Ole Gunnar Solskjaer Ditawarkan Untuk Menjadi Pengurus Kelab Dari Premier League

Ole Gunnar Solskjaer pernah menolak beberapa tawaran untuk kembali ke dunia pengurusan sejak beberapa bulan terakhir ini.

Menurut sumber laporan dari media Norway, beliau telah menolak beberapa tawaran untuk kembali ke dunia pengurusan termasuklah tawaran dari kelab yang bersaing dalam saingan Premier League.

Pengurus berusia 49 tahun itu sebelum ini pernah menguruskan Manchester United sejak dari Disember 2018 selepas skuad setan merah itu memutuskan untuk memecat Jose Mourinho.

Beliau kemudiannya turut dipecat oleh pimpinan kelab selepas kekalahan memalukan 4-1 di tangan Watford pada November tahun lalu.

Manchester United selepas itu memutuskan untuk melantik Ralf Rangnick sebagai pengurus interim kelab, namun pengurus dari Jerman itu sepertinya tak mampu untuk mengubah nasib kelab.

Selepas beberapa bulan dipecat oleh pimpinan kelab, Ole Gunnar Solskjaer sebenarnya masih tinggal di bandar Manchester untuk terus memberi sokongan kepada anak perempuannya, Karna.

Karna ketika ini merupakan antara pemain penting untuk skuad wanita Manchester United dan beliau terus menerus mempamerkan aksi cemerlang seperti ayahnya

Namun kini, selepas berehat seketika dari dunia bola sepak, bekas pengurus Cardiff City dan Molde itu terbuka untuk kembali ke dunia pengurusan bermula musim panas ini.

Menurut sumber laporan dari media Norway, VG, Ole Gunnar Solskjaer sudah bersedia untuk kembali ke dunia pengurusan dan mahu bermula pada musim panas ini.

Laporan sama turut mendakwa yang Ole Gunnar Solskjaer sebenarnya telah beberapa kali menerima tawaran dari pelbagai kelab termasuk kelab dari saingan Premier League.

Sejak Ole meninggalkan Old Trafford tahun lalu, ada beberapa kelab dari saingan Premier League juga turut memecat pengurus mereka seperti Everton, Leeds United, Watford dan Burnley.

Pengurus dari Norway itu telah dikaitkan dengan bakal mengendalikan Burnley sejak dari awal Sean Dyche dipecat bulan lalu.

Beliau pada ketika ini merupakan calon kegemaran yang bakal dilantik untuk mengendalikan Burnley dan Ole berkemungkinan akan ke Turf Moor pada musim panas nanti.

Burnley sendiri pada ketika ini sedang bergelut di zon penyingkiran dan mereka berkemungkinan akan kembali ke saingan Championship pada musim hadapan.

Bekas kelab Ole Gunnar Solskjaer, Manchester United juga pada ketika ini sedang bergelut untuk merebut tempat ke pertandingan Eropah musim hadapan.

Mereka sepertinya sukar untuk layak ke saingan Champions League musim hadapan kerena mereka sedikit jauh dicicirkan oleh Arsenal dan Tottenham Hotspur.

Man Utd pada ketika ini perlu konsisten mencatatkan kemenangan demi kemenangan dalam usaha mereka mahu beraksi di pentas Europa League musim hadapan.

Mengikut kedudukan semasa pada ketika ini, Man Utd berpotensi untuk sekadar beraksi di pentas Europa Conference League dan mungkin juga tidak akan membuat sebarang kemunculan di pertandingan Eropah.

Skuad setan merah itu pada musim hadapan akan dikendalikan oleh pengurus baru, Erik Ten Hag yang dilantik menjadi pengurus kelab bulan lalu.

Pengurus Ajax itu akan memulakan tugasnya sebagai pengurus Man Utd bermula pada musim panas ini dengan beliau dilaporkan sedang merancang untuk melakukan rombakan besar-besaran.

Jendela perpindahan musim panas ini bakal menjadi antara jendela perpindahan paling sibuk Man Utd dalam usaha mereka untuk menyediakan skuad terbaik menjelang musim baharu nanti.

Beberapa pemain dilaporkan sudah hampir pasti akan meninggalkan kelab dengan Ten Hag sendiri dilaporkan sudah menyediakan senarai pendek pemain yang mahu beliau bawa ke Old Trafford musim panas ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Solskjaer: Martial Mampu Ulangi Pencapaian Ronaldo