Ole Anggap Klopp Punca United Kurang Dapat Penalti

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menghentam Jurgen Klopp dalam sidang media sebelum perlawanan dalam saingan Premier League pada petang ini.

Solskjaer mendakwa yang pengurus Liverpool itu merupakan punca utama dan individu yang bertanggungjawab tentang mengapa United kurang memenangi sepakan penalti sejak kebelakangan ini.

Pengurus dari Norway itu mendakwa yang keluhan Klopp tentang bagaimana banyaknya penalti yang dimenangi oleh setan merah musim lalu, telah menyebabkan pengadil takut untuk memberi penalti kepada mereka.

Beliau turut mendakwa yang walaupun mereka layak dan situasi tersebut sepatutnya menghadiahkan sepakan penalti, namun pengadil tidak akan memberikannya kerana takut dihentam.

Solskjaer turut menjadikan aksi perlawanan bertemu West Ham dalam saingan Premier League minggu lalu sebagai contoh bagaimana hak United untuk memenangi sepakan penalti dinafikan oleh pengadil perlawanan.

“Kami hanya berharap yang kami akan dapat apa yang sepatutnya layak untuk kami dapat.”

Jelas pengurus dari Norway itu ketika temu bual sebelum perlawanan bertemu Aston Villa.

“Kita sepatutnya menangi tiga penalti dalam dua perlawanan terakhir kami. Ada segelintir pengurus yang risau kita menang banyak penalti pada tahun lalu dan selepas itu sepertinya kami sukar untuk dapat penalti.”

“Saya nampak perbezaan yang besar sejak itu. Kamu hanya perlu serahkan semua itu kepada pengadil dan berharap mereka akan buat keputusan yang tepat.”

Klopp mempertikaikan tentang banyaknya setan merah memenangi sepakan penalti pada Januari lalu, selepas kekalahan mengejut Liverpool di tangan Southampton di St Mary.

“Kita tak boleh ubah.”

Jelas Klopp selepas tamat perlawanan tersebut.

“Saya dengar sekarang Manchester United sudah memenangi lebih banyak penalti dalam tempoh dua tahun jni berbanding kami sejak lima tahun lalu. Saya langsung tak pasti adakah itu salah saya, atau bagaimana hal itu boleh berlaku.”

Manchester United menjaringkan 10 penalti musim lalu, yang mana ia merupakan jumlah tertinggi dari semua pasukan dalam saingan Premier League, dan empat gol lebih berbanding Liverpool.

Sementara Bruno Fernandes menyempurnakan hampir kesemua sepakan penalti yang berjaya disudahi dengan gol oleh Manchester United.

Hal itu mungkin akan berubah pada musim ini, selepas Cristiano Ronaldo kembali ke Old Trafford pada jendela perpindahan musim panas ini.

Solskjaer dalam temu bual sama turut memberikan pujian yang menggunung kepada legenda kelab itu dengan menyatakan:

“Kita semua tahu dia akan berikan impak yang cukup besar baik dalam mahupun di luar padang.”

Jelas pengurus berusia 48 tahun itu.

“Disiplin yang dia tunjuk sepanjang karier dia berjaya mempengaruhi semua rakan sepasukannya yang lain.”

“Saya sangat berbangga dengan dia. Dia merupakan individu yang berbeza berbanding dia yang pernah jadi rakan sepasukan saya dulu. Dia berada di puncak kerja keras dan sikap yang dia tunjukkan dalam perlawanan.”

“Dia tahu dia tidak akan bermain semua perlawanan tapi dia sentiasa bersedia.”

Manchester United ketika ini berada di kedudukan ketiga di belakang Liverpool dan Chelsea, namun ketiga-tiga pasukan hanya dipisahkan dengan jumlah jaringan sahaja.

Dari lima perlawanan awal, setan merah berjaya mencatatkan empat kemenangan dan hanya merekodkan satu keputusan seri sahaja.

Mereka jelas sedang berada di landasan terbaik untuk memenangi gelaran Premier League, dan tidak dinafikan United pada musim ini dilihat lebih berprestasi berbanding musim lalu.

United malam ini bakal turun beraksi bertemu Aston Villa di Old Trafford dan mereka tentunya bakal berusaha untuk mendapatkan tiga mata penuh di halaman sendiri.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Laluan Ke UCL Makin Sukar, Man Utd Antara Yang Bengang Dengan Pengambilalihan Newcastle