaran tersebut dan siapa tahu pingat emas impian negara akan berjaya dikutip di kejohanan kali ini.

Berbalik kepada isu Nourine Fethi dan jurulatihnya, Amar Benikhlef, kedua-dua mereka akan disiasat oleh IJF dan tindakan susulan akan diambil sekiranya perlu.

Semoga saja tiada tindakan tegas yang akan dikenakan ke atas pahlawan dari Algeria itu dan pihak IJF akan beri kemaafan kepada kedua-dua mereka.

Sumber: Tehran Times

BACA:  Penyertaan Atlet Angkat Berat Transgender ke Olimpik Tokyo Ditentang Hebat