Manchester City 4-0 Newcastle United, Omar Marmoush cemerlang dengan hatrik di Etihad
Manchester City
Omar Marmoush Bersinar dengan Hatrik
Omar Marmoush akhirnya menjaringkan gol pertamanya untuk Manchester City dan bukan itu sahaja, dia turut menambah 2 lagi gol untuk melengkapkan hatrik ketika City menewaskan Newcastle 4-0 di Etihad.
Penyerang Mesir itu dibeli dari Eintracht Frankfurt dengan harga sekitar €70 juta pada Januari. Sebelum ini dia sudah bermain 3 perlawanan bersama City tetapi tidak menjaringkan sebarang gol. Namun pada minggu ini dia menjadi wira apabila membantu pasukannya mencatat kemenangan besar. Newcastle pula meneruskan kegagalannya untuk meraih kemenangan pertama di Etihad sejak tahun 2000.
Dalam tempoh 33 minit pertama, Marmoush sudah melengkapkan hatriknya sekali gus memberi kelebihan besar kepada City untuk mengawal perlawanan. Kemenangan ini juga menjadi tindak balas terbaik daripada City selepas kalah kepada Real Madrid di Liga Juara-Juara. Pemain gantian, James McAtee kemudian menambah gol ke4 pada penghujung perlawanan untuk melengkapkan malam gemilang City.
Bagi Newcastle ini adalah perlawanan yang cukup mengecewakan. Sebelum ini mereka menang 6 perlawanan berturut-turut di tempat lawan dalam semua kejohanan termasuk beberapa kemenangan besar di Liga Perdana tetapi kali ini mereka gagal memberikan saingan kepada City.
Marmoush Beri Ancaman Setanding Haaland
Manchester City jelas merancang untuk memanfaatkan garisan pertahanan tinggi Newcastle melalui hantaran ke belakang dan Marmoush adalah pemain yang tepat untuk tugas itu. Selepas debutnya menentang Chelsea, Guardiola pernah mengeluh rakan sepasukannya tidak menyedari larian-larian yang dilakukan oleh Marmoush namun Guardiola yakin perkara itu akan diperbaiki dengan masa.
Dalam babak pertama terdapat satu situasi di mana Nico Gonzalez tidak menghantar bola kepadanya. Guardiola kecewa dengan keadaan itu namun pengendali City itu tetap memberi isyarat sokongan. Akhirnya, satu hantaran jauh daripada Ederson yang gagal dibaca oleh Kieran Trippier membolehkan Marmoush menjaringkan gol pertamanya dengan satu lambungan kemas.
Gol keduanya terhasil dengan sedikit bantuan defleksi manakala gol ketiga menunjukkan variasi larian yang berbeza, Marmoush tiba lewat di dalam kotak penalti dan menyudahkan peluang dengan tenang. Hatrik dalam tempoh 33 minit menunjukkan ancamannya setanding Erling Haaland. Jika City boleh memanfaatkan kebolehan Marmoush bersama permainan kreatif Nico di bahagian tengah, mereka mungkin telah menemui elemen yang mereka perlukan selama ini.
Kedua-dua pemain itu tidak diturunkan ketika menentang Real Madrid dan dengan prestasi mereka semalam mampu memberi harapan defisit 3-2 boleh diatasi di Santiago Bernabeu pada Rabu nanti.
City Bangkit Selepas Kekalahan di Madrid
City mempamerkan aksi yang sukar diramalkan. Sehari sebelum perlawanan, Guardiola mengakui bahawa pasukannya tidak mampu mengekalkan gaya permainannya selama 90 minit, pasukan lain lebih fizikal dan Newcastle bakal memberi saingan sengit. Kekalahan kepada Real Madrid turut menjadi tamparan buat mereka.
Namun City mengejutkan semua pihak. Mereka tampil berani, memenangi second ball dan menekan Newcastle di kawasan tinggi dengan cara yang mereka gagal lakukan sebelum ini.
Nico Gonzalez memberikan kestabilan di bahagian tengah, tenang dalam penguasaan bola dan berjaya mematikan serangan balas lawan. Ia sesuatu yang City benar-benar perlukan. Manakala Marmoush pula membawa elemen ‘X-factor’.
Dua pemain yang sebelum ini bergelut, Ilkay Gundogan dan Rico Lewis juga menunjukkan peningkatan. City memanfaatkan hantaran-hantaran panjang yang menghancurkan pertahanan Newcastle.
Walaupun prestasi City sedikit menurun selepas separuh masa kedua, pasukan itu tetap bertahan dengan baik dan tidak melepaskan sebarang gol. Ia menjadi satu tanda positif bagi sebuah pasukan yang kerap membazirkan kelebihannya musim ini.
