Ole Gunnar Solskjaer Sebenarnya Terlalu Dimanjakan Ole Manchester United

Ole Gunnar Solskjaer lebih kerap diberi peluang berbanding pengurus lain di Old Trafford adalah kerana beliau sebenarnya ‘anak’ kepada Manchester United.

Danny Blind menganggap hanya itu sahajalah alasan mengapa Solskjaer masih lagi diberi peluang untuk membuktikan sesuatu, walau sudah ramai yang mengkritik keputusan dan taktikal pengurus dari Norway itu.

Pengurus berusia 48 tahun itu tiba di Old Trafford pada tahun 2018 sebagai pengganti sementara selepas kelab memecat Jose Mourinho.

Dek kerana beliau menjalankan tugasnya dengan baik pada musim 2018/19, maka Manchester United menawarkan kontrak tetap kepada Ole Gunnar Solskjaer.

Walau bagaimanapun, sepanjang karier pengurusannya di Old Trafford, Solskjaer sebenarnya teruk dihentam oleh pelbagai pihak.

Beliau pada musim lalu berjaya membawa United untuk mengakhiri saingan liga di kedudukan kedua, namun gagal untuk membawa United mara lebih jauh dalam saingan Champions League.

Selepas tersingkir di peringkat kumpulan, Ole berjaya membawa United mara ke perlawanan akhir saingan Europa League bertemu Villarreal.

Namun sayangnya beliau gagal membantu United untuk menjulang Piala pertama mereka, selepas tewas di tangan Villarreal menerusi penentuan sepakan penalti.

Pada musim panas ini, United telah menandatangani beberapa bintang handalan dunia seperti Cristiano Ronaldo, Raphael Varane dan Jadon Sancho, dalam usaha mereka untuk mengejar kejuaraan pertama kelab.

Ia jelas satu pelaburan yang mengagumkan dari kelab, dalam usaha mereka untuk bantu Solskjaer mendapatkan pemain terbaik untuk menang.

Walau bagaimanapun, kehadiran pemain-pemain bintang itu tetap gagal untuk dimanfaatkan dengan baik oleh pengurus dari Norway itu, dengan United melalui detik yang sukar di awal musim ini.

United awalnya tersingkir dari saingan Carabao Cup, selepas mereka ditewaskan oleh skuad simpanan West Ham United.

United juga tewas dalam saingan Champions League bertemu Young Boys dan turut dikejutkan dengan kekalahan bertemu Aston Villa dalam saingan Premier League.

Blind yang sebelum ini pernah mengkritik Solskjaer, kini tampil meluahkan rasa tidak yakin beliau dengan kepimpinan pengurus Manchester United itu.

Beliau turut mempersoalkan identiti pasukan pada ketika ini dan turut meragukan perancangan pengurusan Ole Gunnar Solskjaer.

Legenda Ajax yang juga ayah kepada bekas bintang Manchester United, Daley Blind, percaya yang status ‘wira’ yang Ole pegang di Old Trafford sebenarnya membenarkan beliau untuk terus kekal mengurus kelab lebih lama berbanding pengurus lain.

“Apa identiti pasukan ini?”

Soal Blind.

“Apa perancangan dia? Itulah yang Solskjaer tak ada.”

“Dia tak selalu menggunakan teknik pressing, dia tak ada perancangan, kita tak nampak semua itu, semua yang ada di United sekarang adalah berdasarkan kualiti individu setiap pemain.”

“Mereka semua memang ada kualiti itu dan ia sering menghadirkan keputusan yang baik untuk pasukan. Tapi ia tidak pernah menghasilkan keputusan berdasarkan pasukan.”

“Ia nampak langsung tak bagus dalam beberapa perlawanan. United sukar untuk dominan, itulah masalah besar mereka sekarang.”

“Selepas mereka mendahului Everton, mereka mula menunggu pasukan lawan di kawasan mereka sendiri. Mereka mahu jaringkan gol menerusi serangan balas. Tapi itu tak cukup bagus untuk kelab seperti Manchester United.”

“Hal seterusnya adalah kamu lihat bagaimana mereka sukar untuk ubah permainan ketika Everton jaringkan gol penyamaan. Mereka sukar untuk hasilkan peluang.”

“Kita tak boleh kata yang Solskjaer ada pengalaman panjang untuk mengurus pasukan teratas sebelum dia mengurus Manchester United.”

Sambung Blind lagi.

“Ya, dia pernah jadi Juara di Norway. Tapi itu tahap yang berbeza. Saya tahu mengapa dia dapat masa yang lebih lama berbanding pengurus lain, ia kerana dia adalah ‘anak’ Manchester United.”

“Dia jaringkan gol legenda pada tahun 1999 yang mana ia membantu United untuk menjuarai Champions League. Tapi semua itu tak cukup untuk apa yang dia hasilkan sekarang.”

United akan kembali beraksi dalam saingan Premier League bertemu Leicester City di King Power Stadium, sebelum mereka bertemu Atalanta dalam saingan Champions League.

Adakah benar dakwaan Blind yang Ole diberi lebih kesempatan berbanding pengurus lain kerana beliau ‘anak’ Manchester United? Bincangkan diruangan komen.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Man Utd Pening Kepala Nak Bayar Pampasan Untuk Staff Ole Gunnar Solskjaer