Ederson, Rekod Baru
Pep Guardiola pernah mengatakan City tidak mungkin mencapai kejayaan tanpa Ederson. Kata-kata itu bukan cakap kosong.
Ederson bukan sahaja konsisten tetapi juga memiliki keupayaan luar biasa dalam mengedarkan bola, sama ada hantaran pendek atau panjang. Walaupun dia melakukan beberapa kesilapan ketika menentang Real Madrid, kebolehan hantarannya masih menjadi aset penting untuk City.
Ederson kini memegang rekod bantuan gol terbanyak dalam sejarah Liga Perdana Inggeris dari posisi penjaga gol. Hantaran-hantarannya sering menjadi senjata utama City dan jika Marmoush boleh memanfaatkan peluang sebaik Haaland, akan lebih banyak bantuan gol masuk ke dalam statistik Ederson.
Newcastle United
Rekod Buruk Newcastle di Etihad Berterusan
Newcastle sebelum ini berjaya menamatkan rekod buruknya di beberapa gelanggang sukar seperti Old Trafford dan Emirates. Namun kemenangan di Etihad masih terlalu jauh untuk dicapai.
Ini merupakan kali ke-16 berturut-turut Newcastle gagal membawa pulang sebarang mata dari lawatan liga ke Manchester City. Mereka tidak pernah menang dalam 21 kunjungan ke Etihad dan kali terakhir mereka mencatat kemenangan ke atas City adalah pada September 2000 (di Stadium Maine Road). Stadium ini sudah tiada sejak lebih 2 dekad lalu.
Berdasarkan rekod itu, kekalahan ini mungkin sudah dijangka tetapi ia menjadi lebih mengecewakan kerana Newcastle sebenarnya datang dengan harapan yang lebih tinggi selepas 6 kemenangan berturut-turut di tempat lawan.
Namun mereka tetap gagal dan akhirnya tunduk seperti biasa di gelanggang ini.
Newcastle, Apa Yang Berlaku?
Soalan mudah, tetapi jawapannya agak rumit. Selain daripada fakta bahawa mereka cukup teruk di babak pertama dan dihukum City, mengapa mereka bermain begitu buruk?
Selepas menampilkan kecemerlangan taktikal ketika menewaskan Arsenal dalam separuh akhir Piala Carabao, pendekatan Eddie Howe dalam perlawanan ini sukar difahami.
Sejak kekalahan 4-2 kepada Brentford pada Disember lepas, Newcastle tidak pernah bermain sebegini buruk. Walaupun mereka tewas kepada Bournemouth dan Fulham pada bulan lalu, kekalahan di Etihad terasa lebih teruk kerana kualiti yang ditunjukkan begitu rendah.
Dalam tempoh 8 minit pertama, City menguasai 95% penguasaan bola dan Newcastle tidak melakukan satu pun hantaran yang berjaya.
Berbeza dengan permainan agresifnya ketika menentang Arsenal, Newcastle kelihatan terlalu pasif. Hantaran-hantaran jauh dari Ederson sering memecahkan pertahanan Newcastle. Trippier dan Lewis Hall kerap terdedah.
Kesilapan Trippier membaca hantaran Ederson membolehkan City membuka jaringan dan 2 lagi gol berikutnya juga berpunca daripada kesilapan pertahanan.
Serangan Newcastle juga hambar. Alexander Isak kelihatan terasing dan kurang berminat untuk terlibat dalam permainan. Walaupun mereka sedikit meningkat selepas separuh masa kedua, City sudah pun memperlahankan permainan.
Jika ini adalah ujian pertama dalam tempoh ‘penentuan musim’ seperti yang disebut Howe, maka ia satu kegagalan kolektif yang membimbangkan.
Di Mana Bruno Guimaraes?
Bagi peminat City yang jarang melihat Bruno Guimaraes bermain secara langsung, mungkin mereka tertanya-tanya mengapa namanya sering dikaitkan dengan perpindahan ke Etihad.
Guimares biasanya menjadi nadi permainan Newcastle. Dia telah mencatat 6 bantuan dan 2 jaringan pada musim ini. Namun di Etihad, dia tenggelam sepenuhnya di bahagian tengah.
Harapan sebelum perlawanan ialah bahagian tengah Newcastle akan mempunyai lebih tenaga dan fizikaliti berbanding City tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.
Keseluruhan pasukan Newcastle perlu menunjukkan peningkatan besar menjelang final Piala Carabao menentang Liverpool pada 16 Mac nanti